Vietnam 'semakin ligat' bina pulau buatan manusia di Laut China Selatan

Laporan menyebut Hanoi telah menambak kawasan baharu seluas lebih 133 hektar pada 2023 dengan alat pengorekan yang belum pernah digunakan sebelum ini.
Staf Radio Free Asia
2023.11.17
Vietnam 'semakin ligat' bina pulau buatan manusia di Laut China Selatan Imej satelit menunjukkan Vietnam menambak tanah di Terumbu Person, 27 Okt 2023.
[CSIS/AMTI/MAXAR Technologies]

Vietnam secara aktif meneruskan pelan pengembangan utamanya di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian dan hampir menggandakan kawasan baharu yang ditebus guna dalam tempoh setahun, demikian menurut satu laporan terkini.

Sejak Disember 2022, "Vietnam telah menambak kawasan seluas 330 ekar lagi (133.5 hektar)" di atas batu dan terumbu sekitar kepulauan Spratly, lapor badan pemikir Inisiatif Ketelusan Maritim Asia (AMTI) di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa Amerika Syarikat (CSIS).

Ia merupakan tambahan kepada kawasan seluas 420 ekar (170 hektar) yang ditebus guna pada 2022.

“Sebelum ini, Vietnam hanya menambak kawasan seluas120 ekar (48 hektar) di Spratlys antara 2012 dan 2022,” menurut laporan itu.

“Keseluruhan penambakan adalah kira-kira satu perempat daripada lebih 3,200 ekar (1,295 hektar) kawasan yang diwujudkan oleh China dari 2013 hingga 2016 namun ia adalah aktiviti pengembangan pulau yang jauh lebih banyak berbanding penuntut lain kecuali China yang telah melakukannya.”

Laporan itu telah meneliti lima pos Vietnam di kawasan tersebut termasuk Barque Canada Reef yang "telah mengalami transformasi terbesar setakat ini.

Minggu lepas, Radio Free Asia telah melaporkan mengenai kadar penambakan yang luar biasa di sekitar kawasan terumbu .

“Sebelum ini ia antara pos terkecil Vietnam namun ketika ini, lebih 210 ekar (85 hektar) kawasan baharu telah diwujudkan di Barque Canada pada tahun lepas, menjadikan ia kini antara yang terbesar dimiliki Vietnam di Laut China Selatan,” menurut laporan AMTI.

Kawasan lain yang telah dibina dengan pantas ialah Pearson Reef, Pulau Namyit, Sand Cay dan Tennent Reef.

AMTI berkata aktiviti pengorekan dan tapak pelupusan juga diteruskan, walaupun pada skala lebih kecil di Alison Reef, Cornwallis South Reef, Ladd Reef dan Discovery Great Reef, yang menunjukkan bahawa "pengembangan utama bagi mana-mana terumbu ini pada masa hadapan tidak boleh diketepikan.”

Laporan itu menyatakan bahawa tumpuan Vietnam kekal terhadap usaha "terutamanya yang membabitkan aktiviti pengorekan dan tapak pelupusan, dengan pembinaan infrastruktur belum dimulakan secara bersungguh-sungguh di kebanyakan kawasan."

Kapal korek sedutan pemotong

Semasa meneliti imej satelit, penyelidik AMTI mendapati untuk mempercepat usaha mengoreknya, "Vietnam telah beralih kepada alat yang sebelum ini dielakkannya iaitu kapal korek sedutan pemotong."

Ia memotong tanah atau batu yang keras di dasar laut sehingga menjadi serpihan yang kemudian disedut oleh pam korek sebelum dilepaskan ke kawasan deposit melalui saluran paip merentasi laut dan darat.

Pearson close up.jpg

Imej satelit jarak dekat menunjukkan aktiviti pengorekan oleh Vietnam di Terumbu Pearson, 27 Okt 2023. [Kredit: CSIS/AMTI/MAXAR Technologies]

Pada 2 Nov lalu, sekurang-kurangnya dua kapal korek sedemikian dapat dilihat dengan jelas melalui imej yang diambil oleh syarikat pengimejan satelit AS iaitu Planet Labs di Barque Canada Reef. Seminggu sebelum itu, dua lagi kapal serupa kelihatan di Pearson Reef.

Ia "adalah jenis kapal sama yang menyaksikan China dikritik hebat kerana menggunakannya semasa kempen membina pulau buatan pada 2014 hingga 2017 disebabkan oleh kesan ekologi yang luar biasa," menurut laporan itu.

Aktiviti pengorekan boleh memudaratkan persekitaran marin akibat kesan fizikal terhadap batu karang dan rumput laut, kata Victoria Todd, Pengarah Urusan & Ketua Saintis di Ocean Science Consulting Ltd.

