Dua Dihukum Penjara Kerana Rancang Serangan Keganasan di Johor

Ray Sherman
2018.09.28
Kuala Lumpur
180928-MY-guilty-620.jpg Anggota Polis DiRaja Malaysia mengiringi Nik Muhamad Zaini Nik Hassan dan Ismadi Md Nor yang mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan merancang untuk melancarkan satu serangan keganasan di negeri selatan, Johor, 28 Sept. 2018.
Ihsan Polis DiRaja Malaysia

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat menjatuhi hukuman penjara tiga tahun ke atas dua suspek anggota satu sel pengganas yang mempunyai kaitan dengan Negara Islam (IS) kerana merancang untuk melancarkan serangan keganasan tahun lepas di negeri selatan, Johor.

Hakim Azman Abdullah menjatuhi hukuman itu ke atas Nik Muhamad Zaini Nik Hassan, 37, dan Ismadi Md Nor, 30, selepas kedua-duanya mengaku bersalah merancang untuk melancarkan satu serangan ke atas bangunan Free Mason berhampiran pantai Lido di Bandar raya Johor Bahru antara 11 Dis 2016 dan 31 Jan 2017.

Azman menasihati kedua-dua lelaki agar bertaubat dan bersyukur kerana mereka diberkas sebelum serangan itu dilancarkan.

Mereka mungkin berdepan hukuman mati jika melakukan serangan itu, katanya.

“Jangan salahkan orang lain selain diri kamu. Berfikirlah secara positif bahawa Tuhan sebenarnya sayangkan kamu, sebab itu kamu dapat mengelak tali gantung kerana tidak ditangkap dengan senjata api,” kata hakim itu.

Azman kemudian memerintahkan mereka menjalani hukuman mulai tarikh ditangkap iaitu pada 27 Feb lalu.

Semasa soal siasat, kedua-dua tertuduh berkata, mereka merancang serangan itu sebagai tindak balas kepada kekejaman dunia Barat terhadap IS dan mendakwa bangunan tersebut adalah satu simbol sentiment anti-Islam.

Kedua-dua lelaki telah dihadapkan ke mahkamah pada Mac lalu bersama-sama Mohammad Zaki Ibrahim, 49, yang didakwa memiliki klip video IS dalam telefon bimbit serta peranti tabletnya dan berdepan hukuman penjara tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiganya adalah sebahagian daripada sel pengganas enam anggota yang diberkas oleh pegawai unit anti-keganasan Malaysia dalam serbuan pada Februari dan Mac lalu, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun pada ketika itu.

Peguam Sukhaimi Mashud meminta mahkamah supaya menjatuhkan hukuman yang minimum kerana semua anak guamnya “hanya merancang untuk melancarkan serangan itu, namun ia tidak pernah berlaku, dan tidak ada senjata api ditemui ketika mereka diberkas.”

Sementara itu, Timbalan Pendakwaa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan mengambil kira keseriusan kesalahan dan peningkatan kadar keganasan yang berlaku di Malaysia.

Dalang rancang serangan masih bebas

Sementara itu, dalang rancangan serangan tersebut, yang dikenal pasti oleh para pegawai Malaysia sebagai Awae Wae-Eya, belum lagi diberkas. Awae, 37, adalah seorang rakyat Thailand dan merupakan bekas anggota sebuah gerakan puak pemisah di selatan Thailand.

Pada April lalu, para pegawai tentera Thailand di kawasan pedalaman selatan negara itu telah membebaskan Awae daripada tahanan, dan berkata, mereka mendapati dia tidak mempunyai hubungan dengan IS atau militan lain dan tidak memiliki rekod jenayah.

Polis Malaysia turut memburu tiga lagi suspek yang dikaitkan dengan Awae dan dipercayai telah melarikan diri dari Malaysia. Mereka dikenal pasti sebagai Mumaham Faizal Muhamad Hanafi, 29; bapanya Muhamad Hanafi Yah, 51; dan Nor Farkhan Mohd Isa, 31.

Malaysia, yang mempunyai kira-kira 32 juta orang penduduk termasuk 19.5 juta umat Islam, adalah antara negara yang paling membangun di Asia Tenggara.

Pihak berkuasa melaporkan bahawa mereka telah berjaya mematahkan sekurang-kurangnya enam rancangan pengeboman yang dikaitkan dengan IS sejak 2013 termasuk satu insiden yang menyasarkan temasya Sukan Asia Tenggara di Kuala Lumpur pada Ogos 2017.

Satu serangan bom tangan yang berlaku pada Jun 2016 dan mencederakan lapan orang di sebuah kelab malam di Puchong, berhampiran ibu negara Kuala Lumpur, merupakan serangan pengganas pertama di bumi Malaysia yang didakwa dilakukan oleh IS.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.