PBB digesa jangan masuk campur dalam urusan dalaman Malaysia

Hamzah Zainuddin berkata Malaysia akan mengambil tindakan terhadap warga asing yang melanggar undang-undang negara itu.
Iman Muttaqin Yusof dan Nisha David
2022.10.27
Kuala Lumpur
PBB digesa jangan masuk campur dalam urusan dalaman Malaysia Pihak berkuasa Malaysia menggunakan trak polis untuk mengangkut pendatang asing yang dipercayai memasuki negara itu secara haram dari sebuah pasar borong di Selayang, Selangor, 11 Mei 2020.
(S.Mahfuz/BenarNews)

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa organisasi lain tidak perlu campur tangan dalam urusan dalaman Malaysia, kata Menteri Dalam Negerinya pada Khamis apabila disoal mengenai tindakan mereka mengkritik penghantaran pulang rakyat Myanmar termasuk pencari suaka.

Kuala Lumpur akan mengambil tindakan tegas terhadap warga asing yang melanggar undang-undang Malaysia tanpa mengira negara asal mereka, kata Hamzah Zainudin.

“Jadi UNHCR, PBB atau sesiapa sahaja, kalau orang yang kita tangkap itu masuk dengan cara sah dan mempunyai dokumen, kemudian langgar undang-undang dan dihukum, akhirnya kita hantar mereka balik. Orang luar jangan masuk campur,” katanya kepada pemberita di Kelantan pada Khamis.

Hamzah membuat kenyataan itu kira-kira seminggu selepas tersebar berita mengenai tindakan Malaysia menghantar pulang 150 warga Myanmar termasuk tentera Burma yang berpaling tadah.

Agensi berita Reuters telah melaporkan bahawa antara yang diusir ialah enam bekas pegawai tentera laut Myanmar yang ditahan pada September dan dihantar pulang ke negara itu pada 6 Okt. Dikatakan sekurang-kurangnya empat daripada mereka telah memohon status pelarian PBB di Malaysia dan seorang daripada pegawai terbabit bersama isterinya telah ditangkap sebaik sahaja mereka tiba di Yangon.

Mereka adalah antara lebih 2,000 warga Myanmar yang dihantar pulang sejak April, menurut Human Rights Watch dalam kenyataan yang dikeluarkan pada awal minggu ini.

Ketika mempertahan tindakan kerajaan itu, Hamzah berkata langkah penghantaran pulang itu adalah berdasarkan undang-undang antarabangsa dan Malaysia tidak akan menghantar pulang mana-mana warga asing jika nyawa mereka menjadi taruhan.

“Kita tidak akan hantar mereka pulang jika mereka akan hilang di negara sendiri atau tindakan itu mendatangkan tekanan ke atas mereka. Kita melakukannya berdasarkan undang-undang antarabangsa. Jadi, semua pihak, semua rakyat Malaysia perlu memahami perkara ini,” katanya.

Hamzah adalah satu-satunya pegawai kerajaan Malaysia yang memberikan maklum balas terhadap kenyataan PBB.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah, yang sejak beberapa bulan kebelakangan ini dilihat sebagai pengkritik paling lantang dalam kalangan pemimpin ASEAN terhadap rejim tentera pasca kudeta Myanmar dan sekutu terbesar Kerajaan Perpaduan Nasional, pula mendiamkan diri berhubung isu penghantaran pulang itu.

Saifuddin adalah Menteri Luar Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara pertama yang menghubungi kerajaan bayangan Myanmar, bertemu secara terbuka dengan Menteri Luarnya dan mendesak agar blok serantau itu melibatkan diri secara aktif dengan rejim itu.

Saifuddin tidak menghadiri mesyuarat tergempar diplomat tinggi ASEAN di Jakarta pada Khamis bagi membincangkan usaha menghentikan krisis politik Myanmar dan membendung keganasan yang berleluasa di negara itu. 

183,000 pelarian

Sehingga bulan September, lebih 183,000 pelarian dan pencari suaka didaftarkan di Malaysia, menurut data UNHCR. Daripada jumlah itu, 157,900 adalah dari Myanmar iaitu 105,870 orang etnik Rohingya diikuti 23,190 orang etnik Chin dan 28,840 daripada kumpulan etnik lain. Pelarian lain adalah dari 50 negara yang bertindak melarikan diri daripada pendakwaan dan peperangan.

