Bersih Anggap Keputusan Mahkamah Rayuan Kejayaan Besar

Haireez Azeem Azizi
2016.08.30
Kuala Lumpur
160830-MY-tshirt-620.jpg Sebahagian peserta Bersih 4 yang berhimpun ketika demonstrasi diadakan selama dua hari bermula 29 Ogos, 2015.
Haireez Azeem Azizi/BeritaBenar

Keputusan Mahkamah Rayuan Malaysia untuk menarik balik pengharaman Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap baju Kuning dan risalah Bersih adalah kejayaan besar buat gabungan terbesar badan bukan kerajaan dan kumpulan masyarakat sivil negara itu.

Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah ketika dihubungi BeritaBenar berkata, kejayaan tersebut sekali gus menaikkan semangat badan itu supaya tidak gentar untuk menunjuk dan menyuarakan hak, pendapat dan suara mereka di Malaysia.

"Penarikan semula pengharaman yang telah dikeluarkan oleh KDN merupakan satu kemenangan besar bagi kami. Baju Kuning bertindak sebagai satu simbol kepada orang ramai untuk menyuarakan hak mereka sebagai rakyat.

"Bersih bukan sekadar perhimpunan sahaja, tetapi ianya juga melibatkan kebebasan bersuara semua pihak," katanya kepada BeritaBenar  di Kuala Lumpur.

Maria menjelaskan Perhimpunan Bersih 4, yang berlangsung pada 29 hingga 30 Ogos tahun lalu, menunjukkan mereka tidak berhimpun di kawasan yang salah dan tiada keganasan tercetus.

"Mengikut mahkamah, kawasan yang kami berkumpul adalah kawasan awam. Hanya kawasan padang berumput di Dataran Merdeka di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan ketika itu, tiada ahli Bersih menceroboh di sana," katanya.

Perhimpunan Bersih 4 telah diadakan selama dua hari di sekitar Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, di Kota Kinabalu dan Kuching serta kira-kira 70 bandar lain di serata dunia.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed berkata  KDN menghormati keputusan mahkamah yang mengarahkan penarikan balik sekatan terhadap Bersih.

"Bersih sudah tidak mendapat sambutan ramai. Oleh itu, Bersih bukanlah satu keutamaan kepada KDN sekarang.

"Kami menghormati keputusan mahkamah. Bagaimanapun, kami akan teliti semula pengharaman baju dan risalah (Bersih) tersebut untuk langkah seterusnya," katanya ketika dihubungi Berita Benar.

Namun, Nur Jazlan tidak mahu memberi pengesahan sama ada KDN akan membuat rayuan terhadap keputusan itu.

Arahan tidak munasabah - Mahkamah

Mahkamah Rayuan pada Isnin telah memutuskan untuk menarik semula larangan KDN membabitkan baju Kuning Bersih 4.0 dan risalah-risalah mengenai perhimpunan tersebut dengan memutuskan arahan yang dikeluarkan menteri itu tidak munasabah.

Menurut laporan media tempatan, keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Mohd Zawawi Salleh dan turut dianggotai Abdul Rahman Sebli dan Asmabi Mohamad selepas membenarkan rayuan Maria dan bendahari Masjaliza Hamzah dan Nadiah Fadwa Fikri yang mencabar keputusan semakan kehakiman oleh  Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini.

Mahkamah Tinggi tersebut pada Februari menolak cabaran terhadap keputusan KDN untuk mengharamkan barangan tersebut setelah mendapati Menteri yang mengeluarkan arahan itu melaksanakan budi bicaranya.

Semakan kehakiman berkenaan  terhadap Menteri Dalam Negeri dan KDN berhubung perintah yang dikeluarkan di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 pada 27 Ogos tahun lepas.

Perintah itu menyebut larangan terhadap percetakan, pengimportan, pengeluaran, penerbitan, penjualan, pengedaran atau pemilikan mana-mana pakaian berwarna kuning dan yang mengandungi perkataan Bersih 4 serta apa-apa bahan bercetak lain dan risalah yang membawa kepada perhimpunan Bersih 4.0.

Peguam Edmund Bon mewakili  pemandu Bersih 2.0 manakala Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili KDN.

Menyarung kembali baju Bersih

Rata-rata pemilik baju Bersih tidak teragak-agak untuk menyarung baju tersebut pada perhimpunan Bersih 5 yang bakal dianjurkan pada masa terdekat.

Seorang pekerja sektor swasta, Alexander Leo Morris, 25, berkata orang ramai yang bakal berhimpun pada Bersih 5 akan datang seharusnya kekal memakai baju kuning Bersih kerana ianya melambangkan perpaduan antara rakyat.

"Ini sememangnya kemenangan yang besar buat Bersih.

"Warna kuning itu sendiri memainkan peranan perpaduan tidak kira bangsa, agama dan parti politik yang bersatu untuk menuntut hak kami," katanya kepada BeritaBenar.

Seorang pelajar universiti swasta yang tidak mahu dikenali berkata, beliau akan memakai baju Bersih dan turut serta berhimpun pada perhimpunan Bersih akan datang.

"Saya tetap akan memakai baju kuning Bersih ini pada perhimpunan Bersih 5 yang akan datang kerana baju ini merupakan simbol solidariti rakyat," katanya kepada BeritaBenar.

BERSIH, yang dilancarkan secara rasmi pada 23 November 2006, merupakan sebuah platform yang berusaha mendesak Kerajaan Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan lebih demokratik, saksama dan tidak berat sebelah, selain menuntut pembaharuan di dalam pilihan raya sebagai agenda nasionalnya.

Perhimpunan BERSIH disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia, dengan perhimpunan paling buruk semasa BERSIH 3  pada 23 April 2012. Seramai 24 orang dilaporkan cedera termasuk 12 anggota polis yang bertugas selain 512 individu ditahan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.