Kedutaan AS Di Kuala Lumpur Keluarkan Amaran Acaman Pengganas
2015.09.24
Kedutaan Amerika Syarikat(AS) di Malaysia pada Khamis mengeluarkan amaran kepada rakyat negaranya supaya mengelakkan melalui beberapa jalan yang menjadi tumpuan pelancong di Kuala Lumpur berikutan terdapatnya ‘maklumat ancaman yang boleh dipercayai mengenai potensi berlakunya tindakan pengganas’.
Laman web kedutaan itu mengeluarkan amaran keselamatan tersebut bagi Jalan Alor, iaitu jalan di kawasan pelancongan popular di Bukit Bintang dan kawasan di sekitarnya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan itu, turut mengingatkan rakyat negara itu supaya berhati-hati dan meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan peribadi semasa mengunjungi lokasi-lokasi lain di Malaysia.
“Sebelum ini, organisasi-organisasi pengganas pernah merancang supaya serangan mereka adalah bertepatan dengan tarikh-tarikh penting dalam kalendar, " kata kedutaan itu.
Berikutan amaran Kedutaan Amerika Syarikat, kerajaan Australia pada Khamis turut mengeluarkan nasihat kepada rakyatnya yang berada di ibu negara Malaysia itu supaya mengelakkan Jalan Alor kerana ‘kemungkinan adanya ancaman keganasan’ di sana.
"Oleh kerana kemungkinan adanya ancaman keganasan, rakyat Australia dinasihatkan supaya mengelak Jalan Alor di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya dengan serta-merta pada Khamis, 24 September,” kata Kerajaan Australia dalam laman web Smart Traveller.
Sementara itu, portal kerajaan United Kingdom, Gov.UK, juga menyiarkan maklumat berhubung amaran yang dikeluarkan oleh Kedutaan Amerika Syarikat itu.
Difahamkan, polis Malaysia telah meningkatkan rondaan di Jalan Alor dan kawasan sekitarnya susulan amaran oleh Kedutaan Amerika Syarikat itu.
Portal berita The Malaysian Insider dalam laporannya pada Khamis memetik sumber polis sebagai berkata, bahawa ancaman itu mempunyai kaitan dengan penangkapan beberapa anggota militan Negara Islam pada bulan lalu
Pada 20 Ogos lepas, Polis Malaysia menahan 10 warga tempatan termasuk dua wanita kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti mempromosi ideologi kumpulan militan IS serta mengumpul dana dan mengatur perjalanan ke Syria.
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata, kesemua 10 individu itu terdiri daripada enam orang anggota pasukan keselamatan, dua orang kakitangan kerajaan, seorang guru tadika dan seorang bekas pereka bentuk dalaman yang kesemuanya berusia antara 24 tahun dan 42 tahun.
Seramai 121 warga tempatan termasuk 23 wanita daripada pelbagai peringkat umur ditahan di seluruh Malaysia kerana dipercayai terlibat dengan IS.
Kesemua mereka ditahan dalam beberapa siri tangkapan sejak tahun lepas, kerana dipercayai cuba membawa ideologi militan di negara ini.
Lebih 11 rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan militan IS itu telah terbunuh di Syria dan Iraq sejak tahun lepas.