Kumpulan Kebebasan Beragama AS Letak Indonesia, Malaysia Dalam Senarai Pemerhatian Khas

Staf BeritaBenar
2020.04.29
Washington
200429-ID-MY-religion-620.jpg Polis Indonesia menyekat penyokong calon presiden Indonesia Prabowo Subianto semasa tunjuk perasaan di luar bangunan Badan Pengawas Pilihan Raya di Jakarta, 21 Mei 2019.
(AP)

KEMASKINI pada 9.30 petang waktu tempatan ETS - 2020-04-29

Sebuah kumpulan pemerhati kebebasan beragama yang berpejabat di Amerika Syarikat meletakkan Indonesia dan Malaysia dalam senarai pemerhatian khas berikutan kebimbangannya mengenai layanan terhadap golongan minoriti, dan mengesyorkan Jabatan Negara AS supaya turut berbuat demikian.

Suruhanjaya Amerika Syarikat bagi Kebebasan Beragama Antarabangsa (USCIRF) dalam laporan tahunan 2020 menyatakan bahawa dua negara di Asia Tenggara itu adalah antara 15 negara yang dinamakan dalam senarai tersebut.

"Daripada menggunakan kategori 'Tahap 2' seperti yang dinyatakan dalam laporan sebelum ini, Laporan Tahunan 2020 juga mengesyorkan 15 negara supaya ditempatkan dalam Senarai Pemerhatian Khas Jabatan Negara bagi pencabulan berat," kata suruhanjaya itu dala laporan berkenaan yang dikeluarkan minggu ini.

Sebanyak 13 negara lain dalam senarai itu adalah Cuba, Nicaragua, Sudan dan Uzbekistan - yang ditambah dalam Senarai Pemerhatian Khas itu oleh Jabatan Negara pada Disember lalu - diikuti oleh Afghanistan, Algeria, Azerbaijan, Bahrain, Republik Afrika Tengah, Mesir, Iraq, Kazakhstan dan Turki.

Dalam bahagian mengenai Indonesia dan Malaysia, laporan suruhanjaya itu mengesyorkan supaya kedua-dua negara berkenaan dimasukkan dalam “Senarai Pemerhatian Khas Jabatan Negara AS kerana terlibat atau bertoleransi dengan pencabulan berat terhadap kebebasan beragama berdasarkan Undang-Undang Kebebasan Beragama Antarabangsa (IRFA)."

Pada Rabu, sehari selepas laporan itu dikeluarkan, para pegawai kerajaan di Jakarta tidak segera memberi maklum balas kepada BeritaBenar yang mahu mendapatkan reaksi mereka. Di Kuala Lumpur, kerajaan Malaysia memberitahu BeritaBenar bahawa ia perlu meneliti laporan itu sebelum Menteri Hal Ehwal Agama Zulkifli Mohamad Al-Bakri dapat mengulas mengenainya.

USCIRF adalah suruhanjaya kerajaan persekutuan AS yang bebas dan dwipartisan yang ditubuhkan mengikut Akta Kebebasan Beragama Antarabangsa 1998. Suruhanjaya itu memantau hak sejagat untuk bebas beragama atau mengamalkan kepercayaan di luar negara, dan membuat cadangan dasar kepada presiden, setiausaha negara serta Kongres.

"Pada 2019, keadaan kebebasan beragama di Indonesia pada umumnya cenderung negatif berbanding dengan tahun sebelumnya," menurut laporan itu dalam bahagian mengenai Indonesia, negara yang mempunyai majoriti penduduk Muslim terbesar di dunia.

Jawa Timur dan Jawa Barat, antara wilayah Indonesia yang mempunyai kepadatan penduduk, "mencatatkan jumlah tertinggi bagi insiden tidak  bertoleransi terhadap agama," menurut laporan itu.

