Di Malaysia, Anak Perempuan Ketua Pembangkang Anwar Dipenjarakan Kerana Hasutan
2015.03.16

Anak sulung kepada pemimpin pembangkang yang sedang dalam penjara, Anwar Ibrahim, telah bermalam di penjara selepas ditahan pada hari Isnin kerana didakwa menghasut.
Ahli Parlimen, Nurul Izzah Anwar, yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat tampil memberikan keterangan kepada pihak polis bagi siasatan perhimpunan #KitaLawan yang dipimpin oleh pembangkang yang diadakan di Kuala Lumpur pada 7 Mac.
Sebaliknya, pegawai polis menahan beliau di bawah Akta Hasutan kerana membuat "kenyataan menghina bahawa mereka dalam institusi kehakiman telah menjual diri kepada syaitan," Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar, berkata dalam satu kenyataan, mengikut laporan Associated Press.
Khalid berkata Nurul Izzah akan dilepaskan apabila pihak polis selesai dengan soal siasat mereka.
Namun, Fahmi Fadzil, ketua penerangan parti itu, menuduh pihak polis menahan Nurul Izzah berdasarkan ucapannya di Parlimen pada minggu lalu iaitu beliau menentang pemenjaraan ayahnya atas tuduhan meliwat.
"Saya amat marah, dan kita semua patut (marah), kerana sebagai ahli parlimen kita sepatutnya bebas untuk mengkritik kerajaan yang memerintah tanpa diambil tindakan balas," Nurul Izzah memberitahu Agence France-Presse melalui telefon.
Nurul Izzah merupakan orang terbaru yang dipilih oleh kerajaan dalam tindakan keras mereka terhadap hasutan sejak tahun lalu, dan sehingga kini berpuluh-puluh orang termasuk beberapa ahli politik kanan pembangkang telah disiasat, didakwa atau disabit bersalah di bawah Akta Hasutan,
Jabatan Negara Amerika Syarikat berkata mereka "sangat prihatin" dengan penahanan Nurul Izzah dan juga pengkritik kerajaan yang lain di bawah undang-undang hasutan.
"Siasatan kerajaan Malaysia baru-baru ini dan tuduhan hasutan terhadap pengkritik telah menimbulkan kebimbangan serius tentang kebebasan bersuara, kedaulatan undang-undang dan kebebasan sistem kehakiman di Malaysia," kata jurucakap Jabatan Negara, Jen Psaki, dalam satu kenyataan.
"Pembatasan lanjut kebebasan bersuara hanya akan semakin menghakis tonggak penting dalam sistem demokrasi Malaysia," tambah beliau.
Sebagai reaksi terhadap penahanan Nurul Izzah itu, Pemerhati Hak Asasi Manusia (Human Rights Watch) berkata kerajaan Malaysia telah menyekat kebebasan bersuara dan menjadikan dialog sebagai satu jenayah "yang sebenarnya (kebebasan bersuara dan dialog) ialah sebahagian biasa dalam wacana politik di kebanyakan negara lain di seluruh dunia."
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan beliau telah menggunakan Akta Hasutan seperti "kapak untuk bertindak keras terhadap ahli-ahli politik pembangkang, aktivis masyarakat dan sesiapa yang berani meluahkan pendapat mereka," kata Phil Robertson, Timbalan Pengarah Asia kumpulan hak asasi manusia global itu.
Kekebalan untuk Ahli Parlimen?
Penahanan (Nurul Izzah) pada hari Isnin telah mendorong ahli parlimen pembangkang mempersoalkan konsep kebebasan bersuara di Dewan Rakyat. N. Surendran, seorang ahli pembangkang parti Pakatan Rakyat, memanggil siasatan hasutan itu "tidak mengikut perlembagaan."
"Perkara 63 (2) Perlembagaan Persekutuan menganugerahkan kekebalan kepada apa-apa yang dikatakan oleh seorang Ahli Parlimen di Dewan Rakyat daripada mana-mana prosiding di mahkamah," akhbar The Star memetik beliau sebagai berkata.
Kerajaan Malaysia bercadang untuk memperluas Akta Hasutan semasa sesi Dewan Rakyat baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi berkata pada minggu lalu.
Tujuannya adalah untuk membantu melindungi kesucian agama Islam dan juga agama lain, dan bertindak terhadap mereka yang menghasut negeri-negeri Timur Malaysia iaitu Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia, kata beliau.
Lebih banyak tangkapan hasutan dibuat
Sementara itu, empat lelaki didakwa di bawah Akta Hasutan pada hari Ahad di Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah kerana memiliki bahan-bahan yang menggesa Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia, lapor The Star Online.
Bahan-bahan tersebut dikaitkan dengan laman Facebook "Sabah Sarawak Keluar Malaysia" yang menyokong kedua-dua negeri Borneo itu meninggalkan Persekutuan Malaysia.
Nasionalis Sabah telah semakin rancak berbincang tentang pemisahan (Sabah dari Malaysia) apabila penduduk di negeri itu lebih sedar tentang kemiskinan, isu-isu imigresen dan politik seperti "Projek IC" yang didakwa diwujudkan untuk mengubah demografi negeri dan senarai daftar pengundi dengan mengeluarkan kad pengenalan kepada pendatang, The Malaysian Insider melaporkan.
Oleh staf BenarNews dengan maklumat daripada laporan berita.