Kes rasuah: Timbalan PM Malaysia dilepaskan tanpa dibebaskan Mahkamah
2023.09.04
Kuala Lumpur
KEMASKINI pada 11.50 pagi waktu tempatan ETS - 2023-09-05
Sebuah mahkamah Malaysia pada Isnin menggugurkan 47 pertuduhan jenayah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes berkaitan penyelewengan jutaan dolar dari sebuah yayasan kebajikan yang diasaskan beliau bagi melawan kemiskinan.
Dalam mengumumkan keputusan mahkamah, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah berkata pengguguran kes berkenaan telah diminta oleh pasukan pendakwaan sendiri dan menyatakan rasa marah beliau terhadap tindakan berkenaan.
"Mahkamah dengan ini memerintahkan supaya tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA)," kata beliau. Sekiranya pihak pendakwaan membuat keputusan untuk menarik balik kes terhadap Zahid secara penuh, "masa mahkamah yang berharga dan wang pembayar cukai yang banyak akan terbazir," tambah Collin.
Kes berkenaan merupakan satu daripada dua perbicaraan jenayah yang dimulakan terhadap Ahmad Zahid kira-kira setahun selepas parti UMNO kalah dalam Pilihan Raya Umum pada 2018 ekoran skandal rasuah yang besar. Ia menyebabkan parti itu hilang kuasa buat pertama kali sejak mula memerintah negara kira-kira enam dekad lalu.
Bagaimanapun, UMNO kembali ke tampuk pemerintahan selepas pilihan raya umum pada November lepas. Walaupun ia kehilangan banyak kerusi, keputusan pilihan raya itu yang menyaksikan tidak ada satu parti mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan telah membawa UMNO bekerjasama dengan gabungan parti politik pimpinan Anwar Ibrahim yang sekaligus membolehkan mereka membentuk Kerajaan Persekutuan.
Tindakan pasukan pendakwaan memohon supaya Ahmad Zahid dilepaskan mendapat kritikan hebat daripada aktivis anti-rasuah, termasuk kumpulan Bersih yang berkata bahawa ia menyebabkan iltizam kerajaan pimpinan Anwar untuk melawan rasuah dan membawa reformasi kini "diragui secara serius".
"Rakyat Malaysia sudah muak melihat korelasi ini: Mereka yang kekal berkuasa selama-lamanya kekal tidak bersalah, manakala mereka yang kehilangan kuasa juga hilang rasa tidak bersalah," kata Bersih dalam satu kenyataan.
"Kami juga tertanya-tanya sama ada ini adalah ‘pendahuluan’ kepada pengguguran semua baki pertuduhan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak?"
'Masuk longkang'
Ahmad Zahid sebelum ini pernah berkhidmat dalam kerajaan semasa era pemerintahan Najib Razak, yang kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabitkan bersalah dalam kes rasuah membabitkan skandal 1MDB.
Walaupun beliau tidak mendapat pembebasan penuh pada Isnin, Zahid memberitahu para penyokongnya yang berada di luar mahkamah bahawa "pertuduhan bermotifkan politik terhadap saya telah dihentikan."
"Selepas ini menjadi tugas untuk kepimpinan BN serta UMNO memulihkan persepsi rakyat terhadap segala bentuk tuduhan politik selama ini yang dilemparkan. Tugas kami dalam UMNO dan BN adalah untuk meneruskan perjuangan ini supaya lemparan tuduhan yang selama ini bermotifkan politik dapat dihentikan," kata beliau, merujuk kepada gabungan Barisan Nasional yang diketuai UMNO.
Pasukan pendakwaan sebelum ini telah berjaya membina kes "prima facie" terhadap Ahmad Zahid, di mana ia menunjukkan bahawa terdapat cukup bukti telah ditunjukkan kepada mahkamah untuk membawa kes itu kepada perbicaraan penuh dan sekaligus memaksa tertuduh untuk membela diri.
"Ini adalah satu pembaziran wang rakyat yang digunakan bagi membuktikan kes prima facie dan pembaziran kerja keras semua di Jabatan Peguam Negara. Satu penjelasan mesti diberikan kepada rakyat," kata peguam dan aktivis Ambiga Sreenevasan dalam ciapannya di laman X atau dahulunya dikenali sebagai Twitter.
"Saya harap jangan ada ahli politik [dari kerajaan] yang berani cuba mewajarkan tindakan ini atau mengulangi kata-kata bahawa mereka melawan rasuah," tegas beliau.
"Lihatlah... kepercayaan kita kepada kerajaan hari ini telah masuk ke longkang sekali lagi... jadi apa lagi selepas ini untuk rakyat Malaysia??!! kata pengguna X yang menggunakan nama "Jack Sparrow".
Pendakwaan politik
Dalam membuat permohonan DNAA terhadap Ahmad Zahid, pasukan pendakwaan memetik keputusan kerajaan untuk menyiasat sebuah memoir tulisan bekas Peguam Negara Tommy Thomas susulan terdapat dakwaan bahawa pejabatnya telah melaksanakan pendakwaan "terpilih" terhadap beberapa orang ahli politik.
Thomas merupakan peguam negara yang bertanggungjawab membawa kes terhadap Ahmad Zahid di mahkamah.
Tambahan pula, kata pihak pendakwaan, banyak petisyen telah difailkan kepada Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendakwa bahawa siasatan ke atas Ahmad Zahid sebelum ini telah dilakukan secara melulu, cuai dan tidak lengkap.
"Oleh itu, kami pasukan pendakwaan ingin memohon kepada hakim untuk memberhentikan prosiding terhadap tertuduh dan tertuduh dilepas tanpa dibebaskan sehingga siasatan terperinci kes ini dijalankan oleh SPRM," kata ketua pasukan pendakwaan Mohd Dusuki Mokhtar kepada mahkamah.
Pasukan peguambela yang mewakili Ahmad Zahid sebaliknya memohon kepada mahkamah supaya timbalan perdana menteri itu diberikan pembebasan penuh dengan alasan bahawa pertuduhan terhadap tertuduh yang juga Presiden UMNO itu tidak mempunyai asas.
Dalam satu kenyataan media yang ditandatangi peguam-peguam yang mewakili timbalan perdana menteri itu telah menegaskan bahawa Ahmad Zahid adalah mangsa "pendakwaan politik" ketika zaman pemerintah Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri selepas UMNO dijatuhkan daripada tampuk kuasa.
"Dalam keterangan bersumpah anakguam kami di dalam mahkamah bahawa Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu telah memanggil anakguam kami dan memberikan arahan dalam nada yang tegas supaya membubarkan UMNO atau akan menerima sebarang akibat sekiranya arahan beliau tidak dipatuhi.
"Perjumpaan dengan Tun Mahathir adalah pada Jun 2018. Anakguam kami enggan tunduk kepada ugutan Mahathir dan pada 2 Julai 2018 anakguam telah dipanggil oleh SPRM untuk tujuan siasatan dan tindakan mahkamah. Anakguam kami telah dituduh pada 19 Oktober 2018," kata kenyataan itu.
Pada 2018, Ahmad Zahid telah didakwa dengan 47 pertuduhan jenayah melibatkan Yayasan Akal Budi serta 40 pertuduhan rasuah melibatkan kontrak sistem visa luar negara.
Pada September 2022, Ahmad Zahid telah dilepas dan dibebaskan dari kesemua pertuduhan melibat sistem visa luar negara setelah pihak pendakwa raya gagal membuktikan kes prima facie keatasnya, tetapi rayuan terhadap keputusan itu masih berjalan.