Mangsa Pemberontakan Selatan Thailand Teruja Dengan Umrah Tajaan Kerajaan
2021.12.30
Makkah, Arab Saudi
Yumida Yusof, seorang balu dari wilayah Selatan Thailand yang dilanda keganasan, amat teruja kerana "impian mustahil" dirinya untuk menunaikan ibadah Umrah, ziarah sekali seumur hidup yang ditaja kerajaan ke Tanah Suci orang Islam di Arab Saudi, akhirnya menjadi kenyataan.
Pada masa sama, beliau turut bimbang kerana tidak pernah menaiki pesawat sebelum ini.
"Saya juga tidak tahu kaki mana yang perlu melangkah dahulu semasa berjalan dari ruang penumpang hingga menaiki pesawat," kata wanita berusia 55 tahun itu, yang menjaja makanan pencuci mulut di wilayah Yala.
Namun, sejurus pesawat itu mendarat, "saya menangis kerana berasa amat gembira dapat berjalan keluar dari Lapangan Terbang Madinah untuk menuju ke Masjid Nabawi."
Suami Yumida ditembak mati oleh lelaki bersenjata yang tidak dikenali ketika dalam perjalanan pulang dari ladang buah-buahan di Bannang Sata, sebuah daerah di Yala, pada 2011.
Wanita itu adalah antara 112 orang – kebanyakannya adalah saudara mara kepada mereka yang terbunuh dalam keganasan berkaitan dengan pemberontakan pemisah di wilayah sempadan Selatan Thailand yang mempunyai majoriti penduduk Muslim – yang menunaikan ibadah Umrah dari akhir November hingga pertengahan Disember.
Kerajaan Thailand menanggung kos kunjungan 14 hari ke Madinah dan Makkah, dengan menyatakan bahawa ia adalah sebahagian daripada program untuk memberi pampasan kepada mereka yang kehilangan insan tersayang dalam konflik Selatan Thailand. Kerajaan juga menaja seorang wartawan BenarNews untuk mengikuti program itu dan mendokumenkan ibadah Umrah tersebut.
"Saya merasa amat gembira apabila mengetahui bahawa saya terpilih untuk menunaikan ibadah Umrah, walaupun semasa penularan COVID-19," kata Yumida, semasa beliau berdoa di hadapan Kaabah, tempat paling suci bagi umat Islam dalam Masjidil Haram, di Makkah.
"Saya rasa seseorang itu amat bertuah apabila Allah swt mengizinkannya menjadi tetamu di Rumah-Nya, dan memakbulkan impian saya yang mustahil ini."
Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), yang merupakan agensi kerajaan, membelanjakan sebanyak 14 juta baht (AS$417,533) untuk program Umrah itu, yang tidak seperti ibadah Haji, boleh dilaksanakan pada bila-bila masa sepanjang tahun. Jemaah Umrah meluangkan masa selama lima hari di Madinah, lapan hari di Makkah dan beberapa hari lagi di Puket iaitu pulau pelancongan Thailand, sebelum pulang.
Pegawai Thailand berkata objektif penajaan pakej Umrah itu adalah bagi "membayar pampasan kepada mangsa yang terselamat dan membawa mereka kepada amalan yang baik." Mereka tidak pula menjelaskan apa yang kerajaan harapkan sebagai balasan daripada langkah itu.
“Mereka orang yang baik, mempunyai akhlak yang tinggi. Kesemua mereka mempunyai dedikasi untuk menunaikan ibadah Umrah dan mahu menghapuskan dosa-dosa mereka. Semoga semua yang ikut serta dapat melaksanakan aktiviti hebat seperti ini, dengan menyokong orang ramai supaya melakukan kebaikan,"kata Praves Meedsen, kakitangan SBPAC yang turut menyertai program itu.
Maeya Koneng, seorang balu dari wilayah Patani di Selatan Thailand, menunaikan solat di Masjidil Haram di Makkah, 11 Disember 2021 (Mariyam Ahmad/BenarNews)
Mendoakan keamanan
Lebih 7,000 orang telah terkorban di wilayah sempadan Selatan Thailand yang mempunyai majoriti penduduk Islam, sejak Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan kumpulan pemisah bersenjata lain mencetuskan semula pemberontakan puluhan tahun terhadap Thailand, yang mempunyai majoriti penduduk beragama Buddha, pada 17 tahun yang lalu.
