AS Turut Desak ASEAN Segerakan Pelantikan Utusan Khas Ke Myanmar

Badan serantau Asia Tenggara itu lewat hampir tiga bulan dalam melantik utusan khas ke negara itu.
Ronna Nirmala & Tria Dianti
2021.07.14
Jakarta, Indonesia
AS Turut Desak ASEAN Segerakan Pelantikan Utusan Khas Ke Myanmar Wanita-wanita di Yangon, Myanmar menjulang obor ketika mereka membantah rampasan kuasa tentera pada 1 Februari dengan menggulingkan pemerintahan demokratik pimpinan Aung San Suu Kyi, 14 Julai 2021.
[Reuters]

Amerika Syarikat pada Rabu menyertai desakan antarabangsa supaya ASEAN melantik utusan khas ke Myanmar, dengan Setiausaha Negara Antony Blinken menegaskan bahawa badan serantau berkenaan perlu bertindak segera untuk menyelesaikan krisis pasca rampasan kuasa di negara bergolak itu.

Desakan Blinken menyusuli gesaan sama yang dibuat oleh ketua hak asasi manusia PBB pada minggu lalu berikutan kelewatan hampir tiga bulan oleh badan Asia Tenggara tersebut untuk melantik utusan khas, yang menunjukkan peranan ASEAN tidak berkesan dalam menyelesaikan krisis itu, kata seorang penganalisis kepada BenarNews.

Semasa pertemuan pertama Blinken dengan rakan-rakan sejawatannya dari 10 negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara, setiausaha negara itu "meminta ASEAN mengambil tindakan bersama dalam mendesak supaya dihentikan keganasan, melaksanakan pemulihan transisi demokrasi Myanmar dan membebaskan mereka yang ditahan secara tidak adil," kata jurucakap Jabatan Negara Ned Price dalam satu kenyataan.

"Setiausaha berkata konsensus lima perkara ASEAN adalah langkah penting ke hadapan dan menggesa ASEAN supaya mengambil tindakan segera agar rejim Myanmar mematuhi konsensus itu dan dilaksanakan pelantikan utusan khas."

Blinken juga menyatakan bahawa "Amerika Syarikat menyokong negara-negara Asia Tenggara yang turut menuntut " dalam berdepan "paksaan" dan "tuntutan maritim tidak sah" China di Laut China Selatan.

Semasa sidang kemuncak khas di Jakarta pada 24 April, negara-negara anggota ASEAN menerima pakai konsensus lima perkara mengenai Myanmar termasuk gesaan supaya melantik utusan khas ke Myanmar dan menghentikan segera keganasan.

Di antara kenyataan atau transkrip ucapan pada mesyuarat ASEAN-AS yang dikeluarkan pada Rabu oleh pejabat-pejabat kementerian luar Filipina, Indonesia, Malaysia dan Singapura, hanya Filipina yang secara langsung menyatakan sokongan Manila untuk melantik utusan khas ke Myanmar. Namun, ia tidak mendesak tindakan segera berhubung pelantikan tersebut.

Menteri Luar Malaysia Hishammuddin Hussein pula memberitahu mesyuarat itu: "Malaysia sangat bimbang dengan situasi yang berlanjutan di negara itu sejak beberapa bulan lalu."

“Malaysia mengulangi gesaan supaya keredaan ketegangan di Myanmar menjadi perkara yang mesti diutamakan. Kami menggesa semua pihak supaya membantu mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi mengembalikan dialog nasional dan melaksanakan proses pemulihan,” katanya.

ASEAN menerima kritikan hebat kerana belum melantik utusan khas khas ke Myanmar, di tengah-tengah laporan mengenai perpecahan dalam badan serantau itu, dengan hampir 900 orang telah terbunuh semasa pasukan keselamatan Myanmar menangani tunjuk perasaan anti junta sejak pihak tentera menggulingkan kerajaan dipilih pimpinan Aung San Suu Kyi dalam rampasan kuasa pada 1 Februari.

Kenyataan Blinken itu merupakan mesej yang amat jelas bukan sahaja kepada ASEAN malah khususnya Myanmar kerana menteri luar yang dilantik pihak junta turut menyertai mesyuarat secara maya itu pada Rabu, kata Hunter Marston yang merupakan penyelidik mengenai Asia Tenggara di Australian National University.

"Komen Blinken mengenai Myanmar adalah amat penting kerana Menteri Luar yang dilantik junta, Wunna Maung Lwin, juga menyertai mesyuarat itu," kata Marston kepada BenarNews.

"Oleh itu, kenyataan tersebut merupakan mesej langsung AS kepada junta berkenaan dan ASEAN bahawa AS menyokong tindakan lebih utuh ASEAN bagi memulihkan demokrasi Myanmar."

