Ahli Parlimen Bersatu mengaku tidak bersalah 18 pertuduhan pengubahan wang haram
2023.10.25
Kuala Lumpur
Seorang Ahli Parlimen pembangkang Malaysia pada Rabu mengaku tidak bersalah terhadap 18 pertuduhan menggunakan perniagaannya sebagai satu topeng bagi melakukan kegiatan pengubahan wang haram berjumlah RM5.59 juta (AS$1.17 juta), yang didakwa telah diperolehi hasil aktiviti haram.
Wan Saiful Wan Jan, 48, dari parti Bersatu, dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sekiranya didapati bersalah, beliau berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun serta denda bagi setiap pertuduhan.
Bekas ketua penerangan Bersatu itu didakwa telah memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram daripada WSA Advisory Group - sebuah syarikat perunding dan pemborong yang mana beliau adalah pengarahnya - kepada pelbagai entiti lain termasuk Majlis Sukan Negara dan syarikat percetakan terkemuka Sinar Karangkraf Sdn Bhd.
"Saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan," kata Wan Saiful di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin pada Rabu.
Berdasarkan kertas pendakwaan yang dilihat BenarNews, Wan Saiful dituduh memindahkan wang berjumlah RM3.17 juta (AS$663,963) ke dalam akaun bank miliknya melalui WSA Advisory.
Ahli politik itu juga didakwa memindahkan sejumlah RM78,800 (AS$16,512) hasil aktiviti haram ke sebuah akaun bank yang dimiliki syarikat Tagami Auto Enterprise Sdn Bhd, sebagai bayaran untuk pembelian sebuah kenderaan Ford Ranger pada 12 Ogos 2022.
Baki 13 pertuduhan lain pula melibatkan pengubahan wang haram berjumlah RM2.31 juta (AS$483,422) daripada akaun syarikat sama kepada beberapa buah syarikat, organisasi serta individu lain.
Antara mereka yang dikatakan telah menerima wang tersebut adalah: Jendela Timur Consultant, Duckling Management & Services, Fendi Dilif Resources, Pertubuhan Penggerak Muafakat Bagan Seberang Perai Utara, PYI Global Trading, Jejak Global Enterprise, Fokus Malaysia Studios, Chin Kang Hardware Jitra, Syed Jaafar Syed Abd Aziz, Akademi Gagasan Minda Merdeka, dan Good Square Sdn Bhd.
Pada Rabu lepas, Wan Saiful telah didakwa dan mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan wang sejumlah RM6.9 juta (AS$1.4 million), yang dikaitkan dengan inisiatif Jana Wibawa semasa era pemerintahan bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Dua pertuduhan itu tidak mempunyai kaitan dengan 18 dakwaan terbaru terhadapnya.
Menurut laporan media tempatan, usaha Wan Saiful untuk mengenepikan dua pertuduhan rasuah itu gagal apabila permohonannya ditolak Mahkamah Sesyen pada Julai.
Sementara itu di mahkamah, timbalan pendakwa raya Farah Ezlin Yusof mencadangkan supaya perbicaraan kes rasuah Wan Saiful dipindahkan ke mahkamah yang sama yang mendengar 18 pertuduhan baru itu, dan supaya syarat jaminan beliau dikekalkan sebanyak RM400,000 (AS$83,682), selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Pasukan peguambela tidak membantah cadangan tersebut dan ia dibenarkan oleh Hakim Suzana, yang kemudiannya menetapkan supaya perbicaraan terhadap Wan Saiful dimulakan pada Mac tahun depan.
Amer Hamzah, peguam yang mewakili Wan Saiful, berkata kesemua pertuduhan itu akan didengar bersama dengan dua dakwaan rasuah dan mereka akan menunjukkan kepada mahkamah bahawa tidak berlaku sebarang pengubahan wang haram atau penggunaan wang dari aktiviti salah.
"Kami yakin dan percaya bahawa kami akan dapat membuktikan bahawa tiada sebarang penglibatan dalam pengubahan wang haram atau penggunaan wang haram. Kami juga akan menunjukkan bahawa semua pertuduhan tersebut, sama ada yang lama atau yang baru, adalah tidak berasas," kata beliau ketika ditemui pemberita di mahkamah.
