Berpuluh Ahli UMNO Langkawi Umum Keluar Parti

Hadi Azmi
2018.12.20
Kuala Lumpur, Malaysia
181220-MY-UMNO1000.jpg Perwakilan Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu [UMNO] melepasi logo parti semasa Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur, 8 Disember 2017.
[AP]

Berpuluh ahli Umno di Pulau Langkawi , Kedah mengumumkan keluar parti pada Khamis, kurang 48 jam selepas Presidennya, Zahid Hamidi mengumumkan perlepasan tugasnya  kepada timbalan beliau sebagai usaha menghentikan tindakan keluar parti beramai-ramai oleh ahlinya.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Ayer Hangat, Mohd Rawi Abd Hamid mengetahui 30 ahli UMNO daripada lapan cawangan di dalam bahagian itu membuat pengumuman keluar parti pada sidang media di Alor Star pada Khamis.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi parti tersebut yang dikatakan tidak bersatu dan tanpa arah tujuan.

“Saya buat keputusan ini demi agama dan bangsa serta membantu apa sahaja dalam menjamin kemakmuran negara walaupun berlaku perubahan kerajaan dan sebagainya," katanya yang sebelum mengumumkan keluar parti, memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Langkawi.

Mengulas tindakan Zahid Hamidi pada 18 Dis lalu, Mohd Rawi berkata setiap kepimpinan parti yang rasa terbeban dengan tugas parti perlulah memberi tanggungjawab kepada individu lain yang tidak dibelenggu dengan sebarang kes.

"Bukan Zahid saja, siapa-siapa yang tak boleh buat kerja kena undur diri, jangan tunggu desakan pemuda UMNO atau individu,” kata Mohd Rawi.

Sejak Okt 19 hingga kini, presiden UMNO itu telah dihadapkan sebanyak 46 pertuduhan salahguna kuasa, pecah amanah dan rasuah, tertinggi berbanding ahli-ahli Umno yang lain termasuk bekas presiden parti, Najib Razak yang terpalit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

Menurut Mohd Rawi lagi, perjuangan memartabatkan Melayu dan Islam bukanlah satu perjuangan yang unik bagi UMNO dan terpulanglah kepada setiap individu untuk memilih wadah perjuangan yang sesuai dengan diri masing-masing.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada akan cuba untuk menjadi ahli mana-mana parti lain sebaliknya memberi gambaran lebih ramai ahli UMNO yang akan mengikut jejaknya meninggalkan parti tertua Malaysia itu.

"Saya juga cukup yakin, selepas saya isytihar bukan sahaja di Langkawi tetapi banyak lagi bahagian di Kedah akan membuat pengumuman keluar parti ini," katanya.

Beliau yang sebelum ini menduduki kerusi DUN Ayer Hangat gagal mempertahankan kerusi tersebut dalam Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) pada Mei lalu apabila tewas dengan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Juhari Bulat dengan majoriti 1,532 undi.

Pengganti Zahid, Mohammad Hassan yang dinamakan sebagai Pemangku Presiden UMNO pada pagi Khamis enggan mengulas lanjut tentang perkembangan di Langkawi.

“Badan Perhubungan UMNO Kedah sudah buat kenyataan. Itu sudah memadai,” kata beliau kepada Berita Benar.

Kenyataan tersebut yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Badan Perhubungan UMNO Kedah, Othman Aziz menegaskan bahawa UMNO Langkawi tidak akan terkubur ekoran tindakan Mohd Rawi dan lain-lain pengikut beliau itu.

“Kita memantau perkembangan di Langkawi dan tidak sampailah tahap UMNO di kawasan itu bakal terkubur.

“Tindakan ini mungkin atas rasa tidak puas hati dan kecewa yang mereka sendiri tahu,” kata Othman melalui kenyataan yang dimuatnaik ke laman Facebook UMNO Kedah itu.

Sehingga Nov 2017, UMNO mencatatkan jumlah keahlian 3,644,295 orang dengan sebanyak 21,851 cawangan di seluruh negara.

Usaha BeritaBenar untuk mendapatkan komen dari pemimpin MCA, salah satu parti komponen dalam Barisan Nasional tidak membuahkan hasil.

Manakala presiden MIC, A. Vigneswaran pula berkata, partinya mempunyai pelan untuk terus bergerak dalam situasi politik masakini.

“Seperti semua yang bernyawa dalam dunia ini yang perlu menyesuaikan diri untuk hidup, begitu jugalah dengan MIC.  Kita perlu sedar, terima dan menyesuaikan diri,” kata presiden parti komponen BN itu kepada BeritaBenar.

Mainan strategi Bersatu


Ketika ditanya sama ada tindakan 31 ahli UMNO Langkawi itu boleh disifatkan sebagai protes kepada kepimpinan Zahid dan Mohamad Hassan, Awang Azman Awang Pawi dari Akademi Pengajian Melayu di Universiti Malaya sebaliknya berkata ianya satu strategi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menunjukkan kuasa parti tersebut menjelang perhimpunan agung tahunannya 28 Dis ini.

“Saya lihat lebih kepada strategi dan propaganda PPBM untuk menunjukkn 'populariti' parti itu sesuai dengan semangat yg ingin dilonjakkan menjelang perhimpunan tahunan Bersatu di Putrajaya,” kata beliau.

Bersatu yang diasaskan oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad bersama-sama bekas timbalan presiden Umno Muhyiddin Yassin pada 2016 dilihat sebagai destinasi semulajadi bagi ahli-ahli UMNO yang meninggalkan parti tersebut sejak PRU ke-14 lalu.

“Langkawi juga simbol penting kuasa Bersatu kerana ia merupakan kerusi parlimen Tun Mahathir yang juga perdana menteri,” tambah Awang Azman.

Sejak PRU14, tiga orang ahli parlimen UMNO telah meninggalkan parti itu dan menyertai Bersatu termasuk bekas ahli majlis tertinggi Umno, Mustapha Mohamed.

Walaupun dikritik hebat oleh parti komponen Pakatan Harapan kerana menerima masuk bekas ahli UMNO, Bersatu menerusi pengerusinya Mahathir Mohamad bertegas cuma pemimpin UMNO yang bersih akan diterima masuk ke dalam Bersatu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.