Pemimpin Asia Tenggara Suarakan Kebimbangan COVID-19 Pada Perhimpunan Agung PBB Secara Maya

Staf BeritaBenar
2020.09.22
Washington
200922-PH-un-620.JPG Presiden Filipina Rodrigo Duterte kelihatan di skrin video semasa menyampaikan ucapan pertamanya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang hampir kosong di New York berikutan pandemik COVID-19, 22 September 2020.
[Paparan daripada video Reuters]

Dalam ucapan sempena ulang tahun ke-75 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pemimpin-pemimpin Asia Tenggara pada Selasa menggesa komuniti antarabangsa untuk menyelaraskan usaha memerangi COVID-19 dan menghasilkan vaksin yang boleh diakses oleh semua penduduk dunia.

Presiden Filipina Rodrigo Duterte dan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin membangkitkan mengenai pandemik itu dalam ucapan sulung mereka pada Perhimpunan Agung PBB - yang dirakam sebelumnya dari negara mereka dan disiarkan pada mesyuarat itu.

Buat pertama kalinya, perhimpunan tahunan itu diadakan secara maya berikutan kebimbangan kesihatan mengenai jangkitan dan virus yang boleh membawa maut tersebut.

Menteri Luar Negeri Indonesia Retno Marsudi juga menyuarakan  tentang perlunya kerjasama antarabangsa dalam memerangi pandemik koronavirus global itu.

COVID-19 adalah "ujian terbesar yang perlu dihadapi dunia dan PBB sejak Perang Dunia II," kata Duterte, sambil memberitahu bahawa "cara kita menangani COVID-19 bakal menentukan masa depan kita."

"Walaupun setiap negara memiliki strategi tersendiri dalam memerangi pandemik itu, apa yang dunia perlukan adalah rancangan dan usaha antarabangsa yang diselaraskan bagi mencapai matlamat yang sama," kata Duterte sambil menambah “COVID-19 tidak mengenal sempadan. Tidak kenal kewarganegaraan. Tidak tahu persaingan. Ia tidak mengenal jantina. Tidak tahu tentang usia. Ia tidak tahu akidah."

Pemimpin Filipina itu berkata persaingan sedang berlaku bagi mencari vaksin yang selamat dan berkesan untuk virus tersebut.

Filipina yang disusuli Indonesia mendahului semua negara di Asia Timur dalam mempunyai kes positif COVID-19.

"Jangan dinafikan akses. Ia harus boleh diperoleh semua negara kaya dan miskin," kata Duterte. Presiden Filipina itu menolak untuk menghadiri sesi tahunan Perhimpunan Agung PBB itu di New York sejak beliau dipilih pada 2016 ekoran kritikan PBB mengenai pembunuhan di luar kuasa undang-undang yang dilakukan semasa tindakan keras pentadbirannya dalam memerangi dadah.

Muhyiddin, yang menyandang jawatan perdana menteri pada Mac, pula memberitahu bahawa beliau berucap dari negaranya berikutan pandemik global itu.

"Ia telah meragut begitu banyak nyawa dan memperlihatkan keupayaan dan keberkesanan sebenar sistem penjagaan kesihatan kita. Ia juga telah memberi kesan buruk kepada sosioekonomi,” katanya.

"Justeru, dalam hal ini, kita harus memastikan bahawa apabila vaksin COVID-19 ditemukan, ia mestilah boleh diakses oleh semua bangsa dan negara. Tidak boleh ada diskriminasi sama sekali. Kita perlu ingat memandangkan COVID-19 tidak mengenal mangsanya, maka respons kita juga tidak harus sebegitu."

Sambil menyatakan penghargaannya kepada PBB sempena ulang tahun penubuhannya pada 1945, Muhyiddin berkata badan pembawa keamanan itu amat diperlukan ketika ini.

