Pilihan Raya Kecil Negeri Melaka 20 November, kata Suruhanjaya Pilihan Raya

Faktor COVID-19, rasa muak dengan kerakusan pemimpin berpolitik dan ‘kelesuan pengundi’, boleh beri impak negatif terhadap jumlah keluar mengundi, kata pakar.
Hadi Azmi & Nisha David
2021.10.18
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Pilihan Raya Kecil Negeri Melaka 20 November, kata Suruhanjaya Pilihan Raya Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali (tengah) bersama sekumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir pada sidang media mengenai kemelut politik semasa di bandaraya Melaka, 4 Oktober 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Pengundi di negeri Melaka akan mengundi pada 20 November depan, kata Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada Isnin walaupun pilihan raya negeri di Sabah sebelum ini telah diadakan dalam suasana pandemik sehingga menyebabkan lonjakan penularan jangkitan COVID-19 mencanak naik sehingga mengambil masa lebih setahun untuk kembali reda.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka telah dibubarkan pada 4 Oktober lalu setelah kerajaan yang diterajui Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) tumbang akibat penarikan sokongan daripada empat Ahli DUN, termasuk tiga daripada UMNO sendiri.

“Tarikh-tarikh (pilihan raya negeri) Melaka ke-15 seperti berikut… tarikh penamaan calon pada 8 November (Isnin), tarikh mengundi awal pada 16 November (Selasa), tarikh mengundi pula pada 20 November 2021 (Sabtu),” kata pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh pada satu sidang media.

Menurut beliau, sehingga 3 Oktober terdapat seramai 495,196 orang pengundi yang berdaftar untuk mengundi pada pilihan raya negeri tersebut.

"SPR menyasarkan 70 peratus pengundi keluar mengundi. SPR memohon kerjasama semua pihak parti politik dan media dalam mengalakkan pengundi keluar mengundi," jelasnya lagi.

Dalam satu kenyataan berasingan pada malam Isnin, SPR menafikan laporan media tempatan yang memetik sebuah parti politik yang mendakwa suruhanjaya itu telah mengenakan syarat pengundian hanya kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

“SPR menafikan vaksinasi lengkap sebagai syarat untuk pemilih mengundi di PRU DUN Melaka ke-15 sepertimana yang dilaporkan oleh beberapa agensi media.

“SPR juga ingin menegaskan Garis Panduan Pencegahan (SOP) COVID-19 bagi tujuan PRU DUN Melaka Ke-15 masih belum dimuktamadkan,” jelas suruhanjaya tersebut.

Terdahulu, gabungan parti dalam Pakatan Harapan melalui Majlis Presidennya melahirkan rasa kesal terhadap dakwaan tersebut dan mengingatkan bahawa hak mengundi merupakan hak yang termaktub dalam perlembagaan.

“Sungguhpun Pakatan Harapan menyokong penuh usaha pemberian vaksinasi kepada semua, ia tidak boleh dijadikan alasan tindakan diskriminasi ke atas mereka yang belum lengkap dua dos, dan tindakan menghalang ini berkemungkinan tidak sah dari segi undang-undang,” jelas mereka.

Kegusaran terhadap status vaksinasi tersebut walau bagaimanapan merupakan antara kerisauan pengundi-pengundi Melaka yang tidak mahu berulangnya tragedi gelombang besar COVID-19 yang berlaku tahun lalu akibat pergolakan politik yang serupa di negeri Sabah.

Gabenor boleh lantik KM

Bercakap kepada BenarNews, Isnah Abu Said, 46, yang merupakan pengundi di Merlimau, Melaka, pilihan raya negeri sepatutnya tidak perlu, memandangkan Gabenor Negeri boleh sahaja melantik Ketua Menteri yang baharu tanpa membubarkan sidang dewan.

“Macam di peringkat pusat, dua kali berlaku pertukaran kerajaan tanpa pilihan raya, dapat dua perdana menteri dalam tempoh dua tahun, jadi kenapa bila di Melaka sampai perlu bubar?” soal beliau.

Amin Jalaluddin, 32, dari Masjid Tanah pula membandingkan situasi di Melaka dengan negeri Sarawak di mana darurat diistiharkan ke atas seluruh negeri tersebut bagi mengelakkan berlakunya piihan raya.

“Sarawak tangguh pilihan raya sampai tahun depan, sebab tak nak mengundi dalam suasana COVID-19, jadi Melaka bulan 11 dah mengundi. Macam tak masuk akal,” ujar beliau.

Keputusan Gabenor Negeri Melaka Ali Rustam tersebut turut dipersoalkan Pakatan Harapan yang bertindak menfailkan rujukan kehakiman terhadap keputusan tersebut dengan menyifatkannya “dilakukan berdasarkan nasihat yang salah”.

“Tuan Yang Terutama Gabenor Negeri Melaka seharusnya mengikut seperti di peringkat Persekutuan, di mana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memanggil menghadap blok yang dipercayai mempunyai sokongan majoriti terlebih dahulu,” tegas PH dalam kenyataan.

Kenyataan itu ditandatangani bersama oleh Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR); Mohamad Sabu dari Parti Amanah Negara dan Lim Guan Eng (DAP – Parti Tindakan Demokratik) serta Madius Tangau dari UPKO yang menurut mereka lagi masa ini bukanlah masa yang sesuai untuk pilihan raya negeri di adakan.

“Penularan pandemik COVID-19 baharu menunjukkan trend penurunan, sektor-sektor ekonomi baharu juga hendak mula dibuka semula, dan ada kegusaran akan berlakunya gelombang ke-4.

“Kami turut risau jika PRN diteruskan, prosedur operasi standard (SOP) berkempen yang akan digunapakai mungkin mewujudkan keadaan yang tidak adil atau berat sebelah bagi sesetengah pihak,” kata kenyataan gabungan pembangkang itu.

Selain COVID-19, penganalisa politik turut berkata bahawa ada faktor lain yang mungkin mengurangkan jumlah pengundi yang keluar mengundi.

“COVID-19 serta ‘kelesuan pengundi’ mahupun rasa muak dengan kerakusan ahli politik berpolitik mampu memberi impak negatif kepada jumlah pengundi,” kata Tunku Mohar Tunku Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa kepada BenarNews.

Ditanya sama ada pilihan raya negeri Melaka ini mampu menjadi kayu ukur kepada pilihan raya umum ke-15, beliau berkata tidak.

“Isu dalam pilihan raya ini terlalu lokal – perbalahan di antara pemimpin-pemimpin UMNO yang cuba menjatuhkan satu sama lain,” tambah beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh