Mahkamah Malaysia Arah Kerajaan Turunkan Had Umur Mengundi Sebelum Hujung Tahun
2021.09.03
Kuala Lumpur

KEMASKINI pada 11 malam waktu tempatan ETS - 2021-09-04
Golongan muda Malaysia pada Jumaat kegembiraan meraikan kejayaan lima rakan sebaya mereka memenangi kes saman terhadap kerajaan di sebuah Mahkamah Tinggi berikutan kelewatannya memberikan hak mengundi kepada jutaan belia yang berusia di antara 18 dan 21 tahun.
Sekiranya kerajaan tidak membuat rayuan terhadap penghakiman itu, individu dalam lingkungan umur tersebut akan dapat mengundi pada pilihan raya umum yang akan datang. Perdana Menteri Malaysia baharu yang tidak dipilih masih belum membuat sebarang kenyataan berhubung pilihan raya umum, namun perdana menteri sebelum ini pernah menyatakan bahawa beliau merancang untuk mengadakannya selepas pandemik COVID-19 berakhir.
Mahkamah Tinggi Kuching di negeri Sarawak memutuskan bahawa kerajaan Persekutuan mesti membenarkan golongan belia berkenaan mengundi sebelum 31 Disember ini. Penghakiman itu dibuat dalam kes yang difailkan pada Mei lalu selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bahawa pelaksanaan kebenaran mengundi untuk golongan muda ditangguhkan ke September 2022 berbanding tarikh yang dirancang pada Julai tahun ini.
Lima pemohon yang memfailkan saman itu, yang merupakan sebahagian daripada Persatuan Pengundi Muda dikenali sebagai Undi18 cawangan negeri Sarawak, berkata bahawa mereka menghargai keputusan Mahkamah Tinggi dan menganggapnya sebagai satu "keputusan amat besar."
"Matlamat utama kami bukanlah untuk menang semata-mata, sebaliknya kami ingin menghantar mesej bahawa penangguhan pelaksanaan Rang Undang-undang Undi18 adalah tidak rasional, tidak sah, tidak seimbang dan sama seperti menindas pengundi," kata Undi18 Sarawak dalam satu kenyataan.
"Pada pilihan raya yang akan datang, terdapat kira-kira lapan juta pengundi baharu yang akhirnya mampu mengubah atau menentukan keputusan pilihan raya tersebut."
Hakim Alexandar Siew dalam penghakimannya berkata kerajaan Persekutuan dan SPR telah bertindak "secara tidak sah" dan "tidak rasional" apabila melengahkan pelaksanaan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang menurunkan had umur mengundi, setelah ia diluluskan Parlimen pada 2019.
"Mahkamah dengan ini membenarkan permohonan… [dengan memerintahkan] semua responden supaya mengambil semua langkah perlu untuk [melaksanakan pindaan Perlembagaan] supaya ia dilaksanakan secepat mungkin, dan dalam apa jua keadaan menjelang 31 Disember 2021," kata hakim berkenaan.
Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada 2019 berkata bahawa langkah menurunkan had umur mengundi daripada minimum 21 tahun sebelum ini akan meningkatkan bilangan pengundi negara sebanyak 50 peratus lagi atau 7.5 juta orang berbanding kira-kira 15 juta orang ketika itu.
Penghakiman di Kuala Lumpur
Sementara itu, satu lagi keputusan mengenai kes serupa yang difailkan Undi18 dijangka diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Oktober ini. Kumpulan Undi18 Sarawak berharap Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan menjadikan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuching sebagai duluan dan membuat keputusan yang serupa.
Sekiranya Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut membuat keputusan yang memihak kepada Undi18, kerajaan boleh membuat rayuan terhadap satu atau kedua-dua keputusan mahkamah itu di Mahkamah Rayuan. Ia juga boleh mendapatkan penangguhan pelaksanaan pindaan perlembagaan itu dengan memfailkan permohonan penangguhan terhadap satu atau kedua-dua perintah mahkamah tersebut.
Namun, sekiranya Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan yang tidak memihak kepada Undi18, ia akan "mencetuskan kekeliruan dan percanggahan," kata peguam Clarice Chan kepada BenarNews.
"Suruhanjaya Pilihan Raya terpaksa melaksanakan perlembagaan persekutuan yang berbeza di satu negeri dan tidak di negeri yang satu lagi," katanya.
Kerajaan mempunyai tempoh sebulan untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching.
Ahli Parlimen Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 28, yang mempelopori gerakan menurunkan had umur pengundi, serta ramai warganet di media sosial, menyuarakan harapan mereka supaya kerajaan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching itu.
"Orang muda terpaksa pergi ke mahkamah untuk mendapatkan hak mengundi mereka. Hormatilah hak mereka!" menurut catatan Syed Saddiq di Twitter.
Pegawai kerajaan tidak memberikan maklum balas segera kepada permintaan BenarNews untuk mendapatkan komen mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Sarawak itu.
Implikasi kepada pilihan raya akan datang
Undi orang muda "akan menjadi penentu dalam PRU15," kata Bridget Welsh, ahli akademik di Universiti Nottingham Malaysia, yang merujuk kepada pilihan raya umum berikutnya yang dijadualkan pada 2023 sekiranya ia diadakan selepas cukup tempoh penggal Parlimen.
Namun, setelah tumbangnya kerajaan pimpinan Mahathir pada tahun lepas, dan penubuhan kerajaan semasa dua kali berturut-turut tanpa diundi, pilihan raya mungkin diadakan pada tahun depan selepas pandemik reda.
Perdana Menteri baharu Ismail Sabri Yaakob masih belum membuat sebarang kenyataan mengenai pilihan raya sejak beliau mengambil alih tampuk pemerintahan pada 23 Ogos. Perdana Menteri sebelum ini, Muhyiddin Yassin -- yang memimpin kerajaan semasa Suruhanjaya Pilihan Raya menangguhkan penurunan had umur mengundi - berjanji akan mengadakan pilihan raya di seluruh negara selepas penularan pandemik COVID-19 dapat dibendung.
Welsh berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuching dan pilihan raya umum akan membuatkan semua parti politik lebih berhati-hati.
"Keputusan itu membuatkan semua parti sedar mengenai keperluan untuk melakukan lebih banyak lagi dalam menangani isu orang muda - pendidikan, peluang pekerjaan serta menghormati mereka," kata Welsh melalui catatan di Twitter.
Menurut sebuah artikel yang diterbitkan Institut Yusof Ishak di Singapura pada minggu ini, pandemic itu menyukarkan lagi golongan pekerja muda dalam lingkungan usia 15 hingga 24 tahun di Malaysia mendapatkan pekerjaan dan meraih pendapatan.
Kadar pengangguran belia mencecah 12.5 peratus pada 2020, yang meningkat daripada 10.5 peratus pada 2019, menurut artikel itu. Ia melaporkan bahawa pakej rangsangan ekonomi kerajaan "lebih mengutamakan golongan pekerja yang berpengalaman."
"Adalah penting untuk mengekang kesan buruk terhadap pekerja muda dan golongan graduan. Malaysia telah melaksanakan pelbagai program, yang kebanyakannya adalah untuk populasi umum, tetapi hanya sedikit yang menangani isu yang dihadapi pekerja muda," menurut artikel itu.
"Kerajaan yang baru dilantik ini akan menghadapi tekanan hebat dalam menangani isu pengangguran belia serta pekerja muda."
Golongan muda Malaysia banyak kali membuat bantahan terhadap pentadbiran Muhyiddin. Mereka menggesa peletakan jawatan perdana menteri itu kerana dikatakan tidak cekap serta gagal menangani pandemik.
Muhyiddin meletakkan jawatan tetapi ia adalah kerana parti terbesar dalam gabungan yang membentuk kerajaannya telah menarik balik sokongan mereka kepada beliau. Kerajaan baru pimpinan Ismail Sabri pula dilihat amat serupa dengan apa yang dibentuk Muhyiddin, dengan Jemaah Menteri yang hampir sama – dan dikritik ramai dalam media sosial.
Pada Jumaat, seorang rakyat Malaysia menulis di Twitter bahawa belia berusia antara 18 hingga 21 tahun akan membawa impak besar dalam pilihan raya yang akan datang.
"Keputusan Undi18 akan membawa perubahan besar terhadap keputusan pilihan raya umum akan datang," kata Ulya Husamudin.
"Sekiranya kerajaan benar-benar percayakan dan menyokong belia, ia tidak akan membuat rayuan [terhadap keputusan mahkamah itu.]"