Orang awam ganti bekas jeneral dalam rundingan damai Thailand dengan pemberontak
2023.11.28
Bangkok, Pattani, Thailand dan Kuala Lumpur
Kerajaan baharu Thailand telah melantik orang awam pertama bagi mengetuai negara itu dalam rundingan damai yang dipelopori oleh Malaysia dengan puak pemisah di Selatan Thailand yang majoriti penduduknya adalah Melayu Islam, kata para pegawai pada Selasa.
Fasilitator Malaysia memaklumkan BenarNews bahawa beliau merancang untuk bertemu ketua perunding Thailand yang baharu dilantik itu, Chatchai Bangchuad, tidak lama lagi sambil menambah kumpulan pemberontak Barisan Revolusi Nasional (BRN) mungkin menyambut baik perubahan itu.
Chatchai bagaimanapun tidak memberi maklum balas terhadap permintaan BenarNews untuk mendapatkan komen. Fasilitator terbabit, Zulkifli Zainal Abidin, pula berkata pertemuan pertama mereka berkemungkinan besar tidak akan membabitkan para pemimpin BRN.
“Saya berpandangan beliau adalah calon terbaik untuk mengambil alih peranan sebagai ketua perunding bagi pasukan Rundingan Damai Thailand kerana beliau menjadi timbalan ketika Jeneral Wanlop Rugsanaoh mengetuai pasukan itu,” kata Zulkifli kepada BenarNews. “Saya akan bertemu beliau minggu depan sama ada di Bangkok atau Kuala Lumpur bagi membincangkan langkah seterusnya.
“Pengumuman itu dibuat pada Isnin dan kami hanya mengetahuinya hari ini, jadi berikan kami sedikit masa, namun saya rasa BRN juga mahukan rundingan itu diteruskan.”
Chatchai, yang dilantik oleh Perdana Menteri Srettha Thavisin sebagai ketua perunding, berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha di Majlis Keselamatan Negara dan telah terlibat dalam rundingan damai itu sebelum Malaysia memulakan usaha memudah cara rundingan itu pada 2013.
Kerajaan Thailand telah mengadakan beberapa siri rundingan damai secara langsung dengan kumpulan pemberontak BRN sejak 2020 namun menghentikannya dengan delegasi yang diketuai oleh Anas Abdulrahman menjelang pilihan raya umum pada Mei.
Sebelum 2020, para perunding kerajaan telah mengadakan pertemuan dengan MARA Patani, panel utama yang mewakili organisasi kumpulan pemberontak di Selatan Thailand termasuk BRN.
Secara rasmi dikenali sebagai Panel Dialog Keamanan, delegasi itu termasuk komander tentera wilayah selatan, ketua pengarah kumpulan hal ehwal orang awam Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan, para pegawai Kementerian Hal Ehwal Luar dan Kementerian Kehakiman.
Selatan Thailand terdiri daripada wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala serta empat daerah dalam wilayah Songkhla. Sejak pemberontakan meletus semula pada January 2004, lebih 7,000 ornag terkorban manakala lebih 13,600 cedera dalam keganasan yang berlaku di wilayah sempadan yang kebanyakannya dihuni oleh Melayu Islam, demikian menurut Deep South Watch, sebuah badan pemikir tempatan.
Pertemuan Anwar dan Srettha
Selepas berkunjung ke Pekan Sadao yang terletak di sempadan Thailand untuk bertemu dengan Srettha pada Isnin, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berkata beliau yakin rakan sejawatnya itu juga ingin mencapai kata sepakat dalam perjanjian damai di wilayah Selatan Thailand.
“Saya melihat ada kesanggupan di pihak PM Thailand untuk mencari penyelesaian secara serius – kami akan meneruskan peranan kami sebagai fasilitator yang diketuai oleh Tan Sri Zulkifli,” kata Anwar kepada pemberita selepas kunjungan itu.
Sementara itu, seorang penganalisis berkata pelantikan Chatchai mampu memberi kesan positif kepada rundingan tersebut.
“Sebagai orang awam, Chatchai mengubah imej masa lalu panel yang kerap menggunakan pegawai tentera yang sudah bersara,” kata Panitan Wattanayagorn, bekas ketua penasihat kepada pentadbiran Prayuth Chan-o-cha, yang juga pakar dalam keselamatan dan hal ehwal luar. “Untuk meminta seorang pegawai awam mengambil alih peranan utama mampu membuahkan hasil yang positif dan menjadikan proses rundingan damai lebih maju berbanding sebelum ini.
“Tetapi batasannya ialah beliau tidak boleh membuat keputusan dalam isu sensitif dan penting seperti pelucutan senjata, persetujuan untuk tidak melakukan kekerasan dan (mewujudkan) zon selamat. Seorang pegawai awam tidak boleh membuat keputusan dan ia perlu dilakukan oleh perdana menteri.”
Seorang lagi penganalisis berkata beliau menjangkakan bahawa tiada perubahan akan berlaku.
“Saya tidak yakin ketua perunding baharu ini akan melakukan sebarang perubahan,” kata Prasit Meksuwan, seorang ahli akademik bebas, kepada BenarNews. “Thailand sepatutnya mewakilkan orang yang benar-benar arif mengenai isu ini, menggabungkan risikan dan melibatkan tentera kerana BRN mempunyai sayap tenteranya sendiri dalam delegasinya.”
Seorang belia yang bersimpati dan menyokong BRN pula berkata Kerajaan Thailand perlu ikhlas untuk mengakhiri kemelut itu.
“Saya gembira [mempunyai ketua perunding yang terdiri daripada orang awam] tetapi sebelum ini, Thailand tidak ikhlas jadi proses itu gagal,” katanya yang enggan dikenali atas alasan keselamatan kepada BenarNews. “Saya mahu keganasan ini berakhir dengan generasi saya.”