PM Malaysia Ikrar ‘Tidak Akan Berundur’ Terhadap Kritikan berhubung Skandal Rasuah

Staf BeritaBenar
2015.12.10
151210-MY-NAJIB620 Perdana Menteri Najib Razak (tengah) memeriksa perbarisan sempena perasmian Perhimpunan Agung parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) di Kuala Lumpur. 10 Disember 2015.
AFP

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak pada Khamis berikrar tidak akan tunduk kepada tekanan supaya meletak jawatan berhubung skandal rasuah, dan membangkitkan tentang kaum dan agama semasa menuntut kesetiaan parti itu pada perhimpunan agungnya .

“Tidak akan berundur! Tidak akan menyerah kalah!,” kata Najib semasa menyampaikan ucapan penuh semangat pada perhimpunan agung parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)  di Kuala Lumpur, sambil beliau menepis desakan supaya meletakkan jawatan kerana  skandal itu.

UMNO menerajui Barisan Nasional, sebuah gabungan yang memerintah Malaysia yang pelbagai etnik dan pelbagai agama sejak 1957, tetapi parti itu dianggotai etnik Melayu beragama Islam.

Namun, populariti parti itu merosot sejak beberapa tahun lepas dan kini  ia berebut undi dengan parti pembangkang berasaskan agama iaitu Parti Islam Se-Malaysia  (PAS) serta pakatan pembangkang yang diketuai  Anwar Ibrahim, yang kini dipenjarakan selepas didapat bersalah meliwat pembantunya dalam  kes yang dilihat ramai mempunyai kaitan dengan politik.

Sokongan untuk gabungan Najib juga merosot dalam dua pilihan raya umum lepas.  Pada 2013, ia memenangi pilihan raya itu tetapi tewas  undi popular buat pertama kalinya kepada pakatan Anwar.

Dalam ucapan hampir dua jam itu, Najib juga membangkitkan tentang agama dan kaum kepada partinya dengan berkata bahawa rakyat Islam negara itu akan berdepan bencana jika UMNO tewas pilihan raya umum akan datang, yang bakal diadakan pada 2018.

“ Maksud saya, seandai dan sekiranya UMNO ditolak, negara ini akan diperintah oleh mereka yang anti perjuangan Islam serta menolak perjuangan Melayu dan Bumiputera,” tegas perdana menteri.

“Apakah kita mahu masa depan anak cucu dan agama Islam dipertaruh kepada selain daripada kepimpinan Melayu dan Islam sedia ada?,” tegasnya.

'Berselindung di sebalik nama Islam’

Mahfuz Omar, Ahli Parlimen PAS yang mewakili Pokok Sena di Kedah,  membidas Najib selepas berakhirnya ucapan beliau, dengan berkata orang Melayu berdepan bencana kerana salah guna kuasa  UMNO.

“Bila pula UMNO perjuangkan Islam dan kepentingan Melayu?” kata Mahfuz  kepada BeritaBenar pada  Khamis.

“Rasuah,salah guna kuasa bukannya ajaran Islam dan budaya peribadi Melayu.Apa yang UMNO buat ialah cuba berselindung di sebalik nama Islam dan Melayu untuk menghalalkan segala kejahatan yang mereka lakukan,” tambah Mahfuz, yang juga bekas ketua penerangan PAS.  

Pada Jun lepas, PAS dipecat keluar daripada pakatan Anwar, yang turut dianggotai Parti Tindakan Demokratik(DAP) yang majority ahlinya adalah Cina.

Pemimpin asing beri wang: Timbalan PM

Ucapan Najib berakhir pada penghujung tahun yang penuh bergelora buat dirinya sebagai perdana menteri, yang memimpin negara sejak 2009.

Sejak beberapa bulan lepas, Najib terus diasak dan didesak meletak jawatan, setelah munculnya  dakwaan bahawa hampir $700 juta didepositkan dalam akaun peribadi bank beliau.

Perdana menteri turut lantang membalas kritikan para pengkritiknya, dan kerajaan beliau  telah menyekat kebebasan bersuara dan mengugut untuk menahan mereka atas dakwaan hasutan atau mencetuskan huru hara, terutamanya selepas berita mengenai skandal itu dihebahkan pad awal Julai.

Najib mengakui bahawa sejumlah besar  wang telah didepositkan dalam banknya menerusi entiti yang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB),  dana pembangunan negara yang kini sarat  menanggung hutang.

Beliau terus menerus menafikan sebarang salah laku dan menegaskan bahawa wang itu  disumbangkan kepadanya.

Pada Sabtu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil keterangan perdana menteri berhubung deposit wang itu, yang sebahagian daripada  siasatan berhubung 1MDB. Kemudian ia  mengesahkan bahawa pegawai dari agensi berkenaan telah dihantar ke Timur Tengah untuk mengambil keterangan penderma wang itu.

Pada Rabu, bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Agenda Daily, laman web yang membuat liputan mengenai politik Malaysia, bahawa sumbagan kontroversi itu diberikan oleh seorang pemimpin sebuah negara asing.

“Pimpinan kerajaan itu telah memberikan jumlah dana yang lebih besar dan banyak kepada negara Islam yang lain juga,” kata Zahid dalam temu bual itu  tanpa menamakan negara berkenaan atau menjelaskan apa  tujuan sumbangan tunai itu.

"Dan negara itu tidak minta kontrak atau projek daripada kita,” kata timbalan perdana menteri .

"Patutnya kita berterima kasih kerana negara itu tidak minta apa-apapun.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.