Tiga wartawan portal Malaysiakini disiasat Polis, enggan dedah sumber artikel

Siasatan itu susulan laporan yang dibuat terhadap mereka, berhubung artikel mengenai dakwaan rombakan besar-besaran pegawai kanan polis.
Iskandar Zulkarnain dan IIi Shazwani Ihsan
2024.08.09
Kuala Lumpur
Tiga wartawan portal Malaysiakini disiasat Polis, enggan dedah sumber artikel Tiga wartawan Malaysiakini dari kiri Sharin Aizat, Hariz Mohd, B Nanta Kumar bersama peguam mereka Rajsurian Pillai (belakang) keluar daripada Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur, 9 Ogos 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Tiga wartawan tempatan telah disoal siasat oleh pihak berkuasa Malaysia selama lebih sejam pada Jumaat dalam usaha untuk mengenalpasti sumber atau sumber-sumber dalam laporan ditulis mereka, yang dilihat sebagai satu lagi insiden yang memberi gambaran kepada cubaan mengekang media dan kebebasan bersuara di bawah pentadbiran Anwar Ibrahim, demikian menurut para aktivis hak asasi.

Siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas tiga wartawan portal berita Malaysiakini - B Nantha Kumar, Hariz Mohd dan Shahrin Aizat Noorshahrizam dibuka susulan satu laporan yang telah dibuat terhadap mereka, selepas menyiarkan satu artikel pada Selasa lepas, mengenai dakwaan bakal berlakunya rombakan besar-besaran yang melibatkan beberapa pegawai kanan polis dalam masa terdekat.

Artikel itu mendakwa rombakan tersebut akan melibatkan Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Mohd Shuhaily Mohd Zain, yang akan dipindah keluar dari Bukit Aman untuk mengetuai agensi-agensi lain di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Peguam yang mewakili kesemua wartawan terbabit, Rajsurian Pillai berkata pegawai penyiasat telah mengemukakan 27 soalan, antaranya identiti sumber yang mendedahkan maklumat berkenaan kepada mereka.

“Antara soalan yang ditanya - siapakah atau apakah sumber di mana maklumat diperolehi untuk menulis artikel tersebut. Anak guam saya memaklumkan polis bahawa kebanyakan soalan akan dijawab di mahkamah.

“Etika Kewartawanan jelas menyatakan anda tidak boleh mendedahkan sumber anda, jadi saya fikir semua pihak boleh memahami dan menghormati perkara ini termasuk pihak polis,” ujarnya kepada media di hadapan Balai Polis Daerah Dang Wangi selepas mengiringi anak guamnya untuk proses merakam keterangan yang berlangsung selama satu jam 15 minit.

Pihak Polis pula mengesahkan kesemua mereka disiasat di bawah Akta Komunikasi kerana menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar, serta di bawah Kanun Keseksaan, disebabkan artikel yang berniat hendak menyebabkan, atau mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran kepada awam.

Rajsurian turut mengesahkan yang pihak polis tidak merampas telefon pintar atau laptop milik anak guamnya.

Tegas lindungi sumber

Dalam pada itu, Hariz menegaskan yang beliau tidak akan sama sekali mendedahkan identiti sumber dalam artikel yang ditulis mereka.

“Kami telah berikan kerjasama penuh seperti apa yang peguam katakan tadi. Kami menghormati beliau (pegawai penyiasat) menjalankan tugas sebagai pegawai polis dan kami hormati proses. Cuma ada soalan-soalan antaranya cuba bertanya siapa sumber kami yang mana saya hormati tugas beliau sebagai pegawai polis, kena tanya.

“Namun, sebagai pengamal media kita mengharapkan supaya hak media untuk melindungi sumber ini terus dihormati,” ujarnya lagi.

Hariz turut merakamkan penghargaan kepada semua pengamal media dan badan hak asasi yang hadir bagi memberikan sokongan.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain dalam reaksinya selepas artikel itu disiarkan tidak menafikan atau mengesahkan spekulasi tersebut, dengan beliau hanya menyifatkannya sebagai “tidak benar” memandangkan polis tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung sebarang rombakan pegawai kanan polis.

MALAYSIAKINI_REPORTERS_03.jpg

Wartawan Malaysiakini Hariz Mohd bersama dua lagi rakannya Sharin Aizat dan B Nanta Kumar bercakap kepada media selepas disoal siasat oleh polis di Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur, 9 Ogos, 2024.  [S. Mahfuz/BenarNews]

Mengancam hak wartawan

Tindakan polis menyiasat tiga wartawan dan desakan supaya mereka mendedahkan sumber itu mendapat bantahan keras oleh badan-badan yang mewakili para pengamal media dan hak asasi di Malaysia.

Farah Marshita Abdul Patah, Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) berkata “NUJM membantah sekeras-kerasnya usaha mengancam hak wartawan untuk melindungi kerahsiaan identiti sumber.”

