Bekas Menteri Didakwa Selepas Mengkritik Perdana Menteri Dalam Blog
2015.12.04

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat atas tuduhan membuat kenyataan tajam dan bersifat jelik dalam blognya menggesa Perdana Menteri Najib Razak meletak jawatan, tiga bulan lepas.
Zaid, 64 yang juga seorang peguam didakwa mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Zaid didakwa menggunakan internet dan secara sedar memuat naik ucapannya yang disiarkan di laman blog miliknya www.zaid.my, yang bertajuk ‘Rally Behind Tun Mahathir Mohamad’ dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 3 Sept lepas.
Beliau antara lain menyokong bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang menggesa Najib untuk meletakkan jawatannya.
Artikel yang dimaksudkan telah pun dimuat turun dari laman blog Zaid.
Mahkamah membenarkan Zaid dilepaskan tanpa ikat jamin dan menetapkan 22 Januari depan untuk pengurusan kes.
Zaid diwakili peguam M. Puravelan manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahruddin Wan Ladin.
‘Hak suarakan pandangan’
Dakwaan terhadap Zaid itu merupakan tindakan terkini yang diambil dilihat sebagai dalam menyekat perbezaan pendapat di negara itu.
“Saya bersedia untuk sebarang kemungkinan. Kita dalam negara demokrasi mesti ada hak menyuarakan pandangan bagi kebaikan negara,” kata Zahid seperti dilaporkan media tempatan.
Beliau menambah, keputusan mahkamah untuk membenarkannya dilepaskan tanpa ikan jamin adalah sesuatu yang betul.
Pada 16 November lalu, Zaid turut disiasat oleh Polis mengikut Akta Hasutan berhubung ucapannya itu.
Beliau memberitahu media tempatan, seorang pegawai polis dari Bukit Aman telah merakam keterangan beliau manakala anaknya turut disiasat kerana mendaftarkan blog miliknya itu.
Zaid sebelum ini sering mengeluarkan pendapatnya mengenai kontroversi derma politik berjumlah RM2.6 billion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013 dan juga skandal hutang syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mencecah RM40 billion.
Selain Zaid, Mahathir turut bersuara lantang mahu Najib meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri berhubung isu sumbangan peribadi berkenaan.
Pada Julai lepas, Najib telah menyingkir timbalannya Muhyiddin Yassin dari Kabinet kerana mengkritik beliau manakala Abdul Gani Patail, yang merupakan sebahagian daripada pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan terhadap dana RM2.6 bilion itu, telah diturun pangkat secara mendadak sebagai Peguam Negara.
Penggunaan Akta Hasutan oleh kerajaan Malaysia itu, turut mendapat kritikan hebat kerana ia dikatakan antara undang-undang zaman penjajah untuk mengganggu dan menutup mulut pengkritiknya.
Sementara itu, sebuah portal berita tempatan melaporakan aktivis politik Hishammudin Rais dihalang keluar oleh Jabatan Imigresen sewaktu mahu menaiki pesawat ke Seoul, Korea Selatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada malam Khamis.
"Saya mahu kerajaan menjelaskan sebab saya tidak dibenarkan ke luar negeri," katanya seperti dilaporkan oleh portal berita The Malaysian Insider.
Hishamuddin merupakan bekas aktivis mahasiswa sekitar tahun 1970-an, pernah hidup dalam buangan selama 25 tahun.
Beliau sepatutnya berada di Seoul atas jemputan pada satu program hak asasi di sana selama seminggu.
Selain Hishamuddin, Ahli Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP) Tony Pua dan Rafizi Ramli, yang juga Ahli Parlimen Pandan dari Parti Keadilan Rakyat telah dihalang daripada keluar negara sejak Julai lepas.
Dalam pada itu, Astro Awani melaporkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamad sebagai berkata, tiada unsur politik berhubung larangan keluar keatas aktivis politik itu.
Jelasnya sebarang sekatan ke luar negara yang dikenakan oleh pihak berkuasa, kerana mempunyai sebab yang munasabah.