Rakyat Malaysia di Luar Negara Akan Didaftarkan Secara Automatik Sebagai Pengundi

Perlaksanaan pendaftaran automatik itu dijangka akan meningkatkan jumlah pengundi kepada 22.7 juta menjelang 2023 berbanding 14.7 juta.
Noah Lee
2021.10.06
Kuala Lumpur
Rakyat Malaysia di Luar Negara Akan Didaftarkan Secara Automatik Sebagai Pengundi Seorang wanita melaksanakan kewajipan dengan mengundi semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Kawasan Semenyih, Selangor, 2 Mac 2019.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Untuk kali pertamanya, rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara - dianggarkan dalam lingkungan 1.7 juta individu - akan didaftarkan sebagai pengundi secara automatik, menurut timbalan menteri undang-undang negara itu pada Rabu, sekaligus membolehkan kumpulan tersebut dapat mengundi pada Pilihanraya Umum Malaysia ke-15 yang dijangka akan diadakan dalam separuh tahun pertama 2023.

Sebelum ini, rakyat yang tinggal di luar negara perlu pulang ke Malaysia dan melakukan proses pendaftaran sebagai pengundi secara fizikal sebelum boleh dibenarkan untuk mengundi.

Langkah pendaftaran automatik itu akan turut melibatkan pengundi muda berusia 18 tahun keatas, susulan perintah mahkamah yang mengarahkan supaya Putrajaya membenarkan golongan belia berusia 18 tahun keatas untuk mengundi serta melaksanakan pendaftaran pengundian automatik sebelum 31 Disember depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Undang-undang] Mas Ermieyati Samsudin memberitahu Dewan Rakyat pada Rabu bahawa tidak ada rakyat Malaysia yang layak akan terkecuali daripada didaftarkan secara automatik sebagai pengundi.

"Berdasarkan keputusan oleh Mahkamah Tinggi Kuching, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) komited melaksanakan pendaftaran pengundian automatik dan Undi 18.

"Sebab itulah segala maklumat atau warga Malaysia pasti akan turut didaftarkan sebagai pengundi. Jika diikutkan apa yang termaktub di dalam peraturan dan juga dalam undang-undang, tidak ada yang terkecuali. [Ini termasuk] mereka yang berada di luar negara, walau mereka tidak daftar sebagai pemilih, secara automatiknya mereka akan didaftar sebagai pemilih," kata beliau.

Mas Ermieyati yang merupakan Anggota Parlimen Masjid Tanah berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Anggota Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah yang ingin mengetahui sama ada kemudahan pendaftaran automatik yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan akan turut meliputi rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

Malaysia mempunyai kira-kira 14.9 juta pengundi yang direkodkan menerusi daftar pemilih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei 2018.

Dewan Rakyat pada Julai 2019 telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang memegang tampuk pemerintahan negara pada masa itu bahawa jumlah pengundi dijangka meningkat kepada 22.7 juta menjelang 2023, sekiranya pendaftaran pemilih secara automatik dilaksanakan negara tersebut.

Timbalan Menteri berkenaan sebelum itu memberitahu Parlimen bahawa Perlembagaan Persekutuan menetapkan kelayakan seseorang untuk didaftar sebagai pengundi adalah mereka mesti bermastautin di mana-mana bahagian pilihan raya. SPR akan menentukan bahagian mana seseorang pengundi itu didaftarkan mengikut alamat seperti di dalam kad pengenalan mereka. Ini termasuklah rakyat Malaysia dari Sabah dan Sarawak yang berada di Semenanjung.

Beliau turut memaklumkan Dewan Rakyat mengenai senarai kategori pengundi yang layak untuk mengambil bahagian dalam proses pengundian secara pos, antaranya ialah petugas pilihanraya, anggota tentera dan polis yang bertugas sewaktu hari mengundi awal, petugas media yang bertugas di luar kawasan semasa hari pengundian, kakitangan beberapa jabatan kerajaan termasuk anggota bomba dan petugas kesihatan.

"Kategori kelima yang diberikan kemudahan undi pos adalah pengundi Malaysia yang berada di luar negara, kecuali negara Brunei, Singapura, Kalimantan dan Selatan Thailand," kata Mas Ermieyati.

Pada 3 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuching di negeri Sarawak memutuskan bahawa kerajaan Persekutuan mesti membenarkan golongan belia mengundi sebelum 31 Disember ini.

Penghakiman itu dibuat dalam kes yang difailkan pada Mei lalu selepas SPR mengumumkan bahawa pelaksanaan kebenaran mengundi untuk golongan muda ditangguhkan ke September 2022 berbanding tarikh yang dirancang pada Julai tahun ini.

Putrajaya kemudiannya telah mengarahkan SPR supaya "melakukan semua yang perlu di bawah kuasanya" untuk mematuhi perintah mahkamah, dengan Menteri Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk merayu keputusan berkenaan.

Susulan daripada itu, SPR telah melancarkan proses Semakan Pra-Pendaftaran Pemilih Automatik yang diadakan bermula 1 Oktober sehingga 31 Oktober ini bagi membolehkan semua rakyat Malaysia yang telah layak umur mengundi menyemak maklumat peribadi mereka, termasuk alamat tempat mastautin, dan mengesahkan dengan pihak berkuasa itu sebelum nama mereka didaftarkan sebagai pengundi.

Sebelum pelaksanaan pendaftaran automatik, rakyat Malaysia di luar negara mesti mendaftar sebagai pemilih terlebih dahulu sebelum mereka boleh memohon untuk melakukan undian secara pos.

Proses pendaftaran pengundi perlu dilakukan di mana-mana pusat pendaftaran SPR, kecuali untuk pegawai kerajaan yang bertugas serta pelajar di luar negara serta pasangan mereka yang layak untuk didaftar sebagai Pengundi Tidak Hadir.

Menurut laporan media tempatan yang menyiarkan statistik yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, kira-kira 1.7 juta rakyat Malaysia dianggarkan bekerja di luar negara, dengan sebahagian besar adalah di Singapura (54 peratus), diikuti oleh Australia (15 peratus), UK (5 peratus), dan Amerika Syarikat (10 peratus).

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.