Ventilator dari China tidak boleh guna, Malaysia rugi RM15 juta waktu pandemik

Proses perolehan dilakukan tanpa dokumen perjanjian yang sah menyebabkan kerajaan berdepan dengan masalah untuk mendapatkan ganti rugi.
Minderjeet Kaur dan Noah Lee
2023.10.30
Kuala Lumpur
Ventilator dari China tidak boleh guna, Malaysia rugi RM15 juta waktu pandemik Seorang warga emas orang asli dari suku Mahmeri menerima suntikan vaksin COVID-19 di Sekolah Kebangsaan Orang Asli Sungai Bumbun di Kuala Langat, Selangor, 27 Julai 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Tindakan kerajaan Malaysia membeli secara tergesa-gesa mesin bantuan pernafasan atau ventilator buatan China semasa kemuncak pandemik COVID-19 tiga tahun lalu telah menyebabkan kerugian kira-kira 15 juta ringgit (AS$3.1 juta) kepada negara selepas kebanyakan daripada peralatan yang diterima didapati tidak boleh digunakan, menurut hasil siasatan oleh satu jawatankuasa parlimen.

Sebanyak 136 mesin ventilator didapati telah ditempah daripada beberapa pembekal di China tanpa mengikut prosedur kewangan kerajaan yang sepatutnya, kata laporan dikeluarkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Perbincangan serta keputusan berkaitan tempahan pula melalui aplikasi Whatsapp tanpa dokumen perjanjian yang sah menurut laporan yang sama.

“Disebabkan situasi luar biasa yang dihadapi oleh dunia pada ketika itu, perolehan darurat telah dilaksanakan untuk mendapatkan bekalan vaksin, ventilator, PPE dan lain-lain kelengkapan bagi menangani penularan wabak COVID-19,” menurut rumusan laporan setebal 500 muka tersebut yang dikeluarkan oleh PAC pada Isnin.

Jawatankuasa tersebut dipertanggungjawabkan untuk menjalankan siasatan terhadap pemerolehan berkaitan pengurusan COVID-19 yang dibuat oleh kerajaan pada tahun 2020. Sesi pendengaran dijalankannya membabitkan hasil dapatan audit kerajaan, serta mendengar keterangan daripada bekas menteri dan pegawai kerajaan yang berkaitan dengan pembelian semasa pandemik.

Menurut PAC, daripada 136 unit ventilator yang diterima Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) antara 1 April 2020 dan 19 Mei 2020, 104 daripada mesin buatan China berkenaan didapati tidak boleh digunakan pihak berkuasa kesihatan itu untuk pesakitnya disebabkan pelbagai faktor termasuk masalah peralatan yang tidak mengikut spesifikasi tempahan. 

Salah seorang saksi penting dalam prosiding jawatankuasa itu dilaporkan memberitahu PAC bahawa KKM menerima mesin ventilator yang berlainan daripada apa yang mereka minta daripada pembekal di China.

“... orang kata benda yang ditempah lain, yang sampai lain. Macam itulah. Ia bukan isu fasiliti KKM. Tetapi ia adalah isu di mana kita buat tempahan untuk membeli epal, tetapi yang kita dapat bukan epal,” kata timbalan ketua setiausaha KKM, Norazman Ayob.

Kerugian disebabkan oleh 104 unit ventilator yang tidak boleh digunakan itu adalah sebanyak 15.34 juta ringgit (AS$3.22 juta), menurut notis tuntutan pembayaran balik yang dikeluarkan oleh KKM.

Bagaimanapun, menurut PAC, kerajaan berdepan masalah untuk menuntut gantirugi daripada pembekal dan pengilang mesin-mesin berkenaan disebabkan ketiadaan dokumen kontrak antara KKM dengan syarikat tempatan Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd (PLSB), yang dipertanggungjawabkan menempah dan menguruskan penghantaran ventilator ke hospital-hospital.

“Ketiadaan perjanjian bertulis di antara KKM dan PLSB menyebabkan tiada mana-mana pihak yang boleh dipertanggungjawabkan untuk diambil tindakan berhubung kegagalan 104 unit ventilator berfungsi. Sehingga kini, ketidaktentuan peranan PLSB dalam isu ini mengakibatkan proses mengambil tindakan undang-undang tidak dilaksanakan,” kata laporan dikeluarkan PAC.

Selain itu, siasatan mendapati berlaku percanggahan di antara KKM dengan PLSB mengenai waranti untuk ventilator yang diterima, di mana pegawai KKM menyatakan bahawa mesin-mesin berkenaan tidak mempunyai waranti disebabkan kerajaan terpaksa “merayu” pembekal untuk menjual ventilator kepada mereka, manakala seorang eksekutif kanan PLSB pula mendakwa terdapat waranti dalam sebutharga di antara KKM dengan pembekal.

Laporan perolehan

Siasatan dijalankan oleh jawatankuasa berkenaan turut berkisar tentang lebihan stok vaksin COVID-19 dan peralatan perlindungan diri (PPE) yang ditempah kerajaan bagi menghadapi pandemik.

PAC mendedahkan bahawa sebanyak 8.5 juta dos vaksin yang diterima kerajaan Malaysia telah mencapai tempoh luput setakat 15 Jun tahun ini, dan menyebabkan kerugian sebanyak RM505 juta (AS$106 juta). Perkara itu didapati telah disebabkan oleh beberapa faktor termasuk penurunan permintaan vaksin di kalangan penduduk Malaysia, terutama untuk dos penggalak.

Menurut laporan, kerajaan sebelum ini menganggarkan bahawa sebanyak 83.3 juta dos vaksin akan diberikan namun penggunaan sebenar hanya sekitar 72.8 juta dos sahaja, iaitu kira-kira 88 peratus.

Selain itu, setakat 9 Jun 2023, kerajaan didapati mempunyai stok pelindung kasut sebanyak 2.23 juta unit, dengan lebihan 850,000 unit yang dijangka mencapai tarikh luput pada hujung 2024.

“Sebahagian besar PPE akan dapat digunakan sebelum tarikh luput walaupun terdapat risiko lebihan 850,000 unit stok boot cover, yang akan luput pada penghujung tahun 2024 bernilai RM927,000 jika tidak dapat digunakan.

“Namun, jika jumlah stok ini dapat dikurangkan maka nilai kerugian kepada KKM juga akan berkurang.”

Sementara itu, Sri Murniati Yusuf, ketua pegawai operasi IDEAS Malaysia berkata pegawai KKM sepatutnya menglibatkan peguam kerajaan bagi mempersiapkan kontrak sebelum mereka membuat sebarang tempahan bernilai jutaan ringgit.

“Ia adalah difahami bahawa KKM perlu memuktamadkan pembelian dengan cepat. Ketika itu dunia sedang berdepan situasi cemas yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Semua orang berada dalam keadaan panik ketika itu. Sehinggakan Eropah juga berharap dapat membeli peralatan perubatan dari China dengan segera disebabkan permintaan yang sangat tinggi pada masa itu,” kata beliau kepada BenarNews.

Namun, Sri Murniati berkata, kontrak perjanjian sepatutnya ditulis sebaik sahaja perbincangan dibuat bagi memastikan wang rakyat diurus dengan baik.

Beliau berharap bahawa kerajaan akan mempunyai prosedur operasi standard dan langkah berkesan bagi rujukan para pegawainya ketika berdepan situasi serupa di masa hadapan.

“Libatkan peguam kerajaan sebaik sahaja perbincangan diadakan. Ini perlu menjadi kemestian setiap kali ia melibatkan penggunaan wang rakyat,” kata beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.