UMNO Tarik Balik Sokongan Terhadap PM, Tuntut Muhyiddin Berundur

Tindakan PM lantik dua menteri UMNO ke jawatan lebih tinggi dilihat gagal hentikan keruntuhan Perikatan Nasional.
S. Adie Zul, Hadi Azmi & Muzliza Mustafa
2021.07.07
Kuala Lumpur
UMNO Tarik Balik Sokongan Terhadap PM, Tuntut Muhyiddin Berundur Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semasa pertemuannya dengan Putera Mahkota Saudi di Ibukota Riyadh, 9 Mac 2021.
[Ihsan Istana Diraja Arab Saudi]

KEMASKINI pada 6.30 petang waktu tempatan ETS - 2021-07-07

UMNO, parti terbesar dalam pakatan pemerintah Malaysia, pada Rabu menarik balik sokongannya kepada Perdana Menteri beberapa bulan selepas mengancam untuk berbuat demikian dan mendakwa pentadbiran Muhyiddin Yassin gagal mengatasi pandemik COVID-19 serta menegakkan prinsip demokrasi.

Tindakan Muhyiddin melantik dua menteri yang mewakili Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO ke jawatan lebih tinggi pada awal Rabu dilihat gagal mempertahan kerajaan gabungan yang mendapat sokongan parti itu sejak Mac 2020.

Kerajaan Perikatan Nasional Muhyiddin, yang tidak dipilih melalui pilihan raya, memerintah dengan majoriti tipis dan apa yang berlaku sekarang bergantung kepada Ahli Parlimen UMNO yang berpecah dengan kesemuanya tidak bersama dalam keputusan parti itu.

Susulan itu, tidak dapat dipastikan sama ada Muhyiddin akan dicabar semasa persidangan Parlimen selama lima hari yang dijadualkan bermula pada 26 Julai ini.

Tanpa sokongan UMNO, kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin, yang berkuasa dengan majoriti tipis, kelihatan seperti akan tumbang.

Selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO selama empat jam, Presidennya Ahmad Zahid Hamidi tampil dalam satu sidang media yang disiarkan secara langsung di media sosial memaklumkan bahawa partinya menuntut supaya Muhyiddin berundur dan seorang perdana menteri sementara menggantikan beliau.

“Memenuhi mandat sebulat suara para perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan berpandukan kepada tujuh kegagalan Kerajaan memenuhi aspirasi rakyat yang digariskan, maka tempoh memberikan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Perdana Menteri ditarik balik dan ditamatkan serta-merta.

“Justeru, UMNO mendesak agar Tan Sri Muhyiddin Yasin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad. Tempoh Perdana Menteri yang baharu akan hanya memfokuskan usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani COVID-19 dengan pendekatan inklusif dan memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat disegerakan,” katanya.

Zahid berkata Kerajaan gagal menguruskan pandemik COVID-19 dengan bijak melalui perintah sekatan pergerakannya yang tidak konsisten dan membingungkan. Nasihat Muhyiddin kepada Yang di-Pertuan Agung untuk mengisytiharkan Darurat di negara itu juga merupakan langkah politik yang terburu-buru dan melemahkan demokrasi berparlimen.

Presiden UMNO itu juga turut menyalahkan kerajaan Muhyiddin bagi keruntuhan ekonomi yang berlaku dan mendakwa beliau tidak mengutamakan kebajikan setiap lapisan rakyat. Selain itu, Zahid mendakwa perdana menteri tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong apabila tidak membenarkan Parlimen bersidang secepat mungkin selepas baginda menitahkan perkara itu.

Beliau juga berkata selepas Malaysia mencapai imuniti kelompok bagi mengekang jangkitan COVID-19, perdana menteri sementara akan menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum “bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk mereka membuat keputusan.”

Zahid juga berkata Majlis Tertinggi UMNO tidak akan bekerjasama dengan pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim daripada Pakatan Harapan dan menghentikan spekulasi bahawa beberapa pemimpin UMNO telah mengadakan rundingan bagi membentuk kerajaan dengan gabungan itu.

