Kapal Hospital Amerika Terbesar Dunia Tiba di Malaysia
2018.04.16
Port Klang, Malaysia
Kapal hospital terbesar di dunia, USNS Mercy, milik Amerika Syarikat yang dalam misi kemanusiaan dan kesedaran sivik tiba di Pelabuhan Klang, pada Isnin.
Kapal seberat 70,000 tan itu, yang lengkap dengan 1,000 katil untuk pesakit, berlabuh di Pelabuhan sehingga 20 April ini.
Kapal itu mempunyai 12 dewan bedah, sebuah makmal perubatan, bank darah, farmasi dan loji bagi menghasilkan air minum dan oksigen bersih.
Selain itu, kapal berkenaan juga dapat menghasilkan sebanyak 1.14 juta liter air sehari dari sumber air laut.
Misi Perkongsian Kerjasama Pasifik 2018 Tentera Laut AS menyediakan bantuan kemanusiaan dan sivik menerusi negara-negara rakan kongsi, pertubuhan bukan kerajaan dan lain-lain agensi kerajaan Amerika Syarikat dan antarabangsa untuk melaksanakan pelbagai inisiatif sivik di kawasan di bawah tanggungjawab kapal Armada Pasifik itu.
Pada Khamis ini, USNS Mercy akan menjadi tuan rumah bagi satu simposium perubatan, yang merupakan sebahagian daripada programnya di Pelabuhan Klang.
Kapal hospital itu adalah satu daripada dua unit yang dihantar oleh AS ke Malaysia. Yang lain adalah kapal pengangkutan, USNS Brunswick.
Kapal itu akan berada di Tawau, Sabah, dari 21 April hingga 3 Mei, bagi menjalankan projek-projek kejuruteraan dan kebajikan masyarakat bagi membantu penduduk tempatan di sana.
Bercakap kepada media kemudian, komander misi Perkongsian Pasifik Kapten David Bretz berkata bahawa beliau memang menunggu ketibaan misi Perkongsian Pasifik tahun ini.
"Ini adalah Perkongsian Pasifik kali ke-13. Ia bermula sejak 2004 ketika kami mengalami tsunami di Lautan Hindi, " kata Kapten Bretz.
Sejak tsunami 2004, USNS Mercy memainkan peranan penting dalam membantu mangsa bencana alam seperti gempa bumi Haiti dan Taufan Katrina.
Bretz menekankan tentang pentingnya kerjasama antara negara-negara dan agensi-agensi memandangkan bencana alam boleh tercetus pada bila-bila masa tanpa mengira sempadan.
"Kami tahu bahawa di kawasan lingkaran api (ring of fire) di Pasifik Barat terdapat bencana alam seperti gempa bumi dan letusan gunung berapi, dan kita perlu bekerjasama sebagai satu pasukan," katanya.
"Kami mempunyai lebih daripada 900 kelasi, tentera, pegawai udara dan marin atas kapal ini serta anggota dari negara rakan kongsi; dengan ini kami berharap dapat bekerjasama untuk meningkatkan keberkesanan kami."
Selepas Malaysia, USNS Mercy akan melawat Sri Lanka, Vietnam, dan Jepun untuk memperkukuhkan pakatan, perkongsian, dan kerjasama pelbagai hala di seluruh rantau.
Perkongsian Pasifik adalah misi kesiapsiagaan terbesar yang diadakan di kawasan Indo-Pasifik setiap tahun bagi menangani pelbagai bencana.
Misi tahun ini melibatkan pegawai tentera dan kakitangan awam dari Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Australia, Perancis, Peru, dan Jepun.
Laksamana Pertama Chan Peng Cheong, yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia, juga mempunyai pandangan yang sama tentang pentingnya misi tersebut.
Misi kami adalah untuk mempertingkatkan keyakinan, kemampuan dan keupayaan untuk memberi bantuan kemanusiaan secara bekerjasama apabila ada bencana, dan bersedia menangani krisis, katanya.
“Saya yakin dengan bekerjasama, kita mampu membuat misi ini satu kejayaan besar."
Dalam kenyataan media, Komander Pasukan Petugas 73 yang merupakan ejen eksekutif untuk Perkongsian Pasifik 18, Laksamana Madya Don Gabrielson berkata, Perkongsian Pasifik mampu mengeratkan hubungan antara Angkatan Laut AS dan sekutunya serta rakan-rakannya di rantau Indo-Pasifik.