Amerika kenakan sekatan ke atas firma Malaysia, Indonesia susulan program dron Iran

Jabatan Perbendaharaan AS mengumumkan sekatan keatas sepuluh entiti dan empat individu di Iran, Malaysia, Hong Kong dan Indonesia.
Minderjeet Kaur
2023.12.20
Kuala Lumpur
Amerika kenakan sekatan ke atas firma Malaysia, Indonesia susulan program dron Iran Dron yang dapat dilihat di satu lokasi yang tidak didedahkan di Iran, dalam imej yang diedarkan oleh Tentera Iran pada 20 April 2023.
[Edaran melalui Reuters]

Amerika Syarikat (AS) telah mengenakan sekatan ke atas empat firma di Malaysia dan satu di Indonesia, yang mana ianya dilihat sebagai salah satu langkah baharu dalam mengekang program dron Iran.

Washington menuduh Iran membekalkan dron berbahaya kepada proksi pengganas di Timur Tengah dan juga kepada Rusia untuk digunakan di Ukraine.

Menurut Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat, pihaknya telah menyasarkan sepuluh entiti dan empat individu di beberapa buah negara – Iran, Malaysia, Hong Kong dan Indonesia- yang dipercayai terlibat dengan rangkaian yang memudahcara perolehan komponen yang bernilai ratusan ribu dolar bagi kegunaan Pertubuhan Jihad Sara Diri Pasukan Kor Aeroangkasa Pengawal Revolusi Islam (Islamic Revolutionary Guard Corps Aerospace Force Self Sufficiency Jihad Organization).

Terdahulu, Amerika telah mengarahkan dua siri sekatan yang menyasarkan pengeluaran dron “Shahed” oleh pihak Pengawal Revolusi yang bercirikan serangan sehala dilengkapi dengan kepala peledak dan kupayaan memusnahkan diri sendiri, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh jabatan tersebut pada Selasa.

“Pihak Amerika Syarikat, dalam kerjasama rapat dengan rakan dan sekutu kami, akan terus menggunakan sepenuh keupayaan dan kuasa untuk membantutkan rangkaian perolehan haram ini, selain memastikan individu dan entiti yang menyokong mereka dipertanggungjawabkan,” kata Setiausaha Bahagian Keganasan dan Perisikan Kewangan Brian Nelson.

Sementara itu, Amerika telah mendakwa seorang warga Iran Hossein Hatefi Ardakani atas tuduhan mengetuai rangkaian tersebut yang dikatakan menjalankan operasi melalui beberapa entiti syarikat di Asia dan Timur Tengah.

Entiti berkenaan mengeksport teknologi sensitif merangkumi barangan seperti servo motor, pam minyak elektrik dan antena- di mana kebanyakan daripada barangan itu dikategorikan sebagai teknologi dwi kegunaan yang mana ianya boleh digunakan samaada untuk tujuan orang awam mahupun ketenteraan.

Senarai entiti Malaysia yang dikenakan sekatan oleh Pejabat Kawalan Aset Luar Negeri Jabatan Perbendaharaan AS adalah Arta Wave, Integrated Scientific Microwave Technology, Nava Hobbies dan Skyline Advanced Technologies.

Manakala firma Indonesian yang tersenarai dalam sekatan tersebut adalah Surabaya Hobby, yang mengiklankan dirinya sebagai penjual sah dron DJI buatan China.

Sekatan dikenakan ke atas firma terbabit kerana membantu penghantaran sekurang-kurangnya 100 servo motor ke sebuah lagi syarikat Iran yang disekat, Pishgam Electronic Safeh.
Dalam masa yang sama, pemilik kepada Surabaya Hobby, Agung Surya Dewanto, turut dikenakan sekatan secara individu ekoran penglibatannya dalam pengurusan penghantaran, tambah jabatan tersebut.

Impak arahan sekatan ke atas individu atau syarikat secara langsung menghalang pihak terlibat dari sebarang akses aset-aset dalam Amerika Syarikat selain menghalang warganegara tersebut atau institusi kewangan dari berurusan dengan mereka.

Sehubungan dengan sekatan baharu itu, Jabatan Kehakiman AS mengumumkan pendakwaan terhadap Ardakani dan seorang warga China, Gary Lam, yang turut dikenali sebagai Lin Jinghe, atas kesalahan berkaitan perolehan haram selain aktiviti mengeksport teknologi sensitif dan dwi kegunaan buatan Amerika kepada Iran.

“Langkah yang diambil hasil kerjasama dengan Jabatan Perbendaharaan pada hari ini menunjukkan komitmen Jabatan Kehakiman dalam memastikan peralatan ketenteraan tidak jatuh ke tangan rejim Iran,” kata pembantu peguam negara Matthew G. Olsen dari bahagian Keselamatan Negara Jabatan Kehakiman.

Iran telah lama menjadi sasaran sekatan Amerika Syarikat sejak tahun 1979, ekoran insiden pelajar Iran radikal bertindak menjadikan pekerja di Kedutaan AS sebagai tebusan di Tehran.

Ili Shazwani Ihsan di Kuala Lumpur turut menyumbang dalam laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.