KPN Beri Jaminan Tahan Bapa Mualaf Ingkar Perintah Mahkamah

Hata Wahari
2016.04.29
Kuala Lumpur
625_mualaf.jpg Indira Gandhi (dua dari kanan) bersama peguamnya, M Kulasegaran (empat dari kiri) dan ahli-ahli keluarga Indira
Ihsan M.Kulasegaran

Kemaskini pada 5.00 petang, ET - 2016-29-04

Ketua Polis Negara memberi jaminan yang Polis akan menahan seorang mualaf Muhammad Ridhuan Abdullah kerana melanggar arahan Mahkamah Persekutuan dan juga mengingkari perintah Mahkamah Tinggi untuk menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada bekas isteri beliau yang beragama Hindu, demikian kata Khalid Abu Bakar kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Beliau berkata, polis sebelum ini terpaksa mengambil sikap “berdiri ditengah-tengah” selepas berlaku perbezaan keputusan yang melibatkan dua mahkamah iaitu Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Tinggi Syariah, yang mempunyai kuasa yang sama.

“Memandangkan Mahkamah Persekutuan merupakan mahkamah tertinggi di Malaysia, polis akan melaksanakan waran tangkap ke atas Muhammad Ridhuan,’’ katanya semasa dihubungi BeritaBenar.

Pada Jumaat, Panel hakim yang dipengerusikan oleh Presiden Mahkamah Rayuan Md Raus Sharif membenarkan rayuan guru tadika M. Indira Gandhi untuk melaksanakan perintah mandamus yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi di Ipoh yang mengarahkan  Khalid melaksanakan waran komital terhadap Muhammad Ridhuan atau nama asalnya K. Patmanathan, 47.

Hakim Raus juga mengembalikan semula kes itu ke Mahkamah Tinggi Ipoh agar Hakim Mahkamah tersebut dapat memantau pelaksanaan waran tersebut terhadap Muhammad Ridhuan.

Perebutan hak penjagaan anak antara Indira Gandhi dan Muhammad Ridhuan bermula selepas Muhammad Ridhuan memeluk Islam. Beliau kemudiannya mendapatkan perintah daripada Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh pada 29 Sept, 2009, bagi hak penjagaan tiga orang anak mereka.

Manakala Mahkamah Tinggi Ipoh pada 11 Mac, 2010, memberikan hak penjagaan tiga orang anak pasangan itu - Tevin Darsiny, 19, Karan Dinish, 18 dan Prasana Diksa, 8, kepada Indira Gandhi.

'Hina mahkamah'

Pada 30 Mei, 2014, Muhammad Ridhuan dikenakan tindakan menghina mahkamah oleh Mahkamah Tinggi Ipoh yang turut mengeluarkan waran tangkap terhadapnya selepas beliau gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi untuk menyerahkan Prasana Diksa kepada ibunya. Indira Gandhi turut mendapat perintah daripada Mahkamah Tinggi yang mengarahkan polis mencari Muhammad Ridhuan.

Keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat adalah atas rayuan Indira pada tahun 2014 terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak perintah mandamus Mahkamah Tinggi Ipoh kepada Ketua Polis Negara untuk menguatkuasakan waran tangkap terhadap Muhammad Ridhuan dan perintah pemulihan untuk mengambil Prasana .

Md Raus dalam penghakimannya berkata, Muhammad Ridhuan telah sengaja mengingkari perintah mahkamah kerana enggan menyerahkan Prasana Diksa kepada Indira Gandhi dan beliau perlu ditahan untuk dibawa ke muka pengadilan.

Beliau menambah waran komital perlu dilaksanakan dan polis merupakan saluran pihak berkuasa yang wajar untuk berbuat demikian.

“Mahkamah memutuskan bahawa perintah pengkomitan terhadap Muhammad Ridhuan adalah wajar kerana beliau telah berkali-kali gagal untuk membawa anak pasangan itu, Prasana Diksa, yang kini berusia lapan tahun ke mahkamah,’’ menurut Md Raus.

Indira Gandhi, 41, ketika ditemui media di luar mahkamah memberitahu impiannya telah menjadi kenyataan kerana bakal berjumpa dengan anak perempuannya yang dilarikan daripadanya ketika berumur 11 bulan.

“Kini dia sudah lapan tahun. Saya tidak dapat gambarkan kegembiraan saya dengan kata-kata kerana akan mendapat semula anak perempuan saya. Saya telah menunggu keputusan ini selama tujuh tahun," kata Indira Gandhi dengan sebak.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.