Myanmar: Malaysia kecewa tiada tindakan serius oleh Majlis Keselamatan PBB

Kuasa veto wakil tetap Majlis itu "menyebabkan konflik tidak dapat diselesaikan", kata Ismail Sabri Yaakob di Perhimpunan Agung PBB.
Shailaja Neelakantan & Nani Yusof
2022.09.23
Washington
Myanmar: Malaysia kecewa tiada tindakan serius oleh Majlis Keselamatan PBB Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob (tengah bawah) semasa berucap pada sesi ke-77 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di ibu pejabat PBB di New York, 23 Sept. 2022.
[Jason DeCrow/AP]

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu [PBB] tidak mengambil tindakan serius untuk memperbetulkan keadaan di Myanmar selepas berlakunya rampasan kuasa di negara bergolak itu, kata Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat, dengan menegaskan bahawa lima wakil tetap badan elit itu menyebabkan konflik sukar diselesaikan kerana sering menyalahgunakan kuasa veto mereka.

Semasa berucap pada Perhimpunan Agung PBB di New York, Ismail Sabri juga berkata Persatuan Negara-negara Asia Tenggara [ASEAN] perlu membatalkan perjanjian yang dibuatnya dengan Myanmar bagi mengembalikan demokrasi ke negara itu kerana junta tidak melakukan apa-apa pun untuk melaksanakan perjanjian tersebut.

Dalam ucapan selama 22 minit, Perdana Menteri Malaysia itu membidas Majlis Keselamatan PBB, yang dianggapnya sebagai "masalah paling besar" dalam badan dunia tersebut.

“Amat mendukacitakan, apabila Majlis Keselamatan tidak mengambil sebarang tindakan serius dalam menangani situasi ini. Malah, ada yang melihat Majlis Keselamatan lepas tangan dan menyerahkannya kepada ASEAN.

“Kuasa veto seringkali disalahgunakan untuk memihak kepada kuasa dunia yang memilikinya. Ia tidak demokratik dan melanggar prinsip hak asasi manusia. Ini menyebabkan konflik yang berlaku tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana wakil tetap Majlis tersebut,” kata Perdana Menteri Malaysia yang lantang bersuara di pentas dunia berkenaan pada lewat petang Jumaat waktu New York.

Beliau berkata sebagai organisasi yang membawa semangat dan lambang demokrasi kepada dunia, PBB perlu kembali kepada landasan penubuhannya.

“Selaras dengan prinsip satu negara satu undi, sekarang adalah masanya kuasa veto dihapuskan,” tegas Ismail Sabri.

Bagi mana-mana resolusi Majlis Keselamatan untuk diterima pakai, tiada seorang pun wakil tetapnya - Rusia, Britain, China, Perancis dan Amerika Syarikat boleh memvetonya dengan penganalisis berpendapat China dan Rusia akan menghalang sebarang tindakan tegas seperti sekatan yang luas dan mengikat diambil terhadap junta Myanmar yang ganas.

Pasukan tentera junta Myanmar telah membunuh lebih daripada 2,300 orang sejak jeneral mereka merampas kuasa dengan menggulingkan kerajaan yang dipilih pada 1 Februari 2021.

Minggu lalu, tentera junta Myanmar dilaporkan melepaskan tembakan ke arah sebuah sekolah di kampung dalam wilayah Sagaing dan menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh pelajar terbunuh dalam insiden terburuk membabitkan kanak-kanak setakat ini di negara bergolak itu.

Sementara itu, pihak junta sengaja mengabaikan perjanjian lima perkara yang dicapai dengan blok serantau ASEAN pada April tahun lalu.

Perjanjian itu dilihat sebagai pelan tindakan bagi mengembalikan demokrasi ke Myanmar tetapi gagal dicapai kerana junta dan pemimpinnya Min Aung Hlaing tidak melaksanakan satu pun perkara yang telah dipersetujui mereka pada sidang khas tergempar ASEAN itu di Jakarta.

Perdana Menteri Malaysia juga berkata konsensus tersebut tidak berhasil.

Tiada kemajuan

“Malaysia kecewa tiada kemajuan bermakna dalam pelaksanaan ‘Kesepakatan Lima Perkara’ ASEAN terutamanya oleh pihak junta Myanmar. Dalam acuannya sekarang, ‘Kesepakatan Lima Perkara’ ASEAN ini tidak boleh diteruskan lagi,” kata Ismail Sabri.

“Justeru, kesepakatan ini perlu diberi nafas baharu dan diperhalusi berdasarkan rangka kerja, jangka masa dan matlamat akhir yang lebih jelas,” katanya.

Awal minggu ini, diplomat tertinggi Malaysia Saifuddin Abdullah berkata bahawa Kuala Lumpur merancang untuk mendesak ASEAN supaya membuat keputusan segera berkaitan konsensus lima perkara mengenai Myanmar sebelum blok Asia Tenggara itu bersidang pada November depan.

"Di antara hari ini dan November, ASEAN mesti mempertimbangkan semula konsensus lima perkara ini secara serius sama ada ia masih relevan dan memutuskan adakah ia masih relevan (untuk diteruskan). Bila kita bermesyuarat November depan, kita mesti membincangkan semua persoalan ini dan mempunyai jawapan untuknya," kata beliau kepada pemberita semasa misi diplomatik Malaysia ke PBB.

"Sekiranya ia tidak berhasil, maka kita perlu membuat keputusan apakah langkah yang hendak diambil selepas ini. Kita tidak boleh hanya mula membincangkan perkara ini pada bulan November nanti. Kita perlu mula dari sekarang."

Sementara itu, Ismail Sabri turut berkata bahawa situasi politik Myanmar telah memburukkan keadaan berjuta-juta pelarian Myanmar termasuk pelarian etnik Rohingya tanpa kerakyatan dengan ratusan ribu daripada mereka terpaksa melarikan diri selepas apa yang disebut Amerika Syarikat sebagai pembunuhan beramai-ramai pada Ogos 2017.

“Walaupun Malaysia bukan negara yang menandatangani Konvensyen Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967, Malaysia, atas dasar kemanusiaan, menerima hampir 200,000 pelarian Rohingya.

“Oleh demikian, adalah menjadi tanggungjawab kesemua negara termasuk negara peserta konvensyen untuk turut mengambil lebih ramai pelarian bagi ditempatkan di negara masing-masing,” kata Perdana Menteri Malaysia itu.

Ismail Sabri berkata Malaysia amat menekankan peri pentingnya dunia menangani punca utama krisis Rohingya.

“Saya percaya bahawa isu ini tidak akan diselesaikan selagi krisis di negara tersebut berterusan,” katanya lagi.

Perdana Menteri itu juga berkata Malaysia menentang pencabulan undang-undang antarabangsa termasuk prinsip kedaulatan dan integriti wilayah sesebuah negara.

“Apabila tercetusnya konflik, semua pihak bertanggungjawab untuk meredakan ketegangan dan memberi keutamaan kepada keselamatan dan nyawa orang awam. Pada masa yang sama, pihak yang bertelagah perlu kembali ke meja perundingan untuk menghentikan konflik secepat mungkin,” katanya.

Ismail Sabri turut berkata yang Malaysia tidak bersetuju dengan tindakan pengasingan sesebuah negara daripada pertubuhan antarabangsa di mana langkah sedemikian adalah bertentangan dengan prinsip multilateralisme dan menghalang dialog.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.