Malaysia bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951 PBB namun negara Asia Tenggara yang majoriti penduduknya beragama Islam itu menjadi lokasi kegemaran warga Myanmar yang mencari perlindungan terutama penduduk minoriti Islam etnik Rohingya yang tidak bernegara.

Pada Selasa, jurucakap UNHCR Shabia Mantoo berkata pihaknya bimbang dengan tindakan Malaysia berterusan menghantar pulang pencari suaka dari Myanmar yang menyebabkan nyawa mereka dalam bahaya.

“Kami telah menerima pelbagai laporan yang membimbangkan mengenai penghantaran pulang warga Myanmar secara paksa dari Malaysia sejak April tahun ini termasuk mereka yang mencari perlindungan antarabangsa. Dalam tempoh dua bulan lepas sahaja, beratus-ratus warga Myanmar dilaporkan telah dihantar pulang tanpa kerelaan mereka oleh pihak berkuasa.

“UNHCR terus menggesa Malaysia agar segera menghentikan penghantaran pulang warga Myanmar yang mencari perlindungan daripada kecelakaan yang serius ini secara paksa. Langkah menghantar mereka kembali ke Myanmar mendedahkan mereka kepada kecelakaan dan bahaya,” katanya kepada pemberita di Geneva.

“UNHCR merayu kepada pihak berkuasa Malaysia agar mematuhi komitmen perundangan antarabangsa mereka dan memastikan agar penghormatan penuh diberikan terhadap hak mereka yang memerlukan perlindungan antarabangsa,” katanya.

Moratorium

Pada Rabu, Ketua Hak Asasi Manusia PBB Volker Türk menyeru agar moratorium diberikan kepada warga Myanmar yang dihantar pulang secara paksa dan berkata dengan peningkatan keganasan serta ketidakstabilan dan keruntuhan ekonomi dan sistem perlindungan sosialnya, ini bukan masa yang sesuai untuk menghantar sesiapa pulang ke Myanmar.

“Ini terutama dalam kes mereka yang mempunyai kebimbangan mengenai perlindungan tertentu seperti aktivis politik atau anggota tentera yang berpaling tadah, yang berdepan bahaya sejurus kembali ke negara asal,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Di bawah undang-undang antarabangsa, prinsip tiada penghantaran pulang secara paksa menyatakan bahawa sesiapa sahaja tidak boleh dikembalikan ke negara asal di mana mereka mungkin dianiaya, diseksa, dizalimi atau hak mereka dicabuli dengan cara lain.

“Berdasarkan situasi di Myanmar, lebih-lebih lagi ketika ini, penghantaran pulang pelarian dan pencari suaka tidak sepatutnya dilakukan bagi mengelakkan mereka berdepan kesengsaraan dan bahaya selain memberikan status perundangan yang terjamin kepada mereka ketika negara mereka masih dalam krisis,” kata Türk.

Sementara itu, wakil negara Migrant Care iaitu Alex Ong menyertai kumpulan hak asasi manusia lain dan PBB dalam menggesa Malaysia agar menghentikan penghantaran pulang warga Myanmar.

“Ini bukan soal mencampuri urusan dalaman Malaysia sebaliknya kolaborasi bagi menyelamatkan nyawa manusia daripada berdepan penindasan yang boleh meragut nyawa,” kata Ong kepada BenarNews pada Khamis. “Rayuan ini adalah bagi menghalang pembunuhan beramai-ramai pelarian yang tidak bersalah. Ia rayuan semata-mata demi sifat perikemanusiaan.

“Memaksa pelarian kembali kepada situasi yang tidak selamat adalah seolah-olah menghantar mereka untuk disembelih,” kata Ong.

Sejak kudeta pada 1 Feb 2021, junta Myanmar telah menjalankan kempen besar-besaran untuk menyeksa, melakukan tangkapan tidak sah dan serangan yang menyasarkan orang awam tanpa diskriminasi, demikian menurut PBB dan kumpulan hak asasi.

Sejak kudeta itu, hampir 2,400 orang terbunuh manakala 16,000 telah ditahan di Myanmar, menurut Persatuan Bantuan bagi Banduan Politik Thailand.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.