Ramai pemimpin UMNO tidak puas hati dengan Muhyiddin dan partinya iaitu Bersatu kerana mereka mendakwa perdana menteri telah meminggirkan UMNO yang memenangi kerusi paling banyak - 39 – dalam gabungan pemerintah. Parti itu juga telah berbolak-balik bahawa ia akan menyokong beliau sehingga pilihan raya berikutnya namun pada masa yang sama, mengancam untuk meninggalkan gabungan itu sebelum pilihan raya umum.

Minggu lepas, media melaporkan sumber yang tidak dinamakan sebagai berkata bahawa UMNO akan keluar daripada Perikatan Nasional sebelum 1 Ogos. Kesemua laporan ini timbul selepas kerajaan mengumumkan bahawa ia akan mengadakan persidangan Parlimen sebelum Proklamasi Darurat berakhir iaitu pada 1 Ogos.

Pada Isnin lepas, Muhyiddin mengumumkan bahawa Dewan Rakyat akan bersidang selama lima hari bermula pada akhir Julai diikuti Dewan Negara selama tiga hari pada Ogos.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 1 Mac 2020, seminggu selepas kerajaan Mahathir Mohamad tumbang, yang sebahagiannya disebabkan oleh tindakan Muhyiddin meninggalkan gabungan pemerintah.

Beliau kemudian membentuk satu pakatan dengan UMNO, parti yang diselubungi pelbagai skandal selepas membantu Mahathir menumbangkannya dalam pilihan raya bersejarah pada 2018 yang membawa perubahan buat kali pertama dalam tampuk kekuasaan kerajaan Malaysia.

Pelantikan Muhyiddin ke tampuk pemerintahan telah dibantah oleh rakyat yang mendakwa bahawa beliau telah membentuk “sebuah kerajaan menggunakan pintu belakang” namun isu itu semakin lenyap selepas negara dilanda pandemik koronavirus.

Bagaimanapun, hubungan parti beliau Bersatu dan UMNO tidak begitu erat dan tidak berjalan dengan lancar serta berada dalam keadaan yang harmoni.

‘Permainan kerusi muzikal’

Sebelumnya pada awal Rabu, Muhyiddin telah mengambil langkah awal daripada UMNO yang mahu menarik balik sokongan terhadap kerajaan pimpinannya dengan menaikkan pangkat dua menteri dari parti itu.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa Menteri kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob telah dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri, sementara rakannya, Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein telah dilantik sebagai menteri kanan yang berkuatkuasa serta merta.

Para penganalisis politik berpandangan yang pelantikan dua pemimpin UMNO itu sebagai langkah untuk memperkukuhkan kedudukan Muhyiddin, menjelang sesi sidang Parlimen.

Menyifatkan perkembangan terbaharu itu sebagai “permainan kerusi muzikal”, penganalisis politik dari Nottingham University di Malaysia, Bridget Walsh berkata langkah itu bertujuan mengekalkan kedudukan Muhyiddin memandangkan Parlimen akan kembali menyambung sidangnya dalam tempoh 20 hari, dengan UMNO mengugut untuk menarik diri daripada PN, yang boleh membawa kepada tumbangnya kerajaan.

Ahmad Zahid sebelum ini dikaitkan dengan gerakan untuk memujuk Anggota Parlimen dari parti itu untuk menyokong pelantikan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri baharu, dakwaan yang dinafikan beliau sebelum ini.

Gerakan itu telah mendapat bantahan keras daripada kumpulan penentang dalam parti, dengan Ismail dan beberapa MP UMNO yang memegang jawatan dalam Jemaah Menteri dan kerajaan secara terbuka menolak sebarang usaha untuk menjalin kerjasama dengan Anwar dan Pakatan Harapan.

“Kedua-dua lantikan itu bertujuan mengekang kemungkinan UMNO menarik diri daripada kerajaan, pada masa yang sama ia akan melebarkan lagi perpecahan di antara kem Presiden Ahmad Zahid dan kem Ismail,” katanya kepada BenarNews.