Dengan memetik laporan NGO tempatan, suruhanjaya itu juga menyenaraikan "diskriminasi, kata-kata kebencian, tindakan keganasan dan menolak memberi kebenaran membina rumah ibadat untuk komuniti agama minoriti" sebagai jenis dan contoh tidak bertoleransi.

Insiden tertentu di Indonesia termasuklah kes seorang wanita Katolik  dituduh mempersendakan agama apabila dia membawa anjingnya masuk ke dalam masjid. Laporan itu menyatakan bahawa dia dibebaskan pada Februari 2020 selepas panel tiga hakim memutuskan bahawa dia menderita penyakit skizofrenia teruk.

Kes kedua melibatkan seorang wanita Buddha yang disabitkan dengan pertuduhan tidak menghormati agama pada 2018 apabila dia meminta sebuah masjid berdekatan supaya memperlahankan bunyi laungan azan melalui pembesar suara. USCIRF menyatakan bahawa Mahkamah Agung Indonesia telah menolak rayuannya pada April 2019 dan wanita itu dibebaskan dengan jaminan parol sebulan kemudian.

Laporan itu menyatakan bahawa kumpulan Muslim tegar telah mengancam usaha penganut Buddha untuk membina sebuah tokong dan penganut Kristian membina gereja Pentakosta.

Ia mengaitkannya dengan ahli politik yang berusaha mengekang kebebasan beragama – dengan merujuk kepada Prabowo Subianto, yang tidak berjaya menewaskan penyandang presiden Joko "Jokowi" Widodo pada pemilihan tahun lalu. Prabowo dikatakan "berusaha"  menggerakkan sekumpulan penyokong Muslim tegar  mengetuai usaha menggulingkan gabenor etnik Cina Kristian Jakarta, Basuki "Ahok" Tjahaja Purnama, pada 2017.

Pentadbiran Jowoki juga tidak terkecuali daripada menerima kecaman.

Setelah kembali dipilih menyandang jawatan tertinggi itu, "terdapat laporan bahawa kerajaan merancang untuk memperkenalkan langkah pemeriksaan latar belakang yang lebih ketat bagi mengenal pasti ekstremis agama dalam birokrasi dan memindahkan mereka. Pada  November, kerajaan melancarkan laman web yang membolehkan orang ramai melaporkan mengenai 'kandungan radikal' yang didakwa dikongsi oleh penjawat awam secara dalam talian," menurut laporan itu.

Mazhab minoriti Muslim termasuk Syiah dan Ahmadiyah juga berdepan dengan permusuhan dan gangguan pada 2019, menurut suruhanjaya itu. "Majlis Ulama Indonesia (MUI) yang menyokong kerajaan telah mengeluarkan fatwa yang mengisytiharkan kelompok berkenaan sebagai "menyimpang" dan sesat dalam Islam," kata laporan itu.

Pengarah eksekutif Amnesty International Indonesia Usman Hamid berkata diskriminasi seperti itu turut berlanjutan semasa wabak koronavirus sedang melanda.

Awal bulan ini, Masjid Al-Aqsa yang dimiliki masyarakat Ahmadiyah di Tasikmalaya, Jawa Barat, telah ditutup oleh kerajaan tempatan dengan alasan melaksanakan langkah jarakan sosial untuk mencegah penularan COVID-19, menurut Usman.

“Tindakan diskriminasi itu dilakukan untuk mencegah penentangan yang lebih besar oleh penduduk setempat terhadap kelompok Ahmadiyah, bukannya kerana alasan kesihatan awam," kata Usman kepada BeritaBenar.

Bonar Tigor Naipospos dari Institut Setara, sebuah organisasi hak asasi manusia di Jakarta, mendesak kerajaan supaya memansuhkan undang-undang yang mempersendakan agama dan mengkaji semula kanun jenayah.

"Kami menganggap bahwa dalam masyarakat yang menghormati hak kebebasan, undang-undang mempersendakan agama harus dihapuskan dan diganti dengan peraturan menghasut kebencian dan diskriminasi berdasarkan agama," kata Bonar kepada BeritaBenar.

