Program Pengecualian Visa Masuki AS Tunggu Dua Tahun Lagi
2016.03.31
Kuala Lumpur
Malaysia terpaksa menunggu dua tahun lagi sebelum mengetahui status kedudukan dalam Program Pengecualian Visa Amerika Syarikat (US Visa Waiver Program), selepas kerajaan negara itu memperketatkan syarat berikutan situasi keselamatan semasa terutamanya serangan keganasan di Eropah dan Turki.
Timbalan Perdana Menteri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tempoh itu dilanjutkan oleh sebab kerajaan Amerika Syarikat (AS) telah membuat penambahbaikan dalam syarat-syarat statutori terbaru berikutan situasi keselamatan pada ketika ini.
AS memaklumkan mengenai perkara itu kepada Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri melalui Timbalan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS, Alejandro Mayorkas, semasa pertemuan kedua-duanya di pejabat Mayorkas di ibu negara AS pada Rabu.
Timbalan Perdana Menteri itu berada di Washington sejak Selasa lepas, untuk lawatan kerja seminggu, termasuk menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear.
“Syarat baru ini bukan sahaja melibatkan negara baru yang memohon untuk menyertai program itu tetapi juga negara yang telah menyertai program tersebut,” katanya kepada pemberita Malaysia seperti dilaporkan agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada Khamis.
Pada Okt lepas, Zahid yang mewakili Malaysia, menandatangani Arahan Presiden Keselamatan Negara No 6 (HSPD-6), iaitu keperluan statutori bagi program Pengecualian Visa Amerika Syarikat dan Malaysia, sewaktu mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Jabatan Negara, John Kerry semasa lawatan kerjanya itu.
Mengikut dokumen berkenaan, satu daripada keperluan berkanun bagi Program Pengecualian Visa ialah kedua-dua negara bekerjasama lebih rapat dalam memerangi ancaman ‘pejuang pengganas asing’, termasuk kumpulan Militan Negara Islam (IS).
Program Pengecualian Visa itu adalah inisiatif kerajaan di bawah hubungan dua hala antara kedua-dua negara yang bakal dinikmati oleh rakyat Malaysia yang mahu memasuki AS tanpa visa sehingga 90 hari termasuklah kemudahan visa ‘multiple entry’ untuk tempoh maksimum 10 tahun.
‘Pemantauan setahun’
“Dengan penambahan syarat baru itu, kedudukan permohonan Malaysia ke program berkenaan perlu melalui pemantauan setahun mengenai peratus penolakan permohonan visa rakyat Malaysia, berdasarkan tahun fiskal AS yang bermula 1 Okt 2016 hingga 31 Sept 2017, kata Ahmad Zahid seperti dilaporkan Bernama.
Pada pertemuan yang sama dengan Mayorkas, Ahmad Zahid berkata, AS meminta Malaysia berkongsi maklumat terutamanya mengenai insiden keganasan bersama-sama negara sedia ada dalam program pengecualian visa negara itu.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri itu juga berkata, beliau dan Mayorkas turut membincangkan mengenai isu operasi agensi keselamatan sempadan semasa pertemuan berkenaan dengan AS menawarkan kepada Malaysia untuk mempelajari operasi pengawalan sempadan negara itu.
"Ia termasuk melihat aset-aset yang digunakan negara itu sama ada aset kekal ataupun peralatan pemantauan satelit dan radar, selain beberapa aset lain yang sesuai untuk digunakan dengan topografi Malaysia," tambah beliau.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan menerima tujuh cadangan daripada pihak swasta dengan pelbagai pendekatan teknologi dan pembinaan untuk mempertingkatkan keselamatan kawasan sempadan negara.
Kementerian Dalam Negeri telah menyerahkan kesemua cadangan itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menelitinya.
Sempadan Thailand-Malaysia adalah hab jenayah rentas sempadan, selain penyeludupan narkotik, ia juga terkenal dengan aktiviti pemerdagangan manusia.
Perkembangan membimbangkan itu telah membuat kerajaan kedua-dua negara yang berjiran itu menaik taraf sempadan keselamatan mereka.
Empat negeri di Malaysia - Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan berkongsi sempadan dengan empat wilayah Thailand - Satun, Songkhla, Yala dan Narathiwat, dengan aktiviti penyeludupan lebih aktif di bahagaian barat seperti Perlis dan Kedah.
Sementara itu, Ketua Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kedah, Abdul Latif Abd Rahman berkata kepada BeritaBenar, setakat ini tiada tanda-tanda aktiviti penyeludupan manusia terutamanya melibatkan pelarian Rohingya di sempadan Malaysia-Thailand sejak akhir tahun lepas.
Beliau berkata trend itu boleh dikaitkan dengan keselamatan yang lebih ketat di sempadan antarabangsa berikutan penemuan kubur besar di kem haram pemerdagangan manusia di Wang Kelian tahun lepas.
"Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kami mempunyai laporan pendatang tanpa izin cuba meninggalkan Malaysia melalui sempadan Malaysia-Thailand di Kedah, berikutan operasi besar-besaran oleh Jabatan Imigresen untuk mengusir pendatang di seluruh negara," katanya kepada BeritaBenar pada Khamis.
S. Adie Zul dan Fahirul N. Ramli turut menyumbang kepada laporan ini.