Thailand Pertimbang Libatkan Lebih Banyak Pihak Dalam Rundingan Damai Selatan Thailand
2017.06.28
Bangkok

Thailand kini mempertimbang untuk membawa lebih banyak pihak ke meja rundingan dalam usaha menamatkan pemberontakan di Selatan negara itu yang berlaku sejak sekian lama, kata seorang pegawai kanan pada Rabu, sambil mengakui buat pertama kalinya bahawa kerajaan mungkin tidak menjalin kerjasama dengan “rakan dialog yang tepat” ketika rundingan damai tidak rasmi dua tahun berlangsung.
Timbalan Menteri Pertahanan Udomdej Sitabutr mengeluarkan kenyataan itu dua bulan selepas Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pemberontak paling lengkap bersenjata di sempadan wilayah selatan, mengkritik proses damai sedia ada menerusi sebuah video yang dimuat naik di YouTube.
“Kami membincangkan sama ada kami sudah mempunyai rakan dialog yang tepat,” kata Udomdej kepada pemberita di Bangkok sambil menambah bahawa “proses rundingan damai masih berlangsung” dan Thailand mungkin meminta bantuan negara jiran Malaysia untuk membantu membawa semua pihak yang berkenaan ke meja rundingan.
Kuala Lumpur telah mempelopori proses itu namun kedua-dua pihak belum lagi melaksanakan sebarang gencatan senjata di selatan Thailand di mana insiden serangan dan pengeboman terus berlaku dipercayai dilancarkan oleh pemberontak tegar.
Menurut Udomdej, Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha dan Timbalan Perdana Menteri Prawit Wongsuwan baru-baru ini meminta beliau dan Aksara Kerdpol, yang mengetuai pasukan perunding Thailand, meneliti sama ada MARA adalah rakan yang tepat dalam rundingan damai itu.
“Perdana Menteri Thailand menasihati Jeneral Aksara agar meneliti perkara itu. Timbalan Perdana Menteri Jeneral Prawit juga meminta beliau berbincang dengan fasilitator – Malaysia – untuk melibatkan semua pihak yang berkenaan,” kata Udomdej, yang mempengerusikan satu delegasi khas kerajaan 13 anggota ke selatan Thailand, tanpa mengulas lanjut bila kesemua perbincangan itu berlaku.
Komen Udomdej itu secara jelas merujuk kepada satu kenyataan julung-julung kali yang dikeluarkan oleh BRN pada April, yang menyuarakan keraguan terhadap rundingan damai tersebut.
BRN, yang menduduki tiga kerusi MARA Patani di meja rundingan itu, mendakwa panel yang berunding bagi pihak pemberontak tidak mempunyai mandat untuk berbuat demikian. BRN berkata konflik dengan puak pemisah yang berlaku sejak berdekad lamanya itu hanya boleh diselesaikan menerusi dialog. Ia turut mendesak diberikan peranan secara langsung dalam rundingan baharu yang disaksikan dan dimediasi oleh anggota komuniti antarabangsa yang “tidak memihak” kepada mana-mana kumpulan.
“Penglibatan amat penting dalam proses damai. Semua pihak berkenaan dan semua pihak yang berkepentingan harus terlibat dalam proses ini, dan saya rasa itu tidak menjadi masalah kepada MARA,” kata Kasturi Mahkota, pemimpin Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO), satu lagi kumpulan pemberontak yang diwakili MARA Patani, kepada BeritaBenar.
Sementara itu, jurucakap MARA Patani Abu Hafiz Al-Hakim tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen berhubung perkara tersebut pada Rabu.
‘Peningkatan kemajuan’ di zon selamat
Sementara itu, di selatan Thailand, rektor Universiti Rakabhat Yala mendakwa MARA Patani bukanlah pihak yang tepat untuk mewakili kumpulan pemberontak dalam rundingan damai.
Rundingan seharusnya diadakan secara rahsia “kerana selepas setiap (pusingan) rundingan, akan berlaku lebih banyak serangan dan ini menggambarkan bahawa rakan kongsi dalam rundingan itu adalah tidak tepat,” kata pembantu Profesor Sombat Yothathip.
“Ada pihak yang menentang percubaan mengadakan rundingan damai,” kata Sombat kepada BeritaBenar. “Situasi juga bukanlah bertambah baik. Saya setuju dengan percubaan untuk mengadakan rundingan damai namun bukan kaedahnya.”
Lebih 7,000 orang terbunuh sejak 2004 dalam keganasan yang dikaitkan dengan konflik di selatan Thailand yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam dan bertutur dalam Bahasa Melayu.
Sejak MARA Patani dan perunding kerajaan Thailand bersetuju pada hujung bulan Februari untuk mewujudkan gencatan senjata terhad di sebuah daerah dalam wilayah itu, Pedalaman Selatan semakin hebat dilanda pergolakan yang dikaitkan dengan pemberontakan. Sekurang-kurangnya 47 orang maut manakala 134 lagi cedera sejak pusingan terakhir rundingan damai itu pada 28 Feb.
Ketika itu, menurut MARA, kedua-dua pihak telah menetapkan tempoh tiga bulan untuk bekerjasama bagi mengenal pasti satu daerah bagi melaksanakan gencatan senjata. Bagaimanapun, Udomdej mendedahkan setakat ini, kedua-dua pihak belum berbuat demikian.
“Setakat yang saya tahu, percubaan untuk mewujudkan satu zon selamat sudahpun dilakukan. Langkah seterusnya ialah menentukan satu lokasi untuk menampung koordinasi projek….,” katanya.
“Saya tidak boleh [mendedahkan butirannya] kerana kerja-kerja telah dijalankan secara beransur-ansur. Jadi boleh dikatakan terdapat peningkatan kemajuan di kawasan itu,” kata Udomdej.
Mariyam Ahmad di Pattani, Thailand dan Hata Wahari di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.