Kebimbangan Malaysia

Dalam bahagian mengenai Malaysia, USCIRF menyatakan bahawa keadaan untuk beribadat di negara itu terus cenderung negatif berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Keadaan penganut agama minoriti dan serta majoriti seperti Muslim Sunni tidak berubah atau, dalam beberapa kes, menjadi lebih buruk," katanya.

Bahagian mengenai Malaysia memberi tumpuan kepada pihak berkuasa yang mengeluarkan peringatan terhadap mazhab "sesat" dan ancaman yang dibawa mereka kepada Islam.

"Gabungan etnik Melayu dengan agama Islam terus melanggar hak asasi individu orang Melayu," menurut laporan itu. "Dari segi sejarah, mahkamah Syariah telah mengisytiharkan beberapa kumpulan minoriti Muslim sebagai bukan Muslim yang secara berterusannya mewujudkan ‘ruang kelabu’ bagi orang Melayu yang menganut mazhab Islam yang secara rasminya "menyimpang".

Pada Ogos 2019, Dewan Undangan Negeri Sabah meminda Enakmen undang-undang kesalahan jenayah Syariah 1995 dengan mengisytiharkan Islam Sunni sebagai agama rasmi dan menghukum bagi takrifan yang lain.

Pengerusi Syiah Malaysia Kamil Zuhairi Abdul Azizi berkata kumpulan Islam Syiah telah didiskriminasi selama satu dekad.

"Hak kami untuk mengamalkan bentuk Islam kami bukanlah menyimpang daripada Islam ortodoks, malah kami dinafikan hak untuk beribadat di masjid persendirian, hak kami untuk berkahwin terbatas selain hak bebas bersuara dan mengadakan demonstrasi aman disekat," katanya kepada BeritaBenar.

"Kami dihina dalam khutbah Jumat secara terus menerus, dan difitnah secara terbuka di masjid oleh tokoh-tokoh agama, yang membuat ancaman terhadap keselamatan kami secara terbuka di media tanpa memikirkan akibatnya."

Selain itu, kumpulan bukan Muslim - khususnya Hindu, Buddha dan Kristian - melaporkan "merasa ketegangan dan permusuhan sosial meningkat," kata laporan itu.

Rumah ibadat minoriti diatur, dengan ratusan kuil Hindu dirobohkan dalam beberapa tahun lepas dan tokong Buddha pula tidak boleh lebih tinggi daripada masjid tempatan, kata USCIRF.

USCIRF, bagaimanapun, memuji kerajaan Malaysia kerana menubuhkan pasukan petugas khas pada Jun 2019 untuk menyiasat kehilangan secara paksa dua pemimpin minoriti agama terkemuka.

"Namun begitu, keberadaan paderi Kristian Raymond Koh dan aktivis sosial yang menganut Syiah Amri Che Mat serta Paderi Joshua Hilmy dan isterinya, tetap tidak diketahui sejak berakhirnya tempoh pelaporan," kata suruhanjaya berkenaan.

Senarai Pemerhatian Khas itu adalah yang baru bagi laporan pada 2020, yang menggantikan senarai Tahap 2 dalam laporan sebelumnya. Pada 2019, USCIRF melaporkan bahawa Indonesia berada dalam senarai Tahap 2 sejak 2004 manakala Malaysia disenaraikan di dalamnya sejak 2014.

Negara yang paling teruk dalam senarai itu, termasuk China, Myanmar, India, Pakistan, Korea Utara dan Vietnam, dianggap sebagai negara-negara yang sering menjadi perhatian utama. Pada tahun-tahun sebelumnya, senarai itu membawa tajuk berkenaan bersama-sama dengan Tahap 1.

Pegawai USCIRF tidak memberi maklum balas kepada permintaan BeritaBenar pada Rabu bagi mendapatkan komen.

 

Ronna Nirmala di Jakarta dan Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.