Parlimen Malaysia lulus rang undang-undang antigangguan seksual

Penyokong menyifatkan ia akan melengkapi lima undang-undang sedia ada untuk menangani jenayah seks dengan lebih serius.
Muzliza Mustafa dan Noah Lee
2022.07.22
Kuala Lumpur
Parlimen Malaysia lulus rang undang-undang antigangguan seksual Ahli Dewan Rakyat Malaysia bersidang pada sesi khas Parlimen di Kuala Lumpur, 26 Julai 2021.
(AFP/Jabatan Penerangan Malaysia)

Malaysia minggu ini meluluskan rang undang-undang antigangguan seksual pertamanya yang menggesa penubuhan tribunal khas bagi mengadili kes dengan lebih pantas secara tertutup, satu perkembangan yang dituntut oleh kumpulan yang memperjuangkan hak wanita selama 30 tahun.

Rang undang-undang itu, yang perlu diluluskan oleh Dewan Negara dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum dikuatkuasakan sebagai undang-undang, melindungi wanita dan lelaki yang melaporkan gangguan itu, kata Kumpulan Tindakan Bersama Bagi Kesaksamaan Gender.

“Kumpulan-kumpulan yang memperjuangkan hak wanita di seluruh Malaysia telah melobi selama 30 tahun untuk undang-undang ini. Dengan kelulusan rang undang-undang ini, mangsa boleh mengharapkan penyelesaian yang cepat, pada kos berpatutan dan boleh diakses melalui Tribunal berkaitan Antigangguan Seksual,” menurutnya dalam kenyataan bersama dengan kumpulan hak asasi lain yang dikeluarkan pada lewat Khamis.

Meskipun memuji komitmen badan perundangan, kumpulan itu mahu kerajaan memastikan mangsa dilindungi sepenuhnya. Ia juga berharap rang undang-undang itu tidak akan disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab bagi menyekat hak asasi manusia terhadap kumpulan terpinggir atau digunakan bagi mengamalkan kepolisan moral terhadap orang lain.

“Hasrat keseluruhan undang-undang itu adalah untuk sentiasa menggalakkan dan melindungi hak asasi semua orang tanpa mengira jantina, bangsa, agama atau latar belakang,” menurut kenyataan itu.

Seramai 26 Ahli Parlimen membahaskan rang undang-undang itu pada Selasa sebelum ia diluluskan dengan undian suara terbanyak pada Rabu.

Di bawah undang-undang itu, satu tribunal akan ditubuhkan bagi mendengar aduan mengenai gangguan seksual. Tribunal pertama akan ditubuhkan di Kuala Lumpur atau Selangor.

Ia berhak mengeluarkan award serta perintah yang dianggap wajar oleh ahli panelnya seperti mengarahkan tertuduh membuat permohonan maaf secara terbuka dan dalam sesetengah kes, membayar pampasan sehingga RM250,000 (AS$56,000).

Rang undang-undang itu turut memberi kuasa kepada ahli panel untuk merujuk kes-kes kepada hakim mahkamah tinggi.

Ahli Parlimen pembangkang Hannah Yeoh berkata beliau mahu ahli panel tribunal itu dipilih daripada individu berlainan agama dan bangsa bagi mencerminkan kepelbagaian etnik dan agama rakyat Malaysia.

“Ini kerana isu gangguan seksual adalah subjektif. Jika seorang ahli panel menyatakan bahawa cara tertentu berpakaian adalah seksi maka jika kita tidak mempunyai wakil daripada agama dan bangsa yang berbeza, saya bimbang terdapat kecenderungan untuk definisi ini menjadi tidak seimbang,” katanya.

Yeoh mengusahakan draf rang undang-undang itu semasa berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan pada 2018 sebelum ia tumbang.

“Ia bukan satu rang undang-undang yang sempurna namun diperlukan bagi membantu mangsa,” katanya. “Saya percaya ramai yang sudah bertahun-tahun menunggu rang undang-undang ini.”

Rina Harun, yang berkhidmat sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di bawah pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, berkata rang undang-undang itu menangani kebimbangan Ahli Parlimen bahawa gangguan seksual melanggar hak asasi manusia dan merupakan satu bentuk keganasan serta diskriminasi terhadap mangsanya.

“Rang undang-undang ini adalah satu bentuk komitmen kita kepada Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita [CEDAW], yang kita sertai sejak 5 Julai 1995, dan juga Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang mengisytiharkan bahawa semua orang adalah sama serta menolak semua jenis diskriminasi termasuk berasaskan jantina,” katanya.

Lima undang-undang lain

Para penyokong berkata rang undang-undang itu akan melengkapi lima lagi undang-undang sedia ada bagi menangani jenayah seksual dengan lebih serius.

Rina berkata kesemua undang-undang adalah terlalu luas bagi menangani kes gangguan seksual kerana ia memerlukan pihak pendakwaan membuktikan bahawa defendan mempunyai niat jahat ketika melakukan jenayah itu.

“Dan ia perlu dibuktikan melampaui keraguan yang munasabah. Proses kehakiman memakan masa yang begitu lama dan tiada remedi spesifik untuk mangsa,” katanya.

Tribunal baharu itu, sebaliknya akan membolehkan panel membuat keputusan mengenai aduan berdasarkan imbangan kebarangkalian dan bukan melampaui keraguan yang munasabah.

Ia tidak membenarkan peguam atau peguam bela mewakili mana-mana pihak pada prosiding pendengaran. Dalam kes yang membabitkan golongan bawah umur, orang dewasa boleh mewakili mereka untuk memfailkan aduan. Satu keputusan perlu dibuat dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pendengaran.

Tribunal itu terbuka kepada semua tanpa mengira jantina dan kewarganegaraan.

Sokongan bukti pembangkang, kerajaan senada

Awang Azman Awang Pawi, seorang pemerhati politik dan penganalisis dari Universiti Malaya, berkata rang undang-undang itu telah menerima sokongan daripada Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan. Beliau berkata kekompleksan rang undang-undang itu telah melambatkan proses kelulusannya.

“Ia perlu merangkumi semua aspek dan itu adalah punca ia mengambil masa yang lama untuk didraf. Apabila Pakatan Harapan berkuasa, ia telah didraf namun tidak dapat dibentangkan di Parlimen kerana kerajaan ketika itu tumbang,” katanya kepada BenarNews.

“Terdapat lebih banyak perkara yang perlu dibahaskan dan masih ada yang perlu diperbaiki tetapi memandangkan kekangan masa dan tidak mahu dilihat sebagai taktik sengaja melengah-lengahkan, kerajaan serta pembangkang telah bersetuju mempercepatkan kelulusan rang undang-undang itu pada sesi Parlimen ini.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.