Mahkamah Persekutuan Tolak Rayuan Pendakwa Tambah Hukuman Penjara

Razlan Rashid
2016.01.20
160120-MY-WANITAIS620 Pandangan umum menunjukkan kejiranan Maysar, di utara bandar Aleppo yang musnah dalam pertempuan antara kumpulan militan Negara Islam dan pihak berkuasa Syria. 29 Julai 2015.
AFP

Mahkamah Persekutuan pada Rabu menolak rayuan pendakwa raya untuk menambah hukuman penjara tujuh tahun lagi keatas seorang wanita yang cuba berlepas ke Syria untuk mengahwini seorang anggota kumpulan militan Negara Islam (IS) lebih dua tahun lepas.

Peguam Hanif Hassan memberitahu BeritaBenar, keputusan itu sekaligus bakal menamatkan hukuman penjara dua tahun yang sedang dijalani anak guamnya Ummi Kalsom Bahak, 26, bekas pembantu pegawai kredit, pada 5 Febuari depan.

Ummi Kalsom kini sedang menjalani hukuman penjara dua tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Mac lepas, atas kesalahan cuba membantu militan IS dengan cuba memasuki Syria dengan menaiki penerbangan AirAsia ke Brunei dan ke Istanbul, Turki untuk mengahwini anggota militan rakyat Malaysia bernama Aqif Huessin Rahizat.

Wanita itu ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, pada 5 Oktober 2014.

Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan, Presiden Mahkamah Rayuan Md Raus Sharif bersama panel lima hakim sebulat suara membuat keputusan menolak rayuan pendakwa raya, untuk menambahkan hukuman keatas Ummi Kalsom itu dengan hujah bahawa wanita itu, tidak terlibat secara langsung dengan kumpulan militan IS, sebaliknya hanya mempunyai niat untuk mengahwini seorang lelaki yang beliau cintai.

Mengikut fakta kes mahkamah sebelum ini, Aqif Huessin dan Ummi Kalsom berkenalan melalui laman Facebook di mana wanita itu menggunakan nama "Umiey Summayah Al Malazie" dan kemudian sering berkomunikasi melalui aplikasi "Whatsapp" dan "Kakaotalk".

Lelaki itu, kemudiannya mengajak Ummi Kalsom berkahwin dan tinggal di Syria, serta bersetuju membiayai tiket penerbangan wanita itu dari Malaysia.

‘Insaf’

Mengulas lanjut mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan itu, Hanif berkata, anak guamnya hanya mahu mengahwini lelaki itu dan tiada barang bukti dijumpai bersama Ummi Kalsom ketika beliau ditahan.

“Ahli keluarga Ummi Kalsom sangat bersyukur dengan keputusan Mahkamah hari ini. Alhamdulillah…, Ummi Kalsom sudah banyak berubah sejak berada dalam penjara dan kini dia memahami apa erti sebenar Islam,” katanya pada Rabu.

Hanif juga memaklumkan bahawa anak guamnya telah menyatakan persetujuan beliau untuk membantu pihak berkuasa memberi ceramah motivasi kepada orang awam tentang bahayanya gerakan keganasan oleh kumpulan militan.

“Ummi benar-benar insaf ketika berada dalam penjara, beliau turut menjalani program agama yang dianjurkan oleh pihak penjara dan mahu kembali ke jalan benar berlandaskan Al-Quran dan Hadith,” tambah Hanif.

Pihak pendakwa raya membawa kes itu untuk didengar di Mahkamah Persekutuan pada Rabu, selepas gagal dalam rayuan meminta Ummi Kalsom dikenakan hukuman lebih berat terhadap kesalahannya di Mahkamah Rayuan pada 30 Julai lepas.

Timbalan Pendakwa Raya, Awang Amardajaya Awang Mahmud telah meminta Mahkamah Persekutuan untuk menambah hukuman itu kerana berpendapat hukuman penjara dua tahun tidak memadai bagi wanita itu, dan mengesyorkan agar beliau terus menjalani sesi kaunseling.

Ummi Kalsom adalah wanita tempatan pertama yang didakwa dan dihukum penjara berhubung penglibatan beliau dalam kumpulan militan IS sehingga kes beliau dibawa Mahkamah Persekutuan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.