Ahmad Zahid Hamidi mohon mahkamah kembalikan pasportnya
2023.01.26
Kuala Lumpur
Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi yang sedang bergelut dengan kes rasuah membuat permohonan kepada mahkamah supaya mengembalikan semula pasportnya yang terpaksa diserahkan pada 2019 selepas didakwa atas 47 pertuduhan jenayah, menurut laporan media rasmi kerajaan pada Khamis.
Pihak pembangkang mendakwa permohonan yang dibuat itu boleh mendatangkan tekanan kepada badan kehakiman negara, walaupun Zahid menyatakan bahawa beliau tidak berniat untuk melarikan diri dan memerlukan dokumen berkenaan bagi menjalankan tugas rasminya sebagai anggota pentadbiran negara.
Pengkritik sebelum ini pernah menyuarakan kekhuatiran mengenai kemungkinan campurtangan kerajaan dalam kes mahkamah Zahid selepas parti pimpinan beliau bersetuju untuk bekerjasama dengan gabungan politik pimpinan Anwar Ibrahim untuk membentuk Kerajaan sekarang.
"Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya telah menerima mandat dan tanggungjawab utama daripada Perdana Menteri yang ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewakilkan beliau dalam beberapa urusan pentadbiran negara," kata Ahmad Zahid dalam afidavit sokongan yang difailkannya kepada mahkamah, seperti dilaporkan oleh agensi Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).
"Adalah wajar untuk mahkamah mempertimbangkan bahawa kelulusan permohonan itu bakal memberi kebaikan serta kelangsungan terhadap pentadbiran Malaysia yang menjadi tanggungjawab setiap individu rakyat di negara ini," tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi.
Menurut laporan, Ahmad Zahid telah memfailkan notis permohonan tersebut berserta afidavit sokongan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 Januari lepas.
Antara alasan yang diberikan Ahmad Zahid dalam permohonan tersebut adalah beliau kini berdepan beberapa kekangan untuk menjalankan tugas sebagai timbalan perdana menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah kerana tidak mempunyai akses kepada pasportnya.
Selain itu, beliau turut memerlukan dokumen berkenaan untuk mendapatkan Pasport Diplomatik daripada Jabatan Imigresen bagi tujuan urusan keluar masuk negara untuk tugasan rasmi.
Beliau turut berjanji kepada mahkamah untuk terus memberikan kerjasama penuh dalam menyelesaikan kes-kesnya di mahkamah sehingga ke peringkat akhir.
"Saya turut mengaku janji bahawa saya akan patuh pada semua syarat-syarat yang ditetapkan oleh mahkamah dan akan memberi kerjasama penuh untuk menghadiri perbicaraan pada tarikh-tarikh yang telah ditetapkan," kata beliau.
Ahmad Zahid, yang merupakan Presiden parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), telah didakwa di mahkamah atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi, dan beliau terpaksa menyerahkan pasport kepada mahkamah sebagai syarat tambahan jaminan. Perbicaraan itu kini berada di peringkat pembelaan.
Direhatkan
Permohonan oleh Ahmad Zahid itu telah mendapat reaksi negatif daripada pembangkang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), yang menggesa supaya timbalan perdana menteri itu direhatkan daripada tugasnya bagi memastikan kes mahkamah diselesaikan tanpa sebarang kelewatan dan gangguan.
Timbalan Presiden BERSATU Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataan pada Khamis berkata permohonan Ahmad Zahid yang menggunakan alasan kepentingan negara itu jelas dilihat sebagai satu tekanan kepada pihak mahkamah.
"Permohonan yang menggunakan alasan kepentingan negara ini nyata dilihat memberi tekanan kepada pihak mahkamah serta hakim dan akan menganggu proses perbicaraan.
"Walaupun ia menjadi kuasa mutlak hakim untuk memulangkan pasport berkenaan, namun bidang tugas yang dipegang Ahmad Zahid yang dalam pentadbiran kerajaan ketika ini, akan memberi kesan kepada kuasa bidang kehakiman untuk menjamin perbicaraan yang efisyen, lancar serta tanpa penangguhan," kata beliau.
Ahmad Faizal berkata penyelesaian terbaik untuk isu berkenaan adalah dengan Ahmad Zahid direhatkan dari tugas rasmi beliau bagi membolehkannya memberi fokus kepada perbicaraan di mahkamah.
Beberapa orang peguam dan penganalisis politik yang dihubungi BenarNews mempunyai pandangan berbeza, di mana mereka melihat permohonan Zahid untuk mendapatkan pasport itu sebagai satu permintaan yang munasabah.
Menurut Gurdial Singh Nijar, seorang peguam veteran, ia tertakluk kepada kuasa budibicara hakim untuk menentukan samada permohonan tersebut boleh diterima.
"Ia boleh dibenarkan sekiranya beliau (Zahid) tidak dilihat berisiko melarikan diri. Dan alasan diberikan Zahid adalah tulen memandangkan beliau perlu pergi ke luar negara (untuk tugasan rasmi)," kata peguam itu.
Seorang lagi peguam, Dinesh Muthal, turut berkongsi pandangan serupa dan menyatakan bahawa Zahid memerlukan pasportnya bagi menjalankan tugas.
"Saya rasa reaksi yang dilihat terhadap permohonan Zahid adalah lebih kepada persepsi politik. Saya melihat pandangan politik pada waktu ini adalah Zahid tidak lagi dilihat sebagai penjenayah atau tertuduh hanya kerana beliau seorang timbalan perdana menteri.
"Tetapi melihat kepada konsep normal perundangan, ia (permohonan itu) agak munasabah sebenarnya."
Penganalisis politik Azmi Hassan dari Akademi Kajian Strategik Nusatara pula berkata adalah sesuatu yang tidak masuk akal untuk terus merampas pasport Zahid, terutama apabila menyebabkan beliau berdepan kesukaran dalam menjalankan tugas sebagai menteri.
"Saya rasa ia adalah satu permohonan yang munasabah oleh Ahmad Zahid, terutama sebagai timbalan perdana menteri. Pergerakan Zahid akan lebih sukar sekiranya beliau tidak mendapat kembali pasport.
"Zahid sudah tentu tidak akan ke mana-mana atau lari daripada mahkamah. Ia tidak masuk akal untuk memegang pasportnya ketika ini terutama sekali disebabkan kepayahan untuk menjalankan tugas sebagai menteri," kata Azmi.
Tindakan Timbalan Perdana Menteri itu memohon kembali pasportnya turut mengundang kritikan netizen terhadap kerajaan pimpinan Anwar.
"Dia (Zahid) hanya kawal selia bencana dalam negara, hendak keluar ke mana pula?," ciap seorang pengguna Twitter.
"Anwar Ibrahim, ikut kan sahaja telunjuk (Zahid), (jika tidak) nanti hilang kuasa memerintah pula. Pilih lagi orang yang kesnya sedang berjalan di mahkamah sebagai ahli pentadbiran kerajaan, satu satu dia minta," tambah netizen itu.
Seorang lagi pengguna Twitter mendakwa bahawa tindakan Zahid itu membuatkan situasi menjadi rumit.
"Zahid berikan alasan beliau mesti ada memegang pasport kerana beliau adalah timbalan perdana menteri. Padahal semua orang tahu dia ada kes mahkamah. Sekarang ini beliau sudah buatkan situasi menjadi lebih rumit," katanya.
Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.