Alih tumpuan
Sementara itu, Wan Saiful menyifatkan semua pertuduhan terhadapnya sebagai usaha Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengalihkan tumpuan rakyat daripada segala kegagalan polisi mereka, termasuk isu kenaikan harga barang dan menunaikan janji reformasi.
"Saya percaya semua tuduhan baru terhadap saya ini adalah usaha untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada segala kegagalan kerajaan hari ini... kegagalan mereka untuk mengawal harga komoditi, peningkatan kos sara hidup, kegagalan membantu rakyat, dan kegagalan menunaikan janji-janji mereka untuk melaksanakan reformasi institusi.
"Jadi mereka terpaksa mencari isu-isu baru yang boleh digunakan untuk mengalihkan tumpuan rakyat daripada segala kegagalan mereka," kata beliau kepada wartawan.
Wan Saiful mendakwa bahawa kerajaan terpaksa melakukan perkara itu dengan segera kerana mereka sedang berdepan kritikan hebat.
Ahli Parlimen bagi kawasan Tasek Gelugor itu turut mendakwa bahawa semua pertuduhan ke atasnya dibuat secara tergesa-gesa kerana beliau telah diberikan perintah lepas tanpa bebas (DNAA) selama 30 minit sebelum didakwa sekali lagi di mahkamah lain.
"Saya masuk ke mahkamah dengan jangkaan bahawa saya akan dituduh, dan di dalam mahkamah pertama, berlakunya DNAA di mana saya dilepas tanpa dibebaskan, dan saya tidak faham kenapa saya dilepaskan daripada pertuduhan apa kerana saya masih belum didakwa.
"Akan tetapi, disebabkan kekeliruan, sesuatu telah berlaku hingga menyebabkan DNAA diberikan pada awalnya, dan saya rasa perkara yang sama berlaku dalam kes DNAA selama 30 minit tersebut, sebelum saya dituduh sekali lagi di mahkamah bersebelahan.
"Ini menunjukkan betapa kelirunya mereka sehingga berlaku perkara tidak konsisten seperti ini. Sekiranya ia telah dirancang dengan rapi, saya tidak rasa akan berlaku kejadian DNAA diberikan sebelum pendakwaan dibuat. Saya rasa ini merupakan satu rekod baru kerana tidak pernah berlaku sebelum ini di mana seseorang yang belum pun dituduh tetapi diberikan pelepasan," kata beliau.
Beri mahkamah ruang
Seorang penganalisis politik percaya bahawa semua pihak perlu memberikan mahkamah ruang untuk membuat keputusan, dan segala tuduhan yang dibuat mesti dihentikan.
"Saya percaya bahawa dalam isu perundangan, sama ada ia melibatkan kerajaan, pembangkang, atau mana-mana parti, kes tersebut sepatutnya diselesaikan dan mahkamah dibenar memutuskan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak. Dalam konteks ini, keadilan mesti ditegakkan untuk semua," kata Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya kepada BenarNews.
"Ini bermakna semua proses mahkamah mesti diteruskan, dan kita mesti menghormati proses perundangan itu sendiri. Saya berasakan bahawa ia adalah tidak adil untuk beliau mendakwa kes terhadapnya adalah demi mengalihkan perhatian rakyat daripada kegagalan kerajaan dalam mengurus isu kos sara hidup dan kegagalan reformasi.
"Tidak perlu melabelkan mahkamah sebagai konspirasi politik, apabila ia melibatkan orang lain, mereka menggelarnya sebagai parti korup. Akan tetapi bila ia berlaku kepada diri sendiri, mereka mengatakan sebaliknya.
"Semua parti dan pimpinan mesti bertindak adil dan mengikut proses perundangan."
Dalam pada itu, Oh Ei Sun, seorang felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura pula berkata “Malaysia kini dilanda sumpahan sumber, yang menjadi sangat tergoda kepada semua yang berkuasa untuk menyalahgunakannya, memperkayakan diri dengan memanfaat sumber awam dan swasta yang banyak di negara itu”.
“Apabila mereka berkuasa, skandal seperti itu sudah tentu akan ditutup. Tetapi apabila mereka tidak berkuasa, perbuatan salah mereka akan terbongkar setelah disiasat,” katanya kepada BenarNews.
Selain Wan Saiful, Pengerusi Bersatu yang juga bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin turut berdepan dengan pertuduhan mahkamah termasuk beberapa lagi pemimpin kanan parti itu atas salah guna kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.