Zunar: Malaysia Tidak Benarkan Saya Tinggalkan Negara

Hata Wahari
2016.10.17
Kuala Lumpur
THUMB-zunarphoto-620.jpg Zunar bergambar 'selfie' ketika tidak dibenarkan meninggalkan negara oleh pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur, 17 Oktober 2016.
[Ihsan Zunar]

Kartunis satira politik Malaysia, Zunar yang sedang menghadapi perbicaraan atas tuduhan hasutan telah dihalang oleh pegawai imigresen daripada menaiki penerbangan ke Singapura pada Isnin, dakwa beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebaik saja kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur itu berlaku.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Haque berkata beliau cuba untuk berlepas dari KLIA ke negara berkenaan untuk menghadiri satu forum apabila dihalang oleh pegawai imigresen.

“Saya tidak dibenarkan keluar dari Malaysia, saya dimaklumkan oleh pegawai Imigresen di KLIA semasa hendak berlepas,’’ katanya pada BeritaBenar semasa dihubungi. Zunar perlu berada di Singapura untuk menghadiri satu forum yang dijangka berlangsung pada kira-kira pukul 3 petang Isnin.

Beliau memberitahu, pegawai imigresen di lapangan terbang itu memaklumkan kepadanya bahawa perintah berkenaan datang terus daripada Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dan berkuatkuasa mulai 24 Jun lepas.

"Ketua Polis Negara dan pengarah imigresen tidak mempunyai hak untuk menghalang atau mengawal pergerakan saya dan mengenakan sekatan ke atas saya untuk meninggalkan negara ini, cuma mahkamah saja boleh berbuat demikian. Walaupun demikian ia hanya boleh dijalankan di bawah undang-undang tertentu, " kata Zunar dalam kenyataannya itu.

Aduan Zunar mendapat respons ringkas dan jelas dari Khalid. "Dia [Zunar] boleh mencabar saya jika dia mahu."

Zunar berkata, arahan itu membingungkan kerana sebelum ini beliau tidak pernah berhadapan dengan masalah untuk ke keluar negara terutama untuk menyertai persidangan.

Kartunis itu juga menegaskan bahawa walaupun beliau menghadapi sembilan pertuduhan di bawah Akta Hasutan, beliau tidak pernah disabitkan kesalahan dan masih menanti perbicaraan yang dijadualkan pada 22 November depan.

"Ini jelas menunjukkan penyalahgunaan kuasa dan terang-terangan melanggar hak asasi manusia oleh individu tertentu," katanya.

Mahkamah Tinggi Malaysia pada April menolak cabaran persoalan undang-undang berhubung Akta Hasutan oleh Kartunis itu, sekaligus membuka jalan kepada mahkamah rendah untuk menetapkan tarikah perbicaraan terhadap sembilan pertuduahan menghasut terhadap beliau.

Eric Paulsen, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty yang juga salah seorang daripada peguam kartunis berkenaan berkata, larangan perjalanan terhadap Zunar itu dilakukan dengan niat jahat, dan melanggar haknya di bawah perlembagaan.

Di bawah Akta Imigresen, agensi itu mempunyai kuasa untuk menghalang sesiapa sahaja daripada meninggalkan negara tetapi tidak boleh menggunakan kuasa tersebut dengan  sewenang-wenangnya terhadap mereka yang mengkritik pihak kerajaan..

"Zunar hadir setiap kes hasutannya di mahkamah walaupun beliau sering keluar negara selepas penahanannya dan ini memperkuatkan lagi persepsi bahawa pihak berkuasa tidak mempunyai alasan kukuh untuk menghalang beliau ke luar negara," kata Paulsen.

Zunar: ganguan berterusan

Zunar, yang hasil kerjanya diterbitkan oleh BeritaBenar berkata, tindakan terbaru terhadap beliau itu merupakan satu lagi bentuk gangguan berterusan kerajaan untuk menghentikannya daripada melukis kartun yang banyak mengkritik Perdana Menteri Najib Razak dan kerajaan.

Selain tuduhan hasutan keatas beliau yang boleh membawa hukuman 43 tahun, Zunar berkata beliau telah dihukum penjara dua kali, selama dua hari pada September 2010 dan tiga hari pada Februari 2015.

"Lima daripada buku kartun saya diharamkan dan pejabat saya di Kuala Lumpur diserbu beberapa kali dengan beribu-ribu buku kartun saya dirampas. "

Selain itu, pencetak dan kedai-kedai buku buku 'di seluruh negara yang mencetak dan menerbitkan buku saya telah diserbu dan diberi amaran supaya tidak mencetak atau menjualnya atau lesen perniagaan mereka akan ditarik balik, katanya.

Tiga daripada pembantu beliau ditangkap atas tuduhan menjual buku kartun beliau pada  Oktober 2014 dan webmaster yang bertanggungjawab mengurus laman webnya serta pemilik  kedai buku dalam talian, telah disoal siasat oleh polis.

Zunar berkata beliau akan memfailkan tindakan undang-undang untuk mengetepikan larangan itu kerana “bakat bukan hadiah, bakat adalah tanggungjawab.”

Peningkatan halangan terhadap pengkritik kerajaan

Sementara itu, Amnesty International Malaysia menegaskan larangan perjalanan yang dikenakan ke atas Zunar  merupakan satu trend berbahaya untuk menghalang pengkritik kerajaan.

Pengarah Eksekutifnya, Shamini Darshni menegaskan bahawa Perkara 13 Deklarasi Hak Asasi Manusia menegaskan  bahawa setiap individu mempunyai hak untuk meninggalkan dan kembali semula mana-mana negara, termasuk negaranya sendiri.

Ini juga terkandung di dalam Perkara 15 Deklarasi ASEAN Hak Asasi Manusia, katanya dalam satu kenyataan.

“Walaupun larangan perjalanan yang dikenakan dalam keadaan tertentu, ia tidak boleh diisytiharkan sewenang-wenangnya tetapi mesti diperuntukkan di bawah undang-undang, selaras dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa,’’ tegas beliau.

Nota Pengarang: Zunar adalah penyumbang BeritaBenar.





Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.