"Insiden pelanggaran, pengeluaran bunyi bising dan peningkatan gangguan pada dasar laut boleh menjejaskan hidupan laut secara langsung," katanya kepada RFA, sekutu BenarNews.

"Secara tidak langsung, perubahan dalam ciri-ciri persekitaran seperti topografi, kedalaman, saiz zarah sedimen... juga boleh menjejaskan hidupan laut," kata Todd sambil menambah bahawa isu itu amat kompleks dan harus dikaji dengan teliti.

"Berapa banyak dan selama mana kesannya bergantung kepada lokasi serta cara aktiviti pengorekan dilaksana."

Sebelum ini, Vietnam menggunakan kapal korek kulit kerang dan peralatan pembinaan untuk mengaut bahagian terumbu cetek serta memendapkan sedimen di tapak pelupusan. Kaedah ini dianggap lebih memakan masa namun kurang memudaratkan persekitaran berbanding pengorekan sedutan pemotong.

"Penggunaan kapal korek sedutan pemotong adalah membimbangkan kerana ia lebih memudaratkan persekitaran berbanding kaedah tradisional, lebih-lebih lagi ia berisiko terjebak dalam operasi risikan maklumat China," kata Greg Poling, pengarah AMTI.

Perang maklumat

“Pusingan bagi reklamasi tanah kali ini baru sahaja bermula,” demikian menurut badan pemikir China iaitu South China Sea Probing Initiative (SCSPI) di platform media sosial X yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter.

“Sejak tahun 1970-an, Vietnam tidak pernah berhenti meluaskan posnya di Kepulauan Spratly,” kata SCSPI.

China telah membangunkan dan melengkapi tiga pulau buatan dengan peralatan ketenteraan di Laut China Selatan termasuk Mischief Reef, Subi Reef dan Fiery Cross seperti gedung senjata peluru berpandu, lapangan terbang, hangar pesawat serta sistem radar.

Namun “aktor China cuba menampilkan Vietnam sebagai pihak yang bertanggungjawab membina sistem ketenteraan dan menggugat kestabilan di Laut China Selatan,” kata Poling daripada AMTI.

“Vietnam kelihatan seperti hanya menggunakan alat pengorek sedemikian bagi mewujudkan pelabuhan baharu dan pengembangan besar-besaran di Barque Canada, jadi ia mempunyai kesan lebih kecil terhadap persekitaran berbanding aktitiviti pengorekan yang dilakukan oleh China sebelum ini.”

“Bagaimanapun nuansa itu boleh hilang di celah-celah perang naratif di antara Beijing dan Hanoi,” penganalisis maritim memberi amaran.

Barque Canada close up.jpg

Imej satelit menunjukkan aktiviti pengorekan oleh Vietnam di Barque Canada, dengan kapal korek sedutan pemotong dengan kabel sedang menjalankan kerja-kerja di terumbu karang, 2 Nov 2023. [Kredit: CSIS/AMTI/MAXAR Technologies]

Kerajaan Vietnam masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung laporan AMTI namun pendirian rasmi Hanoi adalah ia hanya menjalankan kerja-kerja bagi melindungi kawasan yang ditambak tetapi bukan untuk meluaskan atau menukar struktur di pulau yang dikuasainya.

“Terdapat pepatah lama di Vietnam: ‘Apabila anda bertemu dengan Buddha, pakailah jubah sami tetapi jika anda bertemu dengan hantu, pakailah baju kertas’ yang mempunyai maksud serupa dengan 'Apabila berada di Rom, anda perlu berkelakuan seperti orang tempatan,” kata Song Phan, seorang penyelidik di Laut China Selatan yang berpangkalan di Sydney.

“Ramai rakan sekerja saya berpendapat bahawa adalah tidak wajar Vietnam berdiam diri apabila jiran besarnya begitu ligat melakukan aktiviti,” kata Song sambil menambah ... “saya tidak semestinya bersetuju dengan mereka. Saya berpendapat semua pihak perlu berusaha mengekalkan status quo di kawasan perairan itu.”

Kempen yang menyaksikan perlumbaan membina pulau buatan manusia itu bagaimanapun telah menjadi topik hangat perbincangan dalam forum-forum Internet di Vietnam, dengan warganet memuji usaha kerajaan itu.

“Berbaloi setiap sen yang dikeluarkan,” demikian komen Dung Nguyen menerusi satu forum pertahanan yang dikenali sebagai Truong Sa Ngay Moi.

“Harap kita boleh percepatkan peluasan pulau itu dengan lebih pantas sebelum 'rakan' kita membuat keputusan untuk mengganggunya,” kata seorang lagi blogger, Hieu Do Van.

Radio Free Asia (RFA), sebuah perkhidmatan berita yang bersekutu dengan BenarNews, menghasilkan laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.