Mahkamah bebaskan presiden parti pemerintah Malaysia daripada 40 pertuduhan rasuah
2022.09.23
Shah Alam, Selangor
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat telah melepas dan membebaskan Ahmad Zahid Hamidi, presiden parti politik terbesar di Malaysia yang menjadi tunjang kepada gabungan parti yang membentuk kerajaan persekutuan, daripada 40 pertuduhan rasuah membabitkan kontrak sistem visa luar negara.
Beliau bagaimanapun masih lagi menghadapi perbicaraan dalam satu lagi kes rasuah membabitkan sebuah yayasan yang ditubuhkan untuk membantu orang miskin.
Pihak pendakwaan masih boleh merayu keputusan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Mohd Yazid Mustafa, namun Peguam Negara Idrus Harun pada Jumaat dilaporkan berkata bahawa mereka akan meneliti alasan penghakiman sebelum membuat sebarang langkah seterusnya.
Seorang penganalisis politik pula percaya bahawa kemenangan Ahmad Zahid dalam kes tersebut merupakan satu tamparan buat pembangkang, yang mendakwa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mahukan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan secepat mungkin kerana mahu diselamatkan daripada kes mahkamah beliau.
Selepas dibebaskan, presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, atau UMNO itu memberitahu media bahawa keadilan akhirnya ditegakkan.
"Saya telah diaibkan, dimalukan, malah ditelanjangkan dengan pelbagai tanggapan.
"Saya telah dihukum oleh 'court of public opinion' (tanggapan awam). Tetapi Jumaat ini perundangan ditegakkan dengan kebenaran," katanya sebelum meninggalkan kompleks mahkamah bersama isteri dan anak-anaknya.
Keputusan kes presiden UMNO itu datang kira-kira sebulan selepas Mahkamah Persekutuan menghantar bekas perdana menteri Najib Razak ke penjara untuk menjalani hukuman 12 tahun penjara, selepas mengekalkan sabitan bersalah terhadap Najib berkaitan kes skandal kewangan 1MDB.
Dalam keputusan pada Jumaat itu, Hakim Mohd Yazid berkata pihak pendakwaraya telah gagal membuktikan kes atas semua alasan.
"Saya dengan ini melepas dan membebaskan tertuduh dari semua pendakwaan tanpa memanggil untuk membela diri kerana pendakwaraya telah gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh,” kata Mohd Yazid lagi.
Hakim itu mengambil masa lebih dua jam untuk mengumumkan keputusan tersebut.
Ahmad Zahid didakwa menyambung kontrak syarikat pemprosesan visa sebagai balasan untuk rasuah berjumlah RM50.56 juta (AS$11 juta) semasa beliau memegang jawatan Menteri Dalam Negeri antara tahun 2014 dan 2018.
Bekas timbalan perdana menteri semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional itu telah didakwa dengan 33 pertuduhan kerana menerima RM43.39 juta (A $9.5 juta) dari Ultra Kirana Sdn Bhd untuk membantu menyambung kontrak bagi pusat sehenti pemprosesan data dan sistem visa warga asing syarikat berkenaan di China.
Beliau turut berhadapan dengan tujuh pendakwaan menerima rasuah dalam pelbagai mata wang termasuk Singapura, dolar AS dan Euro dengan Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan tersebut di rumah beliau dan juga di kediaman rasmi timbalan perdana menteri.
Namun begitu Ahmad Zahid masih mempunyai satu lagi kes rasuah yang masih berjalan.
Satu lagi kes mahkamah
Pada April lepas, Zahid telah diarahkan untuk membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah melibatkan penyalahgunaan dana berjumlah RM52.25 juta (AS$11.42 juta) dari yayasan milik keluarganya, yang ditubuhkan bagi membantu mereka yang memerlukan.
Dalam kes tersebut, beliau dituduh menggunakan dana yayasan berkenaan untuk membayar bil kad kredit dan kereta miliknya.
Presiden UMNO itu sejak kebelakangan ini telah menarik perhatian ramai bukan kerana kes rasuah tetapi kerana kesungguhan beliau mendesak supaya PRU15 dipercepatkan sebelum hujung tahun ini.
Para pengkritik telah mendakwa bahawa gesaan Ahmad Zahid untuk pilihan raya dipercepatkan itu adalah disebabkan kes mahkamah yang dihadapinya, dengan beliau bagaimanapun menafikan perkara itu.
"Saya masih percaya terhadap sistem kehakiman tidak berat sebelah. Mereka yang mendakwa saya takut didapati bersalah sebenarnya yang takut,” kata beliau dihadapan 3,000 ahli UMNO yang hadir pada satu sesi taklimat khas yang diadakan pada akhir bulan lalu.
"Mereka ini yang tidak mempunyai keyakinan diri dan takut pada bayang-bayang sendiri,” tambahnya.
Bagaimanapun, tidak semua gembira dengan keputusan mahkamah membebaskan Zahid daripada kesemua 40 pertuduhan itu.
Penganalisis politik Bridget Welsh dalam ciapan di platform Twitter menulis, "Satu langkah besar ke belakang dalam usaha melawan rasuah dan salahguna kuasa di Malaysia,”
"Ada kemungkinan pihak pendakwaraya akan membuat rayuan," tambah ahli akademik dari University Nottingham Malaysia itu lagi.
Namun, keputusan Jumaat itu menurut felo kanan Akademi Nusantara, Azmi Hassan menjadi satu tamparan buat pembangkang.
"Pihak pembangkang tidak lagi boleh berkata bahawa sebab UMNO mendesak pilihan raya awal adalah kerana kes-kes mahkamah. Ini tidak lagi perkara yang relevan,” katanya kepada BenarNews.
"Keputusan pembebasan itu semestinya memberikan satu suntikan yang positif kepada kedudukan Zahid."
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.