UMNO Tetap Jalankan Siasatan Terhadap Muhyiddin

Staf BeritaBenar
2015.12.11
151211-MY-UMNO620 Presiden parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang juga Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, berjalan di hadapan bekas Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin semasa perhimpunan agung tahunan parti itu di Kuala Lumpur. 10 Disember 2015
AFP

UMNO tetap menjalankan siasatan terhadap Timbalan Presidennya Muhyiddin Yassin, walaupun sekiranya ada permohonan maaf daripada beliau kerana tindakannya berucap di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di Kuala Lumpur pada 7 Disember lalu dilihat telah melampaui batas,  menurut media Malaysia.

Akhbar The Star melaporkan Naib Presiden UMNO Hishammudin Hussein  sebagai berkata bahawa siasatan sedang  dijalankan untuk menentukan sama ada Muhyiddin telah melakukan sebarang salah laku apabila beliau mengkritik presiden parti Najib Razak semasa berucap di kelab berkenaan.

Muhyiddin, yang dilarang berucap semasa Perhimpunan Agung UMNO tahun ini oleh Majlis Tertinggi parti itu, telah mengambil tindakan berucap di hadapan para penyokongnya sehari menjelang perhimpunan terbesar parti orang Melayu itu.

Ia merupakan tradisi bagi Timbalan Presiden UMNO untuk berucap merasmikan mesyuarat pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri sebelum bermulanya Perhimpunan Agung parti itu.

Muhyiddin dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Najib pada Julai lepas, kerana lantang mengkritik Perdana Menteri itu berkaitan skandal rasuah dan isu sumbangan RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun peribadi Najib.

“Siasatan mesti diteruskan. Kalaulah salah tetap salah. Kalau siasat mereka akan siasat. Ini tidak ada kena-mengena dengan minta maaf atau tidak, kalau ada permintaan maaf," kata Hishammuddin dalam satu sidang media pada Jumaat.

Taat kepada pemimpin yang amanah

Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor pula berkata, Muhyiddin dilihat telah melampaui batasan ketika berucap di kelab itu dan beliau boleh hilang jawatan parti akibat perbuatannya itu.

Sementara itu, Muhyiddin menggunakan Facebook untuk menjawab ulasan ucapan dasar Presiden UMNO dengan berkata, dalam Islam setiap umatnya dituntut supaya patuh dan taat kepada pemimpin yang taat kepada perintah Allah, amanah, jujur, berintegriti dan bersih, serta menjauhi perkara-perkara mungkar.

“Tanggungjawab saya ialah untuk memberikan nasihat kepada Presiden supaya mendengar suara ahli parti dan segera memperbetulkan keadaan. Sebaliknya saya disingkir, disisih malah dihalang daripada melaksanakan tugas dan tanggungjawab saya sebagai Timbalan Presiden,” ujar beliau.

Muhyiddin juga berharap perbahasan mengenai ucapan dasar Presiden dapat menyentuh perkara penting yang dapat menarik semula kepercayaan rakyat terhadap UMNO.

Dalam pada itu, rata-rata perwakilan UMNO berharap Najib dan Muhyiddin berdamai dan mereka menyuarakan hasrat itu, semasa berucap membahaskan usul ucapan presiden.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Kelantan, Ismail Mohamed Said berkata kesediaan Presiden untuk duduk berbincang dengan mana-mana pemimpin yang mempunyai permasalahan berbangkit membuktikan bahawa beliau adalah pemimpin berjiwa besar.

Ketua pergerakan Wanita UMNO, Shahrizat Abdul Jalil berkata Muhyiddin dan Naib Presiden Mohd Shafie Apdal serta bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, perlu duduk berbincang dengan kepimpinan tertinggi UMNO bagi menyelesaikan perbezaan pendapat antara mereka.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Abdul Rahman Dahlan pula berpendapat pemimpin perlu akur dengan suara perwakilan yang bertanggungjawab memilih kepimpinan parti.

"Kita berdoa agar UMNO bersatu. Kita berharap Muhyiddin mendengar harapan perwakilan dan mereka yang lain juga akan faham," kata Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan seperti dilapor Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.