"Namun, organisasi ini sepatutnya perlu melengkapkan diri dengan lebih baik - bukan sahaja dari segi politik, malah sokongan berterusan negara-negara anggotanya untuk bertindak balas kepada masalah yang dihadapi dunia ketika ini," katanya tanpa menyenaraikan masalah tersebut.

Retno, yang berucap pada Perhimpunan Agung itu pada Isnin, menyarankan matlamat jangka pendek bagi memastikan ubat-ubatan dan vaksin untuk memerangi pandemik itu boleh diperoleh semua penduduk dunia. Presiden Indonesia Joko "Jokowi" Widodo dijadual menyampaikan ucapannya pada perhimpunan PBB itu pada pagi Rabu (waktu Jakarta).

"Dengan semangat ini, Indonesia mahu bersama-sama menjayakan  resolusi Perhimpunan Agung mengenai 'Solidariti Global dalam Memerangi COVID-19' yang mengiktiraf peranan pusat PBB dalam memerangi wabak itu," kata Retno.

Bagi matlamat jangka panjang, beliau meminta PBB supaya  memperkukuhkan lagi sistem kesihatan global.

Semasa menyampaikan ucapannya kepada badan dunia itu pada Isnin, Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc pula memuji negaranya - dengan bantuan pihak lain - dalam menangani pandemik koronavirus itu.

"Hasil kerjasama dengan semua rakan antarabangsa sertas atas usaha kami sendiri, Vietnam telah dapat membendung COVID-19, dan pemulihan ekonomi kami yang kukuh bakal menyusul," katanya.

‘Krisis kesihatan zaman’


Dalam ucapan alu-aluannya pada perhimpunan maya tahun ini, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menyuarakan kebimbangannya mengenai coronavirus.

"Pandemik COVID-19 telah merubah perhimpunan kita menjadi berbeza daripada apa yang disangkakan," katanya. "Namun, ia telah menjadikannya sebagai perhimpunan yang lebih penting."

"Kita secara serentak sedang menghadapi krisis kesihatan zaman, malapetaka ekonomi dan kehilangan pekerjaan yang terbesar sejak Zaman Meleset dan ancaman baru yang berbahaya terhadap hak asasi manusia," kata Guterres. "COVID-19 telah memperlihatkan kerapuhan dunia."

Beliau menggesa negara-negara anggota supaya bertindak secara bersolidariti, dan menyatakan bahawa hanya bantuan kecil yang telah ditawarkan kepada negara-negara yang amat memerlukan. Beliau memberitahu bahawa usaha "perlulah dipandu oleh sains dan mengikut realiti."

"COVID-19 bukan sahaja memberi kejutan kepada kita, malah memberi latihan tentang cabaran mendatang kepada dunia," kata Guterres. “Kita harus bergerak maju dengan rendah hati - menyedari bahawa virus mikroskopik ini telah memberi kejutan besar kepada dunia.

“Kita mesti bersatu. Kita telah saksikan, ketika negara-negara memberi tumpuan kepada negara mereka sendiri, virus itu sebaliknya menuju ke semua arah. "

Filipina, Indonesia dan Malaysia menanggung pelbagai kesan daripada pandemik itu, yang turut menjejaskan ekonomi negara mereka.

Filipina mencatatkan 291,789 kes dan 5,049 kematian akibat COVID-19; Indonesia mempunyai 252,923 kes dan 9,837 kematian manakala  Malaysia melaporkan 10,358 kes dan 130 kematian, menurut pakar penyakit di Johns Hopkins University, Amerika Syarikat. Di peringkat global, lebih 31.4 juta orang dijangkiti COVID-19 dan lebih daripada 966,000 telah meninggal dunia.

Duterte menggesa Perhimpunan Agung PBB supaya memastikan  Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mempunya sumber-sumber yang diperlukan untuk memerangi COVID-19.

“Kami memerlukan WHO yang pantas melakukan penyelarasan dan lebih cepat bertindak. Filipina akan memainkan peranannya dalam menyatukan sumber-sumber global. Pekerja kesihatan kami adalah antara yang terbaik,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.