Polis Malaysia Terima Waran Tangkap Untuk Pengarang Sarawak Report

Oleh Nani Yusof & Hata Wahari
2015.08.04
150804-MY-WARAN620 Polis Malaysia menahan seorang lelaki semasa protes terhadap Perdana Menteri Najib Razak di Kuala Lumpur, 1 Ogos 2015.
AFP

Pihak berkuasa Malaysia telah menerima waran tangkap untuk pengasas dan pengarang Sarawak Report, media yang pertama mendedahkan kes wang beratus-ratus juta yang dikatakan telah didepositkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak.

Portal berita itu, kendalian Clare Rewcastle Brown, seorang bekas wartawan BBC, telah menerbitkan beberapa siri laporan yang mendakwa hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) telah dipindahkan ke akaun Najib.

Sarawak Report dan akhbar The Wall Street Journal di dalam laporan mereka mendakwa wang itu dipindahkan melalui agensi-agensi kerajaan, bank-bank dan syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad yang dibebani hutang lebih
AS$11 bilion.

“Kami telah berjaya mendapatkan waran tangkap dari Mahkamah Kuala Lumpur terhadap Clare Rewcastle Brown, pengasas dan pengarang The Sarawak Report di bawah Sekyen 124B dan 124I Kanun Jenayah.

“Kami akan meneruskan permohonan untuk menyenaraikannya di dalam senarai penjenayah yang dikehendaki Aseanpol dan Notis Merah Interpol," kata Pengarah Jabatan Siasatan Polis Diraja Malaysia Mohamad Salleh dalam satu kenyataan ringkas pada Selasa.

Menurut Pejabat Peguam Negara, Seksyen 124B menyatakan sesiapa yang terlibat di dalam "kegiatan yang membahayakan demokrasi parlimen" boleh dipenjara sehingga 20 tahun.

Dan Seksyen 124I pula melibatkan penyebaran laporan palsu. Sesiapa yang didapati bersalah melakukannya boleh dipenjara sehingga lima tahun.

Najib yang juga Presiden UMNO, parti utama di dalam kerajaan, kini mendapat tekanan dari pembangkang dan badan bukan kerajaan untuk menjelaskan dakwaan deposit di dalam akaun peribadi beliau daripada 1MDB.

Beliau yang juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB, telah memecat timbalannya Muhyiddin Yassin minggu lalu selepas beliau menggesa Najib memberi satu jawapan yang muktamad berkaitan skandal 1MDB. Peguam Negara Abdul Gani Patail yang ketika itu sedang menjalankan penyiasatan berkaitan isu yang sama juga dipecat.

Laporan polis yang dibuat baru-baru mendakwa portal berita itu telah memalsukan maklumat berhubung 1MDB.

Dokumen Palsu

Menjawab soalan BeritaBenar dari London pada Selasa, Brown berkata, beliau juga tidak jelas mengapa “ejen” Perdana Menteri menuduhnya memalsukan dokumen atau mendapatkan dokumen melalui "pembocoran" lantas menggerakkan jentera penyiasatan kerajaan untuk mencari sumber maklumat tersebut.  

Pengarang itu berkata, beliau hanyalah seorang wartawan penyiasatan yang melakukan tugasnya dengan  mendedahkan satu skandal kewangan antarabangsa yang mengejutkan di mana mereka yang mencuri wang secara besar-besaran dari dana milik awam berjawatan tinggi di dalam kerajaan.

Najib telah menafikan mengambil sebarang wang untuk kepentingan peribadi dan berkata, dakwaan rasuah oleh pihak tertentu adalah sebahagian daripada kempen berniat jahat untuk memaksa beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik.

Pada 20 Julai lepas, pihak berkuasa Malaysia telah menyekat laman web Sarawak Report kerana dikatakan mampu mengganggu-gugat kestabilan negara.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia SKMM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 19 Julai berkata, tindakan itu diambil berikutan aduan daripada orang ramai yang laman web itu telah memaparkan kandungan yang belum disahkan dan masih di dalam siasatan.

Waran tangkap terhadap Brown dikeluarkan seminggu selepas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kerajaan mungkin akan mengekstradisi Brown dari Britain.

Ianya juga dikeluarkan sehari selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, wang AS$700 juta yang telah dipindahkan ke akaun peribadi Najib merupakan sumbangan daripada para penderma dan bukannya dari syarikat pelaburan 1MDB.

Cuba yakin dunia

Sementara itu Brown berkata, langkah terbaru pihak berkuasa Malaysia mengeluarkan waran tangkap terhadap beliau merupakan tindakan yang tidak akan memberi sebarang manfaat kepada sebuah kerajaan yang cuba menyakinkan dunia bahawa ia sedang melaksanakan demokrasi.

“Saya telah menerbitkan maklumat yang tidak disukai oleh pihak berkuasa. Namun, 'jenayah' yang mereka tuduh terhadap saya adalah ‘satu tindakan yang memudaratkan demokrasi’,” katanya.

Beliau berkata, merekalah yang sebenarnya menjejaskan demokrasi dengan menyekat kebebasan bersuara dan menahan orang untuk disoal siasat.

Mengenai ratusan juta ringgit yang dikatakan sumbangan dari penderma,  Brown berkata, semua orang ingin tahu siapakah yang membuat sumbangan peribadi sebegitu besar kepada Najib.

“Mengapa mereka lakukan dan bagaimana wang itu dibelanjakan. Saya juga tertanya-tanya mengapa wang ini dimasukkan ke dalam akaun peribadi secara rahsia jika ianya untuk sumbangan parti?” katanya kepada BeritaBenar.

Sebaliknya, beliau berkata, tiada seorang pun yang memberi jawapan rasmi mengenainya samada ia sumbangan kepada parti atau untuk kegunaan peribadi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.