Pihak berkuasa komunikasi Malaysia sekat portal berita

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, tindakan itu adalah tertakluk kepada siasatan yang dijalankan.
Noah Lee dan Iman Muttaqin Yusof
2023.08.18
Kuala Lumpur
Pihak berkuasa komunikasi Malaysia sekat portal berita Ketua Pegawai Operasi TV Pertiwi Mohd Firdaus Salleh Hudin (dua dari kiri) membuat laporan polis susulan laman sesawang portal berita itu disekat kepada pengguna di Malaysia kerana didakwa melanggar undang-undang di Bangi, Selangor, 18 Ogos 2023.
[S.Mahfuz/BenarNews]

Pihak berkuasa komunikasi Malaysia pada Jumaat menyekat akses pengguna Internet negara itu kepada sebuah portal berita yang sedang disiasat kerana dikatakan terlibat dalam penyebaran berita palsu.

Tindakan itu diambil ketika Kerajaan Persekutuan mempertingkat usaha memerangi penyebaran maklumat salah serta isu sensitif berkaitan agama, bangsa dan institusi diraja.

Susulan tindakan itu, TV Pertiwi yang sebelum ini lantang bersuara mengenai isu Islam dan LGBT, telah membuat laporan polis terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).  

“Dalam proses penilaian SKMM terhadap TV Pertiwi, SKMM berusaha untuk menjalankan tugas kawal selia dengan penuh bertanggungjawab.

“Sebarang tindakan yang diambil adalah tertakluk kepada siasatan bagi memastikan integriti dan keselamatan maklumat yang disebarkan melalui kandungan atau platform media berkenaan,” menurut SKMM dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut SKMM, sekatan itu adalah bagi tujuan penilaian di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sekatan terhadap laman sesawang TV Pertiwi dikatakan bermula pada Khamis dan pihak pengurusan portal itu menyuarakan rasa kesal atas tindakan kerajaan yang didakwa berbuat demikian tanpa memberikan sebarang notis.

“Sehingga jam 6.30 petang (Khamis), TV Pertiwi tidak diberi sebarang notis berhubung sekatan yang tidak bertanggungjawab ini. Semakan TV Pertiwi menerusi hasil ping ke alamat http://tvpertiwi.com.my menunjukkan terdapat penyekatan DNS dengan data memaparkan IP Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM): 175.139.142.25.

“Sekatan terhadap laman sesawang ini dikesan sekurang-kurangnya di dua penyedia perkhidmatan Internet (ISP), Maxis dan Unifi,” kata Mohd Firdaus Salleh Hudin, Ketua Pegawai Operasi TV Pertiwi dalam kenyataan pada Khamis.

Selain itu, akaun TikTok TV Pertiwi yang mempunyai 63,000 pengikut telah disekat oleh penyedia platform berkenaan sejak Selasa.

Dalam sidang media pada Jumaat, Mohd Firdaus berkata pihak pengurusan portal itu telah membuat laporan polis bagi menggesa Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan SKMM untuk menarik balik sekatan terhadap mereka.

Ketua Pegawai Operasi TV Pertiwi itu turut menafikan bahawa bahan yang dimuat naik ke beberapa platform media sosial mengandungi isu sensitif melibatkan agama, bangsa dan institusi diraja.

“Perkara ini sangat serius dan penting kerana ia melibatkan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan tentang hak kebebasan bersuara dan juga kebebasan media yang diamalkan di negara kita.

“Jadi tidak ada satupun (kandungan kami) yang menyentuh sensitiviti atau isu 3R - tidak ada satu pun - kerana semua kandungan disiarkan di semua platform.

“Tetapi TikTok dan SKMM telah mengambil tindakan ke atas TikTok dan laman sesawang kami. Ini satu perkara yang serius yang kita persoalkan. Kita harap pihak kerajaan dan menteri sendiri memberi respons kepada perkara ini,” katanya kepada wartawan.

TV Pertiwi, yang dipengerusikan oleh Norzila Baharin, bekas Ketua Biro Komunikasi dan Media Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) - sebuah kumpulan pendesak Muslim, mula beroperasi pada 2021.

Tindakan kerajaan Malaysia pada Khamis merupakan rentetan sekatan yang dikenakan terhadap beberapa laman sesawang portal berita sejak beberapa bulan lalu.

Pada awal Ogos, portal UtusanTV tidak dapat diakses oleh orang awam dengan notis “laman sesawang ini tidak dapat diakses di Malaysia kerana melanggar undang-undang negara.” Namun sekatan itu telah ditarik balik.

Sebelum itu, portal MalaysiaNow yang dikatakan propembangkang turut disekat selama 48 jam pada Jun, menurut media tersebut.

Namun media tempatan melaporkan pada 9 Ogos bahawa Fahmi menafikan pejabatnya telah mengeluarkan arahan untuk menyekat mana-mana portal berita di Malaysia.

Kebebasan media

Tindakan kerajaan menyekat akses ke laman TV Pertiwi turut mendapat kritikan beberapa kumpulan yang memperjuangkan kebebasan media di Malaysia.

Gerakan Media Merdeka (Geramm) dalam satu kenyataan mengecam tindakan SKMM yang disifatkan sebagai satu bentuk ancaman terhadap kebebasan media di Malaysia.

“Geramm tegas dengan pendirian sebarang bentuk sekatan terhadap portal berita - kejadian ketiga dalam masa tiga bulan - adalah merupakan ancaman terhadap kebebasan media Malaysia.

“Sebarang pertikaian melibatkan etika media perlu diselesaikan secara kendiri, telus dan bebas seiring langkah penubuhan Majlis Media Malaysia yang dijangka dibentang di Dewan Rakyat pada sidang pertama tahun depan,” katanya.

Kumpulan itu turut menggesa supaya SKMM memaklumkan pihak pengurusan media yang terlibat sebelum sebarang sekatan dikenakan terhadap mereka.

Pusat Kewartawanan Bebas, atau CIJ, pula menggesa SKMM selaku pihak berkuasa yang menyelia undang-undang komunikasi mengamalkan sikap lebih telus dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Pengarah Eksekutifnya, Wathshlah Naidu berkata CIJ ketika memantau kandungan berunsur kebencian secara dalam talian mendapati TV Pertiwi telah memuat naik kandungan yang boleh membangkitkan sentimen agama serta perkauman, dan berpandangan bahawa portal itu harus bertanggungjawab apabila mereka menyebarkan bahan yang boleh menyebabkan kerosakan.  

“Terdapat keperluan kritikal untuk SKMM menjalankan peranannya dalam mengawal selia serta memerangi penyebaran maklumat salah serta berita palsu. Bagaimanapun, CIJ berpandangan bahawa agensi itu perlu mengambil beberapa langkah bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap mereka.

“Sebagai badan kawal selia, SKMM perlu berpegang kepada prinsip keadilan dengan memberikan notis secukupnya kepada entiti media sebelum menyekat akses kepada laman sesawang mereka serta bersikap lebih telus dan memberikan justifikasi di sebalik tindakan mereka menyekat akses portal terbabit.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.