Penduduk tempatan berkata kedua-dua pihak yang terlibat dalam konflik - tentera kerajaan Thailand dan pemberontak – harus dipersalahkan. Sementara itu, kumpulan hak asasi manusia menuduh tentera Thailand menggunakan kekerasan berlebihan terhadap suspek pemberontak selain melakukan penyeksaan. Penduduk Selatan Thailand sering mengebumikan para pejuang yang terbunuh sebagai syahid di Patani, seperti mana ia dikenali oleh penduduk tempatan.
Umrah tahun ini adalah yang ketujuh ditaja oleh SPBAC, kata pegawai kepada BenarNews sambil memberitahu bahawa program itu diluluskan berdasarkan tahun ke tahun.
Program Umrah itu diadakan ketika langkah-langkah ketat dilaksanakan bagi membendung penularan pandemik termasuk mewujudkan pasport khas Umrah, kuarantin sebelum perjalanan, saringan ulangan COVID-19 serta protokol kesihatan yang lain.
Namun, menunaikan Umrah semasa pandemik juga mempunyai kelebihannya, kata beberapa peserta. Kurangnya pengunjung membolehkan Jemaah Thailand untuk memberi tumpuan kepada ibadah dan berada lebih dekat dengan mercu tanda di Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.
“Ada banyak tempat yang boleh dikunjungi seperti tempat tinggal Nabi Muhammad saw. Ramai yang tidak dapat mengunjunginya tetapi kami diizinkan berbuat demikian,” kata Maeya Koneng, yang merujuk kepada Raudhah, satu ruang yang terdapat di dalam Masjid Nabawi.
“Bukan mudah bagi jemaah Umrah untuk memasuki Raudhah. Ramai yang tidak berpeluang seperti itu,” kata Maeya. "Saya sangat gembira dan merasa amat bersyukur kepada Allah."
Ia adalah lawatan keluar dari Thailand yang pertama bagi penjual mi berusia 45 tahun itu, selepas kematian suaminya akibat ditembak di Koke Po, sebuah daerah di Patani, lebih 16 tahun lalu.
"Kami berdoa kepada Allah agar semua umat-Nya dilindungi daripada pandemik dan semoga keganasan dapat dilenyapkan dari Selatan Thailand," kata Maeya mengenai ibadah Umrah itu.
Yumida Yusof, jemaah dari Yala, menggunakan telefon pintarnya untuk merakam gambar “Kubah Hijau” di Masjid Nabawi di Madinah, 2 Dis 2021. (Mariyam Ahmad/BenarNews)
'Saya tidak lupa tragedi itu'
Dipilih menunaikan Umrah merupakan keajaiban yang perlu dilunas dengan harga yang tinggi oleh Yumida, ibu kepada lima anak serta Maeya yang mempunyai seorang anak.
“Itulah pampasan yang saya harapkan sejak bertahun-tahun lamanya. Saya bersyukur kepada Allah swt dan Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan kerana menaja program Umrah ini, tetapi saya tidak boleh melupakan tragedi itu. Saya masih mengingatinya setiap hari," kata Yumida, mengenai kematian suaminya yang masih menjadi tanya dan berlaku bukan pada masanya.
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan di Selatan Thailand berkata kerajaan boleh melakukan lebih banyak lagi untuk berhubung dengan penduduk di wilayah itu.
"Program pemulihan ini bagus, tetapi saya tidak pasti sama ada pihak berkuasa boleh mendapatkan sokongan umum daripada pelaksanaannya," kata Anchana Heemmina dari Kumpulan Duay Jai. Organisasi itu mendakwa bahawa tentera Thailand melakukan penyeksaan terhadap tahanan Selatan Thailand.
"Hubungan yang terjalin mestilah ikhlas, penuh rasa hormat terhadap mereka, ada pengajaran berkaitan keamanan dan berilah ruang kepada mereka, benarkan mereka mempunyai peranan dalam proses pembinaan keamanan."
Perunding kerajaan Thailand dan wakil BRN dilaporkan sedang bersedia untuk mengadakan pertemuan secara bersemuka pada Januari di Kuala Lumpur, selepas pertemuan bersemuka ditangguhkan selama hampir dua tahun akibat pandemik COVID-19.