AS, Malaysia Tingkatkan Kerjasama Antikeganasan
2015.10.08
Amerika Syarikat (AS) mengesahkan pada Khamis bahawa ia akan menubuhkan sebuah pusat serantau di Kuala Lumpur untuk memerangi propaganda kumpulan ekstremis Negara Islam (IS) melalui Internet dan media sosial.
Pengesahan itu diberikan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry semasa pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Zahid Hamidi di Washington yang menunjukkan kerjasama erat antara kedua-dua negara dalam usaha membanteras keganasan.
Zahid dan Kerry menandatangani satu dokumen di Jabatan Negara yang akan membolehkan rakyat Malaysia untuk mengunjungi Amerika Syarikat tanpa visa.
Mengikut dokumen itu, yang dikenali sebagai Arahan Presiden Untuk Keselamatan Negara No 6 (HSPD-6), satu daripada keperluan berkanun bagi Program Pengecualian Visa ialah kedua-dua negara bekerjasama lebih rapat dalam memerangi ancaman ‘pejuang pengganas asing, termasuk ISIL’," kata Zahid kepada pemberita.
IS juga dikenali sebagai Negara Islam Iraq dan Levant (ISIL).
Zahid berkata, Kerry ‘hari ini mengesahkan bahawa Malaysia akan menjadi [tuan tumah] ‘pusat itu’ untuk menangani mesej-mesej (digital) daripada IS.’
"Mereka [Amerika Syarikat] akan membantu dalam tiga aspek - latihan, peralatan dan pendekatan operasi," katanya. "Pusat ini akan ditempatkan di Kuala Lumpur."
"Kami mempunyai sebuah jawatankuasa kerjasama untuk berbincang mengenai butiran ini," kata Zahid, yang sebelum itu diberi taklimat oleh CIA mengenai ancaman IS, selain isu-isu serantau lain.
Beliau percaya pusat serantau itu akan sama dengan pusat yang telah ditubuhkan oleh Amerika Syarikat di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Perdana Menteri Malaysia Najib Razak memberitahu sidang kemuncak menangani IS baru-baru ini bahawa Malaysia sedang menimbangkan penubuhan ‘Pusat Serantau Digital bagi Memerangi Mesej melalui Komunikasi’ memandangkan Asia Tenggara tidak mempunyai kemudahan seumpama itu.
Dua minggu lepas, Malaysia menjadi satu daripada ahli terbaru Gabungan Global bagi Menangani ISIL yang diterajui Amerika Syarikat. Malaysia dan Singapura merupakan dua negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) yang menyertai pertubuhan itu setakat ini.
Pusat Sawab (Jalan yang Benar) UAE yang berpangkalan di Abu Dhabi bertujuan membantu Amerika Syarikat dan negara Timur Tengah itu untuk memerangi propaganda IS dalam media sosial bagi membendung pengambilan pejuang baru kumpulan ekstremis itu.
Gabungan itu sedang berusaha untuk menghakis rayuan IS ‘dengan mengukuhkan keupayaan untuk memerangi mesej kebencian yang dicanangkan oleh kumpulan itu,” kata White House baru-baru ini. Pusat Sawab di UAE sedang "meningkatkan perdebatan dalam talian untuk melemahkan" dakwaan IS berhubung "kesahihan dan kejayaan strategik."
Media sosial
Zahid berkata, media sosial adalah medium utama yang digunakan oleh IS untuk menarik pejuang, terutamanya di Syria dan Iraq.
"Saya ingin mengesahkan bahawa kajian empirikal menunjukkan media sosial digunakan oleh 87 peratus daripada mereka yang terpengaruh dan tertarik dengan kumpulan pengganas," katanya.
Mengikut dokumen HSPD-6, katanya Amerika Syarikat akan berkongsi maklumat dengan Malaysia tentang kira-kira 86,000 suspek pengganas termasuk yang berada dalam pangkalan data di Washington.
"Sebelum ini, kami menggunakan Interpol sebagai saluran maklumat tetapi sekarang kita akan mendapatkannya secara langsung dari Amerika Syarikat ... dalam usaha untuk mengambil tindakan segera untuk mencegah dan membendung masalah yang berkaitan dengan aktiviti keganasan."
Zahid juga berkata, Amerika Syarikat adalah antara negara yang dijemput untuk menghadiri satu persidangan antarabangsa di Kuala Lumpur pada Januari depan yang memberi tumpuan kepada membentuk maklum balas serantau untuk memerangi keganasan.
Persidangan mengenai deradikalisasi di rantau ASEAN pada 25-26 Januari akan disertai oleh 10 negara ASEAN serta lapan rakan dialog persatuan itu - Amerika Syarikat, China, Korea Selatan, Jepun, India, Australia, New Zealand dan Rusia.
Ia adalah sebahagian daripada usaha untuk membangunkan satu "templat" dan "standard" untuk program-program memerangi keganasan yang diterima di peringkat antarabangsa, kata Zahid.
Beliau menambah, Malaysia berada dalam "barisan hadapan" untuk membantu masyarakat antarabangsa memerangi keganasan.
Pegawai-pegawai di Malaysia dan negara jiran Indonesia berkata mereka bergelut dengan ancaman IS yang menyasarkan belia sebagai rekrut berpotensi melalui media sosial.
Najib baru-baru ini berkata kerajaan Malaysia telah berusaha secara agresif untuk menghentikan ahli IS daripada merancang serangan di tanah air sendiri atau menjadi negara transit untuk meneruskan perjalanan ke Timur Tengah.
Beliau berkata pihak berkuasa di negaranya telah menahan lebih daripada 100 orang yang disyaki mempunyai hubungan dengan IS.
Media Malaysia baru-baru ini melaporkan bahawa tiga rakyat Malaysia telah terbunuh dalam zon perang di Syria dan Iraq, menjadikan 14 orang jumlah rakyat Malaysia yang terbunuh semasa berjuang untuk IS.