Zahid Hamidi pertahan kerjasama UMNO-PH, Melayu tidak berada dalam bahaya
2022.12.28
Kuala Lumpur
Kepentingan kaum Melayu di Malaysia tidak berada dalam bahaya walaupun UMNO bekerjasama dengan Pakatan Harapan pimpinan Anwar Ibrahim yang kini menerajui negara, kata Presiden parti itu yang juga Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa.
Zahid mempertahankan keputusannya membawa parti haluan kanan itu bekerjasama dengan PH, di mana antara komponen parti dalam gabungan pimpinan Anwar itu adalah Parti Tindakan Demokratik (DAP), sebuah parti yang hampir kesemua ahlinya berbangsa Cina dan lebih banyak memperjuangkan hak kaum tersebut, juga merupakan musuh ketat UMNO.
Kenyataan Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dibuat dalam satu temuramah secara langsung oleh sebuah media politik atas talian melalui program 'Jawab, Saya Tanya - Rekonsiliasi Politik: Apa Untung Pada Negara?' beberapa minggu sebelum Perhimpunan Agung UMNO yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.
"Dalam hal mempertahankan Islam, Bahasa Melayu, Raja-raja Melayu, hak kepentingan orang Melayu, perkara itu telah termaktub dalam perlembagaan. Apabila perundingan dibuat antara Barisan Nasional dengan Pakatan, perkara itulah yang menjadi tajuk utama kita.
“Kita berkata kepada mereka empat perkara ini tidak boleh dipertikaikan, dipersoalkan dan malah harus dipatuhi," kata Zahid menjawab soalan sama ada beliau yakin bahawa asas-asas perjuangan UMNO mengenai Islam dan bangsa Melayu akan dapat dipertahankan dalam kerjasama parti itu dengan Pakatan, yang disiarkan secara langsung di laman Facebook pada malam Selasa.
Menurut Zahid, tidak semua pimpinan di dalam UMNO bersetuju dengan keputusan parti itu bergabung dengan PH, di mana kebanyakan mereka lebih cenderung mahukan kerjasama dengan Perikatan Nasional yang diketuai Muhyiddin Yassin.
Namun, kata Zahid, Anwar merupakan pilihan yang lebih baik kerana Pakatan tidak memberikan ancaman terhadap UMNO berbanding Perikatan yang boleh mencuri penyokong UMNO.
Tambah beliau, UMNO telah menjelaskan kepada wakil Pakatan termasuk dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam rundingan mereka mengenai keutamaan UMNO sebagai sebuah parti berasaskan Melayu yang dominan, dan perkara tersebut tidak dikompromi dalam persefahaman antara mereka.
"Atas sebab itu kami memberikan penekanan perkara ini dalam perbincangan dan apabila perjanjian persefahaman ditandatangani oleh pelbagai pihak, perkara ini juga tidak pernah dikompromikan, malah dijadikan salah satu asas utama perjanjian, bukan sahaja untuk waktu ini tetapi juga untuk jangka panjang," kata beliau lagi.
Selepas Pilihan Raya Umum pada 19 Nov lepas yang menyaksikan situasi Parlimen tergantung dengan gabungan pimpinan Anwar menguasai 82 kerusi diikuti Perikatan diterajui Muhyiddin, dengan 73 kerusi, UMNO membuat keputusan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan dan bekerjasama dengan Anwar, sekaligus menamatkan kemelut politik negara.
Keputusan berkenaan bagaimanapun menimbulkan polemik di kalangan penyokong dan ahli UMNO kerana dilihat tidak selari dengan pendirian parti itu kerana Perhimpunan Agung mereka sebelum ini yang memutuskan untuk tidak sekali-kali bekerjasama dengan Anwar dan DAP, yang dilihat sebagai ancaman kepada bangsa Melayu.
Mempertahankan keputusannya membawa UMNO bekerjasama dengan Pakatan, Zahid berkata perkara berkenaan telah dibawa dalam perbincangan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi UMNO serta Barisan Nasional, dan telah meneliti pilihan mana yang lebih baik bagi jangka masa panjang dan kelangsungan parti.
