Rundingan Damai Selatan Thailand Ditetapkan pada 2 September: Timbalan PM Sahkan
2016.08.31
Bangkok dan Pattani, Thailand
Timbalan Perdana Menteri Thailand mengesahkan bahawa rundingan damai dengan pemberontak Selatan akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Jumaat, tetapi kerajaan Thailand mahu meningkatkan lagi tahap keselamatan di zon pemberontakan melalui penubuhan "pos perintah hadapan."
"Bagi rundingan damai, kita akan membuat susulan pada 2 September," kata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Jeneral Prawit Wongsuwan kepada wartawan di Bangkok pada Isnin, yang mengesahkan maklumat yang dilaporkan BeritaBenar minggu lepas.
Beliau ditanya mengenai prospek rundingan itu, yang diusahakan Malaysia, dan diteruskan buat pertama kalinya dalam tempoh empat bulan, walaupun berlakunya beberapa siri pengeboman yang mengorbankan enam orang dan mencederakan berpuluh-puluh orang lagi di bahagian atas kawasan Selatan Thailand selain pemberontakan yang melanda Selatan Thailand awal bulan ini.
Pengesahan itu dibuat seminggu selepas Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha memberitahu pemberita bahawa kerajaan tentera Thailand telah mempertimbangkan tarikh bagi pusingan baru rundingan tidak rasmi dengan MARA Patani, panel yang mewakili kumpulan pemberontak dan puak dari Selatan Thailand. Tetapi, Prayuth mengingatkan bahawa junta tidak akan dipaksa melalui keganasan bagi mempercepatkan rundingan itu.
Sementara itu, para penyiasat menyelesaikan siasatan 11 pengeboman dan beberapa serangan membakar dengan khianat yang melanda destinasi popular di kawasan atas Selatan Thailand pada 11 hingga 12 Ogos, dan berkata bahawa sekurang-kurangnya 20 orang dari wilayah Selatan terlibat dengan plot maut itu.
Ketua NSC Thailand: 'Kita akan lihat hasilnya'
Rundingan itu, yang bertujuan menamatkan pemberontakan pemisah yang telah membunuh lebih daripada 6,000 orang di Thailand dengan majoriti penduduknya yang beragama Islam dan berbahasa Melayu berada di wilayah Selatan, telah terhenti hampir empat bulan lalu apabila pihak Thailand enggan menandatangani peraturan asas, yang dikenali sebagai Syarat Rujukan (TOR), bagi mengadakan rundingan pada masa depan. Thailand tidak mengadakan rundingan damai rasmi dengan pemberontak sejak Disember 2013, semasa kerajaan awam bertanggungjawab memerintah negara.
Prawit berkata demikian kepada pemberita selepas pulang dari lawatan ke negara jiran, Malaysia, pada Isnin, di mana beliau membincangkan tentang kerjasama keselamatan dua hala dengan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi, lapor Bangkok Post.
Keesokannya, Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaan Thailand bercakap dengan BeritaBenar tentang rundingan berikutnya di Malaysia.
"Malaysia akan menjadi fasilitator. Ia semua bergantung kepada bila dan bagaimana kita dan pembangkang bersedia untuk berunding, "kata Jeneral Taweep Netniyom dalam satu temu bual telefon.
"Jeneral Aksara (Kerdpol) bersedia untuk rundingan itu dan kita akan melihat bagaimana hasilnya, "kata Taweep, merujuk kepada ketua delegasi Thailand. "Kita perlu pastikan bahawa rundingan ini mewakili semua pihak supaya ia akan berkesan."
Kerajaan telah menetapkan pra-syarat bahawa zon keselamatan - atau zon gencatan senjata - ditubuhkan untuk menunjukkan bahawa MARA Patani boleh mengawal pemberontak di peringkat akar umbi.
Usaha damai semasa turut terhenti pada akhir April - kali terakhir kedua-dua pihak bertemu di Kuala Lumpur - kerana kedua-dua pihak tidak dapat mencapai persetujuan tentang gencatan senjata yang terhad, di mana rakyat Thailand telah menggesa supaya ia dijadikan syarat untuk memajukan rundingan.
Bagaimanapun, perunding dari kedua-dua pasukan yang bertemu pada 14 hingga 16 Ogos lalu akan mencapai persetujuan mengenai terma baru rujukan menjelang mesyuarat itu pada Jumaat. Tiada maklumat diberikan selepas mesyuarat itu.
Perintah hadapan Kerajaan
Dalam komennya kepada pemberita, Prawit berkata kerajaan juga merancang untuk menubuhkan sebuah "pos perintah hadapan" bagi membendung keganasan yang dikaitkan dengan pemberontakan di wilayah Selatan. Pelan tindakan itu adalah satu pendekatan pantas yang akan memendekkan rantaian perintah dan membolehkan tindak balas pantas dilakukan untuk menangani keganasan di wilayah Selatan, kata Timbalan Perdana Menteri.
Pos itu akan dikendalikan oleh 10 orang yang berpengalaman di rantau ini, termasuk orang awam, katanya.
Perintah hadapan baru itu akan menjadi entitinya sendiri dan memastikan dua institusi lain - pejabat serantau Operasi Perintah Keselamatan Dalaman (ISOC) tentera Thailand dan Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) - terus kukuh, menurut Bangkok Post.
Perintah hadapan serantau itu akan membantu perdana menteri, yang juga bekas pengarah ISCO, untuk bertindak balas dengan pantas berhubung kebimbangan keselamatan, Bangkok Post memetik Prawit sebagai berkata.
SBPAC memantau pembangunan dan hal ehwal awam yang melibatkan seramai 1.7 juta orang di wilayah Selatan.
Perdana Menteri Malaysia kunjungi Thailand
Rundingan damai pada Jumaat dijadualkan kira-kira seminggu sebelum Perdana Menteri Najib Razak dijangka mengunjungi Thailand.
Najib akan melawat Thailand pada 8 hingga 9 September, dengan kedua-dua negara dijangka meluluskan memorandum persefahaman termasuk mengenai dwi-kerakyatan, jenayah merentasi sempadan, pengangkutan, serta membina pagar di sepanjang sempadan bersama mereka.