“UMNO jelas sekali berpecah, jadi sukar untuk menelah sama ada parti itu akan menerima pelantikan tersebut,” ujarnya lagi.

Abdul Latiff Mohd Ibrahim, yang telah bersara sebagai pensyarah di Pusat Perdana untuk Polisi STI di Universiti Teknologi Malaysia bersetuju dan berkata: “Pelantikan ini bukan sahaja satu ganjaran, tetapi ia juga bertujuan mengekalkan mereka dalam kerajaan.

Pelantikan ini sebenarnya boleh dilakukan dengan mudah pada hari pertama pentadbiran ini dibentuk,” ujarnya, sambil berkata kedudukan Anggota Parlimen UMNO dalam kerajaan akan bergantung kepada kemampuan Zahid untuk menarik sokongan beberapa Anggota Parlimen yang lain untuk berpaling tadah dari Muhyiddn.

“Sekiranya ini berlaku, kerajaan PN akan bergantung dengan tali yang rapuh. Ia boleh putus pada bila-bila masa,” ujarnya lagi.

Kedua-dua Ismail dan Hishammuddin berterima kasih kepada Perdana Menteri atas lantikan itu sambil menyifatkan ia adalah amanah yang besar dan berikrar melakukan yang terbaik.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS), ahli sekutu dalam kerajaan PN berkata kerajaan telah mengambil langkah yang tepat dengan melantik dua pemimpin itu, dalam satu kenyataan pendek yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan.

Pada Isnin, Zahid telah mempengerusikan satu mesyuarat dengan Anggota Parlimen Barisan Nasional dan beberapa portal media tempatan telah melaporkan yang majoriti Anggota Parlimen UMNO mengambil pendirian untuk terus kekal dalam kerajaan.

Pendirian Anggota Parlimen BN itu telah mengesahkan dakwaan Mohamed Nazri Aziz yang juga dari UMNO sebelum ini kepada BenarNews yang sekurang-kurangnya 25 Anggota Parlimen dari parti itu telah hilang keyakinan terhadap Zahid.

Anggota Parlimen Padang Rengas itu pada bulan lalu mengakui yang beliau adalah individu di sebalik gerakan untuk mengumpul Perakuan Berkanun (SD) di kalangan Anggota Parlimen BN untuk menyokong Hishammuddin sebagai mewakili mereka bagi memenuhi sebarang jemputan dari Istana Negara selepas ini.

“Saya sendiri bersama 25 Anggota Parlimen UMNO sokong Hishammuddin, saya ada 25 orang yang sign SD, ini lebih daripada 50 peratus Anggota Parlimen UMNO, saya tak takut,” ujarnya kepada BenarNews.

Penganalisis politik, Wong Chin Huat berkata kepada BenarNews, sekiranya kem Zahid berjaya mengekalkan penguasaan dalam UMNO, wujud kemungkinan parti itu akan memecat menteri-menteri dan para Anggota Parlimen yang dilihat cenderung menyokong BERSATU, sekaligus memaksa mereka beralih kepada parti yang dipimpin Muhyiddin itu.

“Bagaimanapun, sekiranya keadaan berpihak kepada Muhyiddin, kem Zahid masih mampu untuk mempengaruhi sekurang-kurangnya enam atau tujuh Anggota Parlimen untuk menarik balik sokongan kepada kerajaan. Untuk kekal berkuasa, Muhyiddin perlu mendapat minimum sokongan 112 daripada keseluruhan 222 MP.

“Kerajaan Muhyidin akan berdepan dengan cabaran pada sesi sidang Parlimen selepas 2 Ogos, di mana ia akan berdepan risiko kalah dalam memperoleh sokongan bagi meluluskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja atau Rang Undang-Undang Belanjawan 2022. Sebarang tindakan membubarkan parlimen bagi memboleh pilihan raya mengejut diadakan, akan dilihat sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab, jadi Muhyiddin perlu mencari jalan untuk mengembalikan sokongan majoriti,” katanya lagi.

Noah Lee dan Nisha David di Kuala Lumpur turut membantu kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.