Indonesia, Malaysia dan Filipina Mulakan Rondaan Maritim Bersama

Gunawan
2017.06.19
Tarakan, Indonesia
ID_MY_PH_patrols1_620.jpg Angkatan tentera laut elit Indonesia menyerbu sebuah kapal kontena berhampiran Tarakan, Indonesia dalam satu demonstrasi satu operasi antilanun, 19 Jun 2017.
Gunawan/BeritaBenar

Selepas tertangguh selama setahun, Indonesia, Malaysia dan Filipina pada Isnin telah melancarkan rondaan keselamatan bersama di perairan ketiga-tiga negara, tindakan yang diambil susulan insiden penawanan sebuah bandar di selatan Filipina oleh kumpulan militan berkaitan Negara Islam (IS).

Menteri-Menteri Pertahanan dan para pegawai atasan angkatan tentera di ketiga-tiga negara juga siap siaga untuk melancarkan inisiatif itu, yang dicadangkan buat julung kalinya dalam bulan Mei 2016 susulan peningkatan ketara insiden penculikan maritim di Laut Sulu yang memperlahankan aktiviti perdagangan tiga hala serta dilapor menyaksikan jutaan dolar terpaksa dibayar sebagai wang tebusan kepada militan yang berpangkalan di Mindanao seperti Kumpulan Abu Sayyaf (ASG).

Timbalan Menteri Pertahanan Brunei Darussalam Abdul Aziz Moh Tamit serta Menteri Negara Kanan Pertahanan dan Hal Ehwal Luar Singapura Maliki Osman telah hadir ke majlis pelancaran sebagai pemerhati.

Rondaan maritim itu, yang membabitkan elemen udara dan permukaan, bertujuan merangsang keselamatan “ketika berdepan ancaman sebenar bukan tradisi seperti pelanunan, penculikan, keganasan dan jenayah rentas sempadan lain di kawasan perairan serantau,” demikian menurut satu kenyataan bersama ketiga-tiga negara yang mengambil bahagian.

“Matlamat utama TMP adalah memastikan anggota militan, termasuk militan Daesh, tidak menjadikan Laut Sulu sebagai laluan tikus untuk menceroboh ketiga-tiga negara ini  terutamanya susulan insiden pertempuran di Bandar Marawi, Filipina serta beberapa lagi insiden serangan di rantau ini,” kata Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein kepada BeritaBenar, menggunakan nama lain untuk kumpulan militan Negara Islam.

Kumpulan bersenjata di selatan Filipina telah bergabung tenaga untuk menawan sebahagian besar kawasan selatan Bandar Marawi pada 23 Mei sehingga memaksa Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengisytiharkan undang-undang tentera di seluruh wilayah Mindanao. Sejak itu, angkatan tentera kerajaan sering bertempur dengan kumpulan bersenjata terbabit yang menyaksikan sejumlah 354 orang terbunuh, kebanyakannya militan, demikian menurut para pegawai kerajaan.

Mereka yang maut termasuk pejuang rakyat asing dari sekurang-kurangnya enam negara – Indonesia, Malaysia, Singapura, Chechnya, Arab Saudi dan Yaman – setahun selepas para pemimpin Negara Islam menggesa pengikutnya yang tidak dapat tiba ke Syria sebaliknya bergerak ke selatan Filipina.

Teater Ketenteraan

Sebagai sebahagian daripada inisiatif, setiap satu daripada ketiga-tiga negara akan menubuhkan satu pusat kawalan maritime di lokasi yang bersempadan dengan Laut Sulu: Tarakan, Kalimantan Utara di Indonesia; Tawau, Sabah di Malaysia; dan Bongao, Tawi-Tawi di Filipina.

Upacara penyerahan telah berlangsung di sebuah pangkalan tentera laut di Kalimantan Utara termasuk simulasi menyelamat sebuah kapal kargo yang secara tiba-tiba dikerumuni “lanun” bersenjata di tengah-tengah insiden tembak-menembak.