“Tindakan melindungi kerahsiaan identiti sumber adalah sebahagian daripada etika kewartawanan yang perlu dijaga dan dihormati. Melindungi kerahsiaan identiti juga adalah sebahagian daripada tugas media dalam menjalankan peranan semak dan imbang,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumat.

Beliau menyifatkan siasatan oleh pihak polis itu sebagai satu cubaan mengganggu gugat tugas pengamal media.

"Sekiranya seorang wartawan diminta untuk memberikan kerahsiaan sumber dan ianya dilakukan. Maka, ke depannya, seorang wartawan itu bukan saja tidak akan dipercayai, malah, sukar untuk mereka lakukan tugas mereka,” tegasnya lagi.

Radzi Razak, jurucakap kepada Gerakan Media Merdeka (Geramm) pula menegaskan para pengamal media tidak boleh berkompromi dalam melindungi identiti sumber mereka.

“Mereka ditanya mengenai sumber mereka dan mereka tetap dengan pendirian melindungi sumber. Ini menunjukkan Malaysiakini tegas dengan pendirian mereka.

“Kita akan membantu dan akan cuba memahamkan kenapa sumber ini penting. Kerja kerja media ni banyak tak diketahui orang kenapa perlu jaga sumber dan sebagainya,” ujarnya ketika hadir memberi sokongan kepada tiga wartawan tersebut.

Pendirian itu turut disokong oleh Centre for Independent Journalism (CIJ) yang menyanjungi integriti ketiga-tiga wartawan tersebut yang berdiri teguh dengan pendirian mereka.

“Kami menyanjungi integriti wartawan terlibat, berdiri teguh dengan pendirian… Kami juga mendesak kepada media yang bebas dan terbuka, bebas daripada sebarang bentuk ancaman” tegas badan itu dalam kenyataan dimuat naik di akaun media sosialnya.

Nalini Elumalai, pegawai kanan badan hak asasi ARTICLE 19 membidas siasatan itu sambil menyifatkan ia adalah ancaman kepada kebebasan media dan hak bersuara.

“Gangguan dan siasatan adalah satu bentuk serangan ke atas kebebasan media dan hak masyarakat untuk mendapat maklumat. ARTICLE 19 percaya perlindungan kepada sumber wartawan adalah elemen penting kepada kebebasan bersuara,” ujarnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pandangan bercanggah

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dalam reaksinya menggesa pengamal media supaya bersikap lebih bertanggungjawab dalam melapor berita.

“Saya tidak mahu sentuh spesifik kes kerana ia sudah dalam siasatan pihak polis cuma saya ingin tekankan daripada segi wartawan dan dunia kewartawanan, saya fikir penulisan berita yang bertanggungjawab adalah keutamaan kita.

“Maknanya, bila kita menulis mestilah disertai dengan pertanggungjawaban yang kita ada tanggungjawab dan akauntabiliti yang bukan hanya (tulis) untuk stesen atau syarikat media kita tetapi rakyat keseluruhannya,” katanya kepada portal tempatan, Malaysia Gazette.

Bagaimanapun, Teresa Kok pemimpin kanan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang membentuk Kerajaan Perpaduan, mengkritik tindakan yang disifatkannya sebagai authoritarian.

“Sebagai Kerajaan Perpaduan, pemikiran autoritarian lama perlu ditinggalkan dan semangat reformasi perlu dijadikan amalan. Penubuhan kerajaan baru adalah untuk membetulkan kesilapan lalu, memajukan negara ke arah lebih demokratik, telus, dan adil, dan bukannya meneruskan kaedah penindasan dan kawalan lama.

"Kuasa kerajaan sepatutnya tidak terletak pada penindasan terhadap media, tetapi pada keterbukaan, ketelusan, dan komitmen tegas terhadap kepentingan awam.

“Kerajaan yang bersedia menerima kritikan dan pengawasan adalah kerajaan yang benar-benar kuat. Kebebasan media bukan sahaja membantu mewujudkan kerajaan yang bertanggungjawab dan telus, tetapi juga membantu memupuk masyarakat yang lebih berwawasan,” tegas Naib Presiden DAP itu dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau turut mendesak supaya polis menghentikan siasatan terhadap wartawan kerana ia menekan kebebasan media serta melanggar prinsip keterbukaan dan ketelusan dalam masyarakat demokrasi.

Mantan menteri undang-undang, Zaid Ibrahim turut senada membidas tindakan menyiasat pengamal media.

“Menganggu wartawan dengan cara sebegini adalah salah. Mengapa siasat mereka atas kemungkinan melakukan jenayah? Wartawan tahu tanggungjawab mereka untuk melaporkan berdasarkan fakta.

“Jika melibatkan sumber yang tidak disahkan, mereka akan berwaspada. Mereka akan semak dan semak semula. Mereka akan memastikan kredibiliti sumber mereka,” ujarnya dalam perkongsian di akaun media sosial X yang ditujukan kepada Ketua Polis Negara.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.