Malaysia: Selangor Lulus Projek ECRL Bernilai AS$12 Bilion Yang Terbengkalai

Selangor meluluskan Jajaran Utara Projek Rel Pantai Timur yang sebelum ini ditangguhkan.
Hadi Azmi dan Noah Lee
Kuala Lumpur
2021-12-02
Share
Malaysia: Selangor Lulus Projek ECRL Bernilai AS$12 Bilion Yang Terbengkalai Jerebu nipis menyelubungi sebahagian kawasan Pelabuhan Klang di luar Kuala Lumpur, 23 Julai 2013.
[AP]

Sebuah negeri yang ditadbir blok pembangkang di Malaysia telah meluluskan jajaran utara Projek Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai berbilion ringgit yang kontroversi serta disokong oleh China, demikian umum Menteri Besar Selangor pada Khamis mengenai perkembangan projek yang terbengkalai itu sejak ia diumumkan pada 2016.

Amiruddin Shari berkata beliau memberikan kelulusan selepas berpuas hati bahawa projek rel terbesar Malaysia yang bernilai AS$11.8 bilion itu adalah mampan dan bermanfaat dari segi ekonomi kepada penduduk negeri Selangor.

“Setelah memperhalusi laporan kesemua 37 sesi libat urus Projek ECRL bersama-sama dengan jabatan dan agensi kerajaan negeri… saya dengan rasminya memaklumkan bahawa kerajaan Selangor tiada lagi halangan bagi pelaksanaan ECRL untuk merentasi bahagian utara Selangor,” kata Amiruddin, dari Parti Keadilan Rakyat, dalam satu majlis di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian pada persidangan yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, Syarikat Malaysia Rail Link Sdn Bhd yang akan menyelia projek itu dan China Communications Construction Company, yang akan membina jajaran rel serta jambatan yang merupakan sebahagian daripada projek ECRL.

ECRL, yang merupakan sebahagian daripadda inisiatif One Belt One Road China bakal menghubungkan kawasan pedalaman pantai timur semenanjung Malaysia dengan pelabuhan paling sibuk di negara itu iaitu Pelabuhan Klang dengan landasan kereta api. Projek itu turut membabitkan jambatan darat bagi pengangkutan kargo dari Pelabuhan Kuantan yang terletak di Laut China Selatan ke Pelabuhan Klang yang terletak di Selat Melaka.

Ia dijadualkan siap pada 2026.

Sebelum ini, Amiruddin membantah pembinaan jajaran itu dan mendakwa ia lebih mahal berbanding jajaran selatan serta tidak memberikan manfaat dari segi ekonomi kepada penduduk Selangor.

Di bawah persekutuan Malaysia, isu yang membabitkan penggunaan tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan ini bermakna pelaksanaan projek ECRL oleh Kerajaan Persekutuan, yang merentasi beberapa negeri, perlu mendapat kelulusan negeri terbabit.

Projek dengan laluan sepanjang 688 kilometer (427 batu) itu telah dilancarkan pada Ogos 2017 oleh Perdana Menteri ketika itu Najib Razak. Ia merentasi negeri Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan serta dianggap sebagai pencetus perubahan kepada Malaysia. Ia dijadualkan siap pada 2024.

Bagaimanapun, selepas kejatuhan Najib pada Pilihan Raya Umum 2018, projek itu telah dibatalkan. Ia dimulakan kembali dengan beberapa siri pengubahsuaian oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada April 2019. Kerajaan PH kemudian bertindak memendekkan jarak projek itu kepada 648 km (402 batu) dan memilih laluan baharu dari Pahang ke Negeri Sembilan sebelum merentasi bahagian selatan Selangor.

Susulan kejatuhan kerajaan PH pada Mac 2020, pentadbiran bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kembali kepada laluan asal ECRL yang diumumkan pada era pemerintahan Najib yang dibantah oleh kerajaan Selangor pimpinan PH.

Amiruddin berkata beliau menukar fikiran mengenai projek itu selepas Kementerian Pengangkutan memaklumkan bahawa jajaran utara lebih berdaya maju dan akan menyediakan manfaat yang lebih baik dari segi ekonomi, alam sekitar dan sosial berbanding jajaran selatan.

Projek itu, yang merupakan sebahagian daripada Inisiatif One Belt One Road China akan menyaksikan pembinaan sebuah jambatan darat bagi mengangkut kargo dari Pelabuhan Kuantan Port yang terletak di Laut China Selatan ke Pelabuhan Klang yang terletak di Selat Melaka, antara pusat maritim utama di dunia yang turut mempunyai kegiatan pelanunan.

Ia turut menyediakan ketersambungan rel baharu antara pantai timur dan pantai barat semenanjung Malaysia sekali gus menggantikan rangkaian rel era British yang sudah lapuk serta tidak mempunyai kesalinghubungan secara langsung dengan Kuala Lumpur sebaliknya merentasi pekan Gemas di Negeri Sembilan, kira-kira 74 batu di tenggara ibu negara.

Mengulas kepentingan projek itu kepada Beijing, Oh Ei Sun, pakar geopolitik China berkata ia kekal penting.

“Meskipun berdepan kelewatan dan perubahan, projek itu kekal penting dan perlu diteruskan,” kata Oh, dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, kepada BenarNews.

Oh tidak terkejut apabila projek itu akan dilaksanakan mengikut pelan asal seperti diumumkan oleh Najib, dari Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, parti teras gabungan politik Barisan Nasional (BN).

 “Kita kini di bawah pemerintahan BN,” katanya.

Beliau berkata kini, tidak terdapat banyak perbezaan antara pembangkang dan BN selepas mereka memeterai perjanjian damai susulan pelantikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Ogos.

“Tiada lagi parti politik pembangkang yang tulen dan substantif,” kata Oh.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas majlis tersebut, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata pihaknya kini meneliti perkara yang dibangkitkan oleh kerajaan Selangor sebelum ini iaitu mengenai jajaran selatan ECRL. Beliau berkata kerajaan sedang merangka pelan jangka panjang mengenai kemungkinan mewujudkan jajaran rel selatan yang baharu.

“Kami sedang meneliti isu pintasan bagi Seremban di kawasan yang telah disebutkan [oleh Amiruddin] kerana kami perlu meneruskan ketersambungan ini [rangkaian rel],” kata Wee.

Beliau berkata kerajaan juga merancang pintasan ini serta pelabuhan ketiga di selatan Selangor bagi menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri itu kerana membenarkan projek ECRL yang asal bermula kembali.

Wee berkata pembinaan landasan telah bermula di negeri lain yang akan dilalui oleh ECRL. Landasan sepanjang 665 kilometer itu telah siap sebanyak 25 peratus setakat 31 Okt lepas, katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh