Kementerian Wanita Dikritik Berhubung Poster ‘Tips’ Kebahagiaan Rumah Tangga ‘Doraemon’
2020.03.31
Kuala Lumpur, Malaysia

Kumpulan aktivis wanita membidas tindakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengeluarkan siri poster khidmat masyarakat menggesa wanita berlaku manja dan berjenaka untuk mengelakkan ketegangan rumahtangga sepanjang tempoh berkurung akibat penularan wabak COVID-19.
Siri poster dikeluarkan KPWKM pada Isnin bukanlah yang pertama mendapat teguran daripada kumpulan akitivis di Malaysia malah pernah juga menerima teguran, kecaman dan dibidas atas beberapa tindakan yang diambil oleh kementerian yang pernah diterajui oleh bekas timbalan perdana menteri wanita pertama Malaysia Wan Azizah Wan Ismail sejak penularan COVID-19.
Terbaru, KPWKM yang kini diterajui oleh Menterinya, Rina Harun daripada kerajaan Perikatan Nasional, dikritik apabila mengeluarkan siri poster pada Isnin yang mencadangkan golongan wanita untuk tidak berleter dengan meniru suara watak kartun popular Jepun, Doraemon dan turut meminta isteri supaya ‘bergelak-gelak manja’ semasa mahu menegur pasangan.
“Jika melihat pasangan melakukan sesuatu yang bercanggah dengan kehendak kita, elakkan daripada berleter – gunakan perkataan “humorous” seperti ‘cara sidai baju macam ini lah sayangku’ (dengan meniru nada suara Doraemon, diikuti dengan gelak manja)!” kata poster itu dibawah tajuk mengelakkan pergaduhan suami isteri di rumah.
Doeramon adalah karektor kartun Jepun yang dialih bahasa ke Bahasa Melayu, dari sebuah rancangan kartun yang sangat digemari kanak-kanak negara itu sejak beberapa dekad lalu.
Aleza Nadia Othman dari Sisters In Islam (SIS) berkata poster yang dikeluarkan oleh KPWKM bersifat seksis dan memberi gambaran negatif terhadap wanita.
“KPWKM sepatutnya mempromosikan kesaksamaan antara suami dan isteri… Ia mengukuhkan stereotaip negatif terhadap wanita dan lelaki yang mana ia memberi gambaran bahawa hanya wanita yang bertanggungjawab tentang kerja rumah sedangkan ia satu beban yang patut dikongsi bersama suami dan isteri,” kata Aleza kepada BeritaBenar.
Tambah beliau, komunikasi antara pasangan tidak seharusnya berasaskan taktik ‘manja’ dan dibandingkan dengan watak kartun.
“Wanita mesti diperkasakan dan ada hak untuk bersuara tentang bagaimana mereka mahu suami masing-masing sama-sama memikul beban dan tanggungjawab kerja rumah tanpa dilabel sebagai membebel dan emosional,” jelas beliau.
Sementara itu, All Women’s Action Society (AWAM) dalam satu kenyataan berkata pihaknya kecewa dengan kurangnya sensitiviti dan kesedaran dalam poster yang dikeluarkan kementerian itu.
“Ianya jelas tidak menghormati dan sedar akan situasi masyarakat di masa moden ini. Ramai lelaki yang kini melakukan kerja-kerja rumah dengan baik sekali dan ramai wanita yang keluar bekerja
“Poster-poster ini mempromosikan konsep ketidakseimbangan jantina dan menggalakan konsep patriarki yang lambat laun akan membawa kesan negatif termasuk kezaliman berasaskan jantina,” jelas persatuan itu.
Ekoran daripada kecaman daripada aktivis-aktivis wanita serta warganet amnya, KPWKM telah memadamkan poster-poster tersebut pada petang Selasa dan memuat naik permohonan maaf dan berjanji akan lebih peka di masa hadapan.
“Pendekatan yang dilakukan adalah untuk berkongsi kaedah dan amalan untuk mengekalkan hubungan yang positif dalam keluarga dan ketika menjalani fasa bekerja dari rumah.
