Malaysia, Vietnam pertingkat hubungan di tengah-tengah ketegangan isu Laut China Selatan

Kedua-dua negara mengemukakan tuntutan ke atas Laut China Selatan bersetuju menjalinkan kerjasama lebih erat berhubung penyelesaian membabitkan pertikaian dan keselamatan di kawasan itu.
Staf BenarNews
2024.11.21
Kuala Lumpur
Malaysia, Vietnam pertingkat hubungan di tengah-tengah ketegangan isu Laut China Selatan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim (kanan) bersalaman dengan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam To Lam (kiri) semasa sidang akhbar di pejabat Kerajaan Persekutuan iaitu Putra Perdana di Putrajaya berdekatan dengan Kuala Lumpur, 21 Nov 2024.
[Mohd Rasfan/Pool/AP]

Malaysia dan Vietnam telah bersetuju meningkatkan hubungan dan menjalin kerjasama lebih erat bagi mengekalkan keamanan di Laut China Selatan susulan bantahan yang jarang berlaku oleh Kuala Lumpur terhadap program pembinaan pulau buatan Hanoi di kawasan perairan yang menjadi pertikaian.

Kedua-dua negara Asia Tenggara itu adalah antara enam pihak yang mengemukakan tuntutan bertindih di kawasan perairan tersebut bersama-sama China, Brunei, Filipina dan Taiwan.

Malaysia dan Vietnam telah berikrar untuk “meneruskan kerjasama erat bagi mengekalkan keamanan, sekuriti, kestabilan keselamatan dan kebebasan pelayaran serta penerbangan di Laut China Selatan selain menggalakkan penyelesaian pertikaian yang harmoni,” kata Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam To Lam semasa sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim di pusat pentadbiran Malaysia, Putrajaya pada Khamis.

Hubungan kedua-dua negara akan dipertingkat kepada “perkongsian strategik yang komprehensif” yang akan membantu kedua-dua pihak merangsang kerjasama dalam pelbagai bidang seperti pertahanan dan keselamatan, demikian menurut Lam.

MY-VN-SCS-ties 2.jpeg

Foto satelit ini menunjukkan imej yang dipercayai adalah landasan kapal terbang Vietnam di terumbu karang Barque Canada di Laut China Selatan, 2 Okt 2024. [CSIS/AMTI/MAXAR Technologies]

Bulan lepas, Malaysia telah mengemukakan bantahan terhadap program pembinaan pulau buatan Vietnam di kawasan perairan yang menjadi pertikaian itu dan lapor berkenaan juga menyebut Malaysia telah membantah tindakan Vietnam membina andasan kapal terbang di terumbu karang Barque Canada, yang turut dituntut oleh Kuala Lumpur di kawasan perairan di Kepulauan Spratly itu.

“Perkongsian strategik yang komprehensif” itu adalah libat urus rasmi di peringkat tertinggi dalam hierarki diplomatik Vietnam dengan negara lain. Turut menjalinkan kerjasama serupa dengan Vietnam termasuk Amerika Syarikat, China, Rusia dan Jepun.

“Kami akan terus menjalinkan kerjasama yang rapat bagi memperluas dan mempererat persahabatan serta kepercayaan politik antara kedua-dua negara berdasarkan sikap saling menghormati undang-undang negara dan sistem politiknya, kedaulatan serta integriti wilayahnya selaras dengan undang-undang dan peraturan berdasarkan prinsip tidak campur tangan,” kata Lam.

Kuala Lumpur dan Hanoi juga “bersetuju untuk meneroka kemungkinan menjalinkan kerjasama dalam industri perikanan supaya kami benar-benar boleh berusaha atas dasar saling percaya dan persahabatan,” kata Anwar dalam ucapannya.

Selama bertahun-tahun, berlaku perselisihan faham antara kedua-dua negara membabitkan sektor perikanan. Sebagai contoh, nelayan Malaysia mendakwa nelayan Vietnam melakukan pencerobohan dan terlibat dalam aktiviti menangkap sotong secara haram di perairan Malaysia.

Malaysia dan Vietnam adalah negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara, dan Malaysia merupakan rakan perdagangan kedua terbesar Vietnam serta pelabur asing ketiga terbesar dalam ASEAN, menurut Hanoi.

“Vietnam akan menyokong Malaysia dalam menjalankan peranannya sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan dan terus menjalinkan kerjasama erat Malaysia serta negara anggota ASEAN yang lain bagi merealisasikan Pelan Tindakan ASEAN 2025,” kata Lam.

Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pemeteraian memorandum bagi meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti promosi perdagangan dan tenaga boleh diperbaharui.

“Vietnam sememangnya amat menyokong perniagaan kita di negara berkenaan yang kini telah melepasi angka AS$13 bilion dengan 700 projek,” kata Anwar.

Ini adalah lawatan rasmi sulung Lam ke Malaysia sejak memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam pada Ogos.

Lawatan tiga hari Lam itu juga adalah yang pertama bagi pemimpin Parti Komunis Vietnam berkunjung ke Kuala Lumpur sejak 1994, setahun sebelum Hanoi secara rasmi menyertai ASEAN.

Ili Shazwani Ihsan di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.