Tambahnya, analisis mereka mendapati bahawa Perikatan pimpinan Muhyiddin membawa "mudarat" yang lebih besar disebabkan gabungan berkenaan akan berebut demografik pengundi dan penyokong yang sama dengan UMNO.
"Majlis Tertinggi telah memutuskan dengan Perikatan akan ada lebih banyak mudarat sebab mereka bertanding di kawasan yang sama kita bertanding yang dinamakan 'Malay Belt' (Jajaran Melayu). Mereka menang 73. Tentunya kita akan berperang di gelangang yang sama.
"Di dalam Pakatan, kita lihat dari segi analisis politik dan beberapa unjuran dan potensi besar untuk kita menang semula di kawasan yang kita kurang undi dahulu, boleh kita gali semula potensinya," kata Zahid.
Tegas Presiden UMNO itu, keputusan untuk bekerjasama dengan Pakatan bagi membentuk kerajaan itu telah dicapai secara sepakat oleh hampir kesemua ahli Majlis Tertinggi parti, kecuali dua orang yang berbeza pendapat, dan ia adalah satu keputusan yang telah dibuat secara demokratik oleh mereka.
Perjuangan parti
Penjelasan oleh Zahid mengenai keputusan UMNO menyertai kerajaan pimpinan Anwar dibuat kira-kira dua minggu sebelum parti berkenaan dijadualkan mengadakan Perhimpunan Agung di Kuala Lumpur.
Perhimpunan Agung UMNO merupakan badan pembuat keputusan tertinggi parti tersebut, dan ia akan menjadi yang pertama diadakan selepas Pilihan Raya Umum Malaysia ke-15.
Zahid juga bakal berdepan dengan pemilihan parti yang perlu diadakan sebelum pertengahan 2023, di mana beliau mungkin akan perlu mempertahankan jawatan presiden sekiranya dicabar oleh pemimpin lain yang tidak sehaluan dengannya.
Sementara itu, penganalisis politik Azmil Mohd Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata Zahid perlu membuat penjelasan tersebut bagi meyakinkan ahli-ahli UMNO bahawa perjuangan parti itu tidak dikompromikan oleh kerjasama dengan Anwar.
"Ia adalah lebih baik untuk mereka bekerjasama dengan Pakatan kerana UMNO dan Pakatan tidak bersaing untuk kumpulan pengundi Melayu yang sama, tidak sepertimana Perikatan," kata Azmil kepada BenarNews.
Penganalisis itu juga percaya Zahid akan mampu meredakan ketegangan dan ketidakpuasan hati ahli parti terhadapnya dengan menggunakan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Luar Bandar yang dipegang beliau.
"Beliau boleh menjanjikan ketua-ketua bahagian untuk menyalurkan dana dan projek kerajaan ke kawasan-kawasan mereka. Saya rasa itu cukup untuk membolehkan Zahid mengelakkan pemberontakan dalaman."
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura turut berkongsi pandangan serupa, menyatakan bahawa Zahid perlu memberikan penerangan kepada akar umbi UMNO mengapa beliau membuat keputusan bertentangan, terutama sekali selepas UMNO melaung-laungkan retorik anti-Pakatan sebelum pilihan raya.
"...jika tidak, ahli akar umbi UMNO akan menjadi keliru dan patah semangat ketika mereka perlu bekerja keras untuk menghadapi beberapa pilihan raya negeri yang akan datang," kata Oh kepada BenarNews.
Menurut penganalisis itu, keputusan memilih Pakatan dan bukannya Perikatan juga adalah sesuatu yang jelas, memandangkan apa berlaku sebelum ini ketika UMNO bekerjasama dengan Bersatu, iaitu parti utama dalam Perikatan.
"Semua boleh nampak bagaimana UMNO terancam dengan Bersatu sejak beberapa tahun lalu, walaupun ketika mereka menjadi rakan dalam satu gabungan. Jadi apa yang Zahid cakapkan hanyalah menunjukkan kepada sesuatu yang sudah terang lagi jelas."
Oh juga percaya bahawa kedudukan Zahid dalam UMNO masih selamat kerana beliau masih memegang sokongan yang kuat daripada bahagian-bahagian dalam parti.
Muzliza Mustafa di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.