“Pihak kami memohon maaf sekiranya beberapa tips yang dikongsi tidak bersesuaian dan menyentuh sensitiviti golongan tertentu serta akan lebih berhati-hati di masa hadapan,” kata kenyataan itu dikeluarkan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, tanpa dinyatakan nama beliau.
Sebelum poster itu dipadamkan, ianya mendapat lebih 200 komen yang rata-ratanya mengecam tindakan kementerian memuat naik poster yang dikira sangat ‘sexist’ itu.
“Sebagai wanita, saya merasakan anda merendahkan martabat kami. Siapa yang pakai suara Doraemon? Kalau hendak berikan nasihat, gunakanlah dengan bijak,” kata pengguna instagram yang menggunakan nama shzlin.hishamnuri.
Pentadbira Putrajaya telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu bermula pada 18 Mac lepas dan kemudiannya memanjangkan 14 hari lagi sehingga 14 April depan bagi mengurangkan penularan wabak COVID-19 yang kini telah mencatatkan sebanyak 2,766 kes positif dengan 43 kematian sehingga Selasa.
Tindakan diambil kerajaan itu adalah untuk menyekat penularan wabak serta mengehadkan pergerakan orang ramai bagi mengelakkan lebih ramai rakyat dijangkiti wabak berkenaan sehingga boleh meragut nyawa.
Poster lain
Kementerian yang sama turut mendapat kecaman ekoran poster khidmat masyarakatnya yang dimuat naik beberapa hari lepas yang meminta supaya wanita berpakaian kemas dan menghias diri di rumah supaya dapat memberikan fokus kepada kerja walaupun ianya dilakukan di rumah.
Poster tersebut yang dilihat BeritaBenar pada Selasa turut dipadamkan pada hari yang sama selepas poster awal berkenaan cara-cara mengelakkan ketegangan di rumah dipadamkan.
Kementerian itu sebelum ini pernah dikecam apabila mereka mengumumkan untuk menggantung perkhidmatan aduan kekejaman rumahtangga, Talian Kasih 15999 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu yang meletakkan perkhidmatan itu sebagai ‘tidak penting’.
Wan Azizah yang sebelum ini mengetuai KPWKM tampil membuat gesaan kepada penggantinya itu supaya mengaktifkan semula perkhidmatan tersebut dengan perlu memikirkan ada wanita yang masih mengalami masalah akibat pelaksanaan PKP oleh kerajaan.
"Hanya kerana semua diminta untuk duduk di rumah, tidak bermakna mereka tidak lagi mempunyai masalah, atau tiada kanak-kanak yang hilang atau didera.
"Dalam keadaan rakyat diminta untuk duduk di rumah pada waktu yang panjang, talian ini boleh jadi sangat penting kepada sesetengah mereka," kata Wan Azizah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 18 Mac lalu.
Bekas timbalannya, Hannah Yeoh juga mempersoalkan tindakan bekas kementeriannya itu dan menggesa pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya mengkaji semula arahan.
"Perkhidmatan dalam talian itu harus terus memberi tumpuan kepada perlindungan dan kebajikan kumpulan sasaran seperti kanak-kanak, orang tua, orang kurang upaya dan mangsa keganasan rumah tangga.
"Ini juga akan memastikan bahawa talian 999 atau 112 tidak terbeban dengan isu-isu lain dan boleh menumpukan kepada isu-isu keselamatan yang timbul daripada Perintah Kawalan Gerakan," kata Yeoh dalam satu kenyataan pada hari yang sama.
Akibat daripada itu, Menteri KPWKM mengumumkan bahawa kerajaan membuat keputusan menarik balik tindakan menutup sementara Talian Kasih 15999 itu dan perkhidmatan tersebut dibuka seperti biasa.
"Talian Kasih di nombor 15999 dan talian WhatsApp 019 26 15999 akan terus beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu," katanya dalam satu kenyataan.