Kegagalan ASEAN untuk melaksanakan konsensus itu sepenuhnya menunjukkan negara-negara anggotanya goyah dalam komitmen mereka terhadap demokrasi di Myanmar, kata Dinna Prapto Raharja, penganalisis hubungan antarabangsa di Synergy Policies iaitu badan pemikir Jakarta.

“Pada pendapat saya, ASEAN telah kehilangan momentum untuk melantik utusan khas tersebut. Peluang itu sudah pun berlalu pergi, ” kata Dinna kepada BenarNews.

‘Perpecahan demokratik-autoritarian’ ASEAN

Kegagalan ASEAN untuk melantik utusan khas mungkin disebabkan oleh perpecahan dalaman berhubung calon dari negara mana yang akan memperoleh jawatan itu, kata Marston.

"Pada pandangan saya, kelewatan pelantikan itu menunjukkan perpecahan di antara blok demokratik ASEAN - Indonesia, Filipina dan Singapura – dengan negara-negara yang lebih autoritorian dan diperintah tentera seperti Thailand," katanya.

Marston merujuk kepada Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha, bekas pemimpin tentera yang merancang rampasan kuasa di negara itu pada 2014, dan dikatakan rapat dengan tentera Myanmar.

Marston berkata dua pesaing utama bagi jawatan utusan khas itu ialah bekas menteri luar Indonesia Hassan Wirajuda dan bekas timbalan menteri luar Thailand Virasakdi Futrakul. Bekas ketua suruhanjaya hak asasi manusia Malaysia, Razali Ismail, turut dianggap sebagai calon alternatif.

"Dua calon pertama itu jelas menunjukkan perpecahan demokratik-autoritarian, justeru itu keputusan tidak dapat dibuat kerana ia berkisar kepada sama ada menerima calon yang sekadar berdepan junta Myanmar atau calon yang akan mengambil pendekatan lebih besar dan ada nilai seperti calon Indonesia untuk menyandang jawatan itu," kata Marston.

Pengerusi Kumpulan Penasihat Malaysia mengenai Myanmar dan bekas menteri luar Syed Hamid Albar percaya Hassan Wirajuda dari Indonesia sepatutnya menjadi utusan khas ASEAN ke Myanmar.

"Ketika Myanmar beralih ke demokrasi [sebelum ini], ia berusaha mencontohi model demokrasi Indonesia yang awal dan Hassan terlibat dalam sejumlah bengkel dan seminar demokrasi di Myanmar," kata Syed Hamid kepada BenarNews.

"Beliau mempunyai hubungan serta merupakan diplomat dan perunding yang amat bagus."

Dinna dari Synergy Policies berkata Indonesia perlu, atas usahanya sendirinya, mengambil peranan yang lebih menonjol dalam penyelesaian krisis Myanmar kerana ia adalah anggota pengasas ASEAN dan negara terbesar di rantau itu.

“Pada dasarnya, ASEAN tidak lagi boleh diharapkan dalam hal berkaitan Myanmar. Indonesia harus mengambil peranan yang lebih berani kerana negara-negara ASEAN yang lain pasti tidak akan mengambil pendirian itu, dan inilah yang menyebabkan berlakunya kebuntuan,” katanya.

Laut China Selatan

Sementara itu, Filipina menyambut baik kenyataan Blinken menolak tuntutan maritim China yang meluas di Laut China Selatan, yang turut dituntut banyak negara.

Setiausaha Luar Filipina Teodoro Locsin Jr. berkata beliau menyambut baik sokongan AS terhadap keputusan Mahkamah Tetap Timbang Tara di The Hague pada 2016 yang memihak kepada Filipina dan menolak tuntutan besar China terhadap laluan laut itu.

"Ia mengikat undang-undang antarabangsa dan menerima pakai UNCLOS bagi hak ciri-ciri maritim di Laut China Selatan," katanya, yang merujuk kepada Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut.

“Oleh itu, ia boleh digunakan untuk arahan berdasarkan peraturan ASEAN dan akan memanfaatkan semua negara yang menggunakan arteri utama tersebut iaitu Laut China Selatan. Selainnya hanyalah gertakan."

Beijing menuntut hampir seluruh Laut China Selatan manakala Filipina, Brunei, Malaysia, Vietnam – yang semuanya anggota ASEAN - dan Taiwan mempunyai tuntutan wilayah mereka sendiri.

Indonesia tidak menganggap dirinya sebagai pihak dalam pertikaian wilayah di Laut China Selatan tetapi Beijing menuntut hak bersejarah di wilayah maritim yang bertindih dengan zon ekonomi eksklusif Indonesia.


Jason Gutierrez di Manila, Muzliza Mustafa di Kuala Lumpur dan Nani Yusof di Washington turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.