PM Malaysia perjelas isu pengampunan diraja, sangkal dakwaan pembangkang
2022.12.20
Kuala Lumpur
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Selasa menjelaskan isu sabitan dalam kes liwat terhadapnya di Parlimen selepas pembangkang melancarkan serangan peribadi mengenai seksualiti beliau ketika sesi perbahasan berhubung usul undi percaya sehari sebelum itu.
Anwar, dalam ucapan sulung di Parlimen selaku ketua kerajaan negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, berkata Yang di-Pertuan Agong telah memberikan pengampunan kepada beliau pada 2018 selepas mendapati terdapat “fitnah yang jelas” dalam kes itu.
“Saya tidak memohon pengampunan kerana saya dihukum, saya mahu menjelaskan perkara ini sebagai rekod di dalam hansard… yang mengambil inisiatif ini adalah Yang di-Pertuan Agong ketika itu (Sultan Muhammad V). Baginda menelefon saya dan bertitah “Anwar, saya akan berikan pengampunan penuh kerana saya ikuti perkembangan perbicaraan saudara. Ia adalah sesuatu yang jelas fitnah,” katanya.
Beliau berkata Sultan Muhammad V telah menggunakan perkataan travesty of justice dalam perbualan itu.
“Baginda bertitah ‘Ini pelanggaran prinsip keadilan, oleh yang demikian saya akan memberi pengampunan penuh sesegera mungkin,” katanya yang mengulangi perbualan beliau dengan Sultan Muhammad V pada 2018.
Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memberikan pengampunan kepada mana-mana individu yang telah disabitkan kesalahan di mana-mana mahkamah di Wilayah Persekutuan.
Mengikut prosedur, pesalah boleh membuat permohonan kepada Lembaga Pengampunan dan mana-mana individu yang dibebaskan dianggap tidak pernah melakukan kesalahan sebelum ini serta dikira tidak memiliki rekod jenayah.
Anwar dihukum penjara lima tahun pada 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mendapati beliau bersalah atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008.
Presiden Parti Keadilan Rakyat itu sedang menjalani hukuman penjara ketika Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018. Beliau dibebaskan seminggu kemudian selepas mendapat pengampunan diraja.
Anwar mendedahkan perkara itu semasa menjawab tohmahan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin yang membangkitkan isu tersebut ketika membahas usul undi percaya terhadap Perdana Menteri pada Isnin.
Hamzah, yang merupakan Ahli Parlimen Larut dan pemimpin blok Perikatan Nasional, membangkitkan isu itu ketika mencabar Anwar supaya mengambil tindakan undang-undang terhadap media di Eropah kerana menggelarkan beliau sebagai Perdana Menteri pertama negara Islam yang “homoseksual sepenuhnya” ketika membuat liputan mengenai pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 Nov.
Bagaimanapun, dakwaan Anwar bahawa beliau tidak memohon pengampunan untuk dirinya tidak diterima baik oleh peguam daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang mendakwa Perdana Menteri pernah membuat permohonan itu sebanyak dua kali.
Rafique Rashid Ali, seorang peguam jenayah terkenal, melalui ciapan di Twitter berkata Anwar patut memberikan fakta yang betul dalam penjelasannya.
“Perdana Menteri, tolong berikan fakta yang betul. Lembaga Pengampunan adalah di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Dalam apa jua keadaan, ia amat jelas bahawa kamu telah cuba untuk mendapatkan pengampunan sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2015 dan kemudian pada 2017, tetapi tidak berjaya.
“Biar rekod rasmi menjadi bukti,” katanya dalam ciapan yang turut disertakan gambar dokumen rasmi pengampunan yang diberikan Sultan Muhammad V pada 2018. Dokumen itu mengandungi kronologi pengampunan tersebut termasuk fakta bahawa Anwar pernah membuat permohonan kepada Lembaga Pengampunan pada 2015 dan 2017.
Peguam itu berkata pengampunan kepada Anwar pada 2018 juga hanya meliputi kesalahan liwat dan tidak termasuk sabitan bagi kesalahan salah guna kuasa pada 2008 ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Pada Selasa, Anwar turut membentangkan belanjawan mini bagi 2023 berjumlah RM107.7 bilion (AS$24.3 bilion) yang diperlukan untuk membayar gaji penjawat awam dan membolehkan kerajaan berfungsi sehingga belanjawan penuh bagi tahun 2023 dapat dibentang serta dibahaskan dalam sidang Parlimen akan datang.
“Sebagaimana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Okt 2022 oleh kerajaan lalu tidak sempat dibahas dan diluluskan. Maka perlunya kerajaan membentangkan Bajet Sementara bagi menampung sebahagian perbelanjaan tahun 2023 untuk memastikan kelangsungan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
“Tanpa kelulusan Bajet Sementara, bermula 1 Jan 2023 nanti, kerajaan tidak dapat berfungsi dan tidak dapat menyediakan perkhidmatan asas seperti bekalan ubat-ubatan di hospital, pemberian makanan kepada pelajar yang memerlukan di sekolah, bantuan kebajikan kepada golongan OKU dan penerima kebajikan lain serta pelbagai lagi perkhidmatan dan bantuan lain untuk kesejahteraan rakyat dan perniagaan,” katanya dalam ucapan pembentangan bajet itu.
Anwar berkata beliau akan membentangkan belanjawan penuh “yang lebih baik dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat dan memperkukuh prestasi ekonomi” semasa sesi Dewan Rakyat pada Februari 2023.
Usul belanjawan mini yang dibentangkan Anwar mendapat kelulusan melalui undian suara dan berkuat kuasa pada 1 Jan 2023.
Sebelum ini, kerajaan pimpinan Ismail Sabri selaku Perdana Menteri Malaysia kesembilan telah membentangkan Belanjawan 2023 pada Oktober sebelum Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15. Belanjawan itu diluluskan Dewan Rakyat namun belum mendapat kelulusan Dewan Negara serta diwartakan bagi membolehkan ia berkuat kuasa.
Sebagai respons kepada belanjawan mini itu, Ismail Sabri dalam satu kenyataan mengucapkan terima kasih kepada Anwar kerana meneruskan beberapa inisiatif kerajaan terdahulu untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi negara.
“Inisiatif-inisiatif yang diluluskan itu merupakan sebahagian daripada aspirasi Bajet Kerajaan Keluarga Malaysia dibentangkan pada 7 Okt lalu yang memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi negara.
“Ia turut mengambil kira semua aspek khususnya untuk membela golongan B40 dan sebagai persediaan bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi yang diramalkan berlaku pada tahun depan,” katanya.