Dalam masa beberapa saat, dua kapal perang Indonesia menghampiri kapal kontena itu manakala dua jet pejuang Sukhoi turut terbang rendah ke arahnya. Kapal-Kapal angkatan tentera laut Malaysia dan Filipina turut serta dalam adegan ketika komando tentera laut Indonesia menyerbu ke dek kapal kontena itu dari sebuah helikopter.

Menurut Menteri Pertahanan Ryamizard Ryacucu, operasi “menyelamat” itu dilakukan susulan satu panggilan kecemasan daripada kapal kontena terbabit, yang kemudian diikuti oleh pesawat pemantau.

“Kerjasama penanganan aksi perampokan seperti ini yang kami lakukan nanti,” kata Ryamizard dalam satu sidang akhbar yang berlangsung di atas Kapal Tentera Laut Indonesia Dr Suharto-990.

“Satu setengah tahun lalu, kita sudah prediksi ISIS akan dating ke selatan Filipina. Kenapa? Dia (ISIS) kalah di Syria dan Iraq. Dia (ISIS) melaksanakan kegiatan di Eropah, pasti dia akan kembali ke Asia Tenggara,” katanya.

Hishammuddin berkata rondaan itu adalah satu langkah positif dalam mengekang kebangkitan radikalisme dalam kalangan “beberapa kumpulan komuniti yang tidak menghormati undang-undang.”

“Kami telah berkomitmen untuk tidak memberikan ruang sedikitpun bagi mereka di tanah kami,” katanya.

Sempadan Berpori

Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorenzana berkata kerajaan negara itu berazam untuk memerangi ASG yang telah mengancam keselamatan di rantau ini selama bertahun-tahun.

Kerjasama itu akan membantu memulihkan keselamatan di perairan Sulu, satu laluan perdagangan utama bagi negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), katanya.

Kerjasama ini akan membolehkan kami menjejaki semua tempat persembunyian geng Abu Sayyaf,” katanya.

Di Manila, jurucakap Angkatan Bersenjata Filipina iaitu Brigidier Jeneral Restituto Padilla memaklumkan pemberita bahawa “objektif akhir perjanjian sempadan tiga hala ini ialah bagi memperkukuh keselamatan di kawasan bersama ini.”

Penculikan di laut bakal berakhir “dan pergerakan elemen bersenjata yang berpotensi, sebarang organisasi jihad atau bersenjata, tidak akan Berjaya melepasi sempadan berpori ini kerana tahap keselamatan yang begitu ketat,” katanya ketika memperjelas matlamat kerjasama itu.

Selama bertahun-tahun, ASG telah menculik dan menahan tawanan untuk dijadikan tebusan serta bertindak memenggal kepala beberapa mangsa. Pada bulan Februari, kumpulan itu telah menyebarkan satu video yang menunjukkan aksi memenggal kepala seorang tawanan rakyat Jerman, Jurgen Kantner, selepas tempoh untuk membayar wang tebusan sebanyak USD600,000 (RM2.6 juta) berakhir.

Tahun lepas, militan ASG dipersalah dalam insiden serangan ke atas beberapa kapal di kawasan perairan antara pulau Borneo dan selatan Filipina yang menyaksikan penculikan berdozen-dozen kelasi Indonesia dan Malaysia. Kebanyakan mereka telahpun dibebaskan.

ASG telah mengumpul sekurang-kurangnya 354.1 juta peso Filipina (USD7.3 juta) sebagai bayaran wang tebusan pada 2016, lapor laman sesawang berita Rappler.com yang berpangkalan di Filipina.

Menteri Pertahanan Indonesia Ryamizard Ryacudu (kiri), Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein (tiga dari kiri) dan Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorenzana (dua dari kanan) bergambar bersama-sama panglima angkatan bersenjata masing-masing pada pelancaran Rondaan Maritim Bersama (TMP) di Tarakan, Indonesia. (Ihsan Kementerian Pertahanan Malaysia)

Hata Wahari di Kuala Lumpur telah menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.