Zahid Sekali Lagi Didakwa, Mengaku Tidak Bersalah Kes Rasuah RM42.7 juta
2019.06.27
Shah Alam, Malaysia
Bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis sekali lagi mengaku tidak bersalah keatas 33 pertuduhan baru rasuah kerana menerima suapan berjumlah RM42.7 juta (AS$10.3 juta) dari sebuah syarikat tempatan yang diberikan hak eksklusif mengendalikan sistem visa luar negara(VLN).
Pengakuan tidak bersalah itu dibuat dihadapan Hakim Rozina Salleh di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor selepas kesemua 33 pertuduhan dibacakan terhadapnya.
“Saya mengaku tidak bersalah dan minta dibicara,” kata Zahid, yang didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di kediamannya di Jalan Bayu Nyaman, Country Heights, Kajang Selangor antara Oktober 2014 hingga Oktober 2017.
Dengan tambahan pendakwaan baru itu, jumlah keseluruhan kes salah laku yang dihadapi oleh Presiden Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu [UMNO] itu berjumlah 87 kesemuanya termasuk tujuh kes rasuah yang dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu dan 47 kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram sebelum ini.
Menurut kertas pendakwaan yang diperolehi BeritaBenar, 26 daripada 33 pertuduhan itu dituduh mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah kerana menerima suapan manakala baki tujuh yang lain dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan bagi jenayah menerima hadiah berharga semasa menjadi penjawat awam.
Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM membawa hukuman mengikut Seksyen 24(1) akta sama, iaitu penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali jumlah suapan bagi setiap pertuduhan.
Seksyen 165 Kanun Keseksaan pula menetapkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya.
Sebanyak 26 pertuduhan melibatkan mata wang Singapura berjumlah kira-kira SGD$9.32 juta(RM28.5 juta) manakala tujuh pertuduhan lain melibatkan beberapa mata wang asing diantaranya RM3.125 juta (AS$754,109), SGD$1.15 juta(RM3.5 juta) dan €15,000 (Euro)(RM70,704) dan AS$15,000(RM62,160).
Ahmad Zahid, 66, yang juga merupakan bekas Menteri Dalam Negeri dituduh menerima suapan tersebut bagi melanjutkan kontrak Syarikat Ultra Kinrara Sdn Bhd(UKSB) dalam mengendalikan pusat khidmat One Stop Centre (Pusat Sehenti) di China serta sistem VLN bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Anggota Parlimen Bagan Datuk itu diwakili peguam Kitson Foong, Hamidi Mohd Noh, Rosal Azimin dan Mohd Shahril Madisa manakala pihak pendakwa raya diwakili oleh Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar dan Zander Lim Wai Keong.
Timbalan Pendakwa Raya Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar memberitahu mahkamah bahawa pihaknya mengarahkan supaya Ahmad Zahid diikat jamin sebanyak RM1 juta (AS$241,315) tetapi Foong berkata bahawa nilai itu terlalu tinggi.
Foong meminta agar wang ikat jamin dikurangkan kepada RM500,000(AS$120,657).
Hakim Rozina bersetuju dengan satu penjamin.
"Mahkamah akan mengeluarkan notis tunjuk sebab sekiranya penjamin gagal memberikan sebab mengapa tertuduh gagal hadir ke mahkamah," Hakim Rozina berkata selepas memberikan nilai jaminan dan menetapkan 29 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, peguam Ahmad Zahid, Kitson Foong yakin dapat membebaskan anak guamnya.
"Kami yakin bahawa sistem dan perundangan di negara ini akan membebaskan beliau sepenuhnya. Beliau sangat positif dan yakin.
Tidak langsung tertekan dengan 87 pertuduhan itu. Kami juga akan memberikan pembelaan yang terbaik untuk beliau," tegas Foong.
Zahid pada Rabu mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan menerima suapan lebih SGD4.2 juta (RM12.8 juta) daripada syarikat Ultra Kirana dua tahun lalu.
Ahmad Zahid, didakwa melakukan perbuatan itu di kediaman rasmi timbalan perdana menteri di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya antara 28 Mac 2017 dan 2 Mac 2018.
Ahmad Zahid didakwa menerima suapan tersebut juga daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd (UKSB) berjumlah antara SGD300,000 (kira-kira RM918,742) hingga SGD1.04 juta (kira-kira RM3.18juta) dengan jumlah terkumpul kesemuanya kira-kira SGD4.2 juta (kira-kira RM12.8 juta).
Suapan itu juga dikatakan sebagai dorongan bagi beliau, yang ketika itu adalah Menteri Dalam Negeri, untuk melanjutkan kontrak syarikat berkenaan dalam mengendalikan sistem Visa Luar Negara (VLN) bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd telah diberikan hak eksklusif oleh KDN semasa pemerintah kerajaan dahulu untuk menguruskan Kemudahan Electronic Travel Registration & Informatian (eNTRI), iaitu sistem tapisan awal keselamatan terhadap pelancong dari China yang dibenarkan memasuki Malaysia tanpa visa selama 15 hari.
Akhbar tempatan Harian Metro dalam siri laporan khasnya pada Nov lepas, mendedahkan sejak sistem eNTRI diperkenalkan, UKSB itu sudah mengutip lebih RM198,066,952 (AS$47juta) membabitkan kelulusan permohonan kepada 2,058,358 orang namun, tapisan keselamatan dilakukan amat lemah sehinggakan kelulusan juga diberikan kepada seekor beruk yang diberikan identiti palsu.
UKSB yang diberi akses penuh untuk mengeluarkan eNTRI dikatakan membolot semua hasil kutipan tersebut iaitu RM100 (AS$24) untuk setiap permohonan tanpa langsung memberi hasilnya kepada kerajaan.
Malah, urusan permohonan eNTRI secara dalam talian dilakukan sambil lewa dengan kelulusan dalam masa cuma lima minit dan aspek keselamatan negara nyata diabaikan apabila individu yang disenarai hitam serta ada rekod jenayah turut diberi kelulusan masuk ke negara ini.