Najib Tunggu Keputusan Perbicaraan Pertama Berkaitan 1MDB

Hadi Azmi
2020.07.24
Kuala Lumpur
200724-MY-najib-620.jpg Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak (tengah) menikmati kek bersama-sama penyokongnya selepas menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-67 di pintu masuk kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 23 Julai 2020.
S. Mahfuz/BeritaBenar

Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak bakal mengetahui  nasibnya pada minggu hadapan apabila hakim dijangka membuat penghakiman bagi perbicaraan pertama daripada dua perbicaraan rasuah yang berkaitan dengan penyelewengan berbilion-bilion dolar dari 1MDB, iaitu dana pembangunan negara itu.

Najib, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-67 pada minggu ini, berdepan hukuman penjara berpuluh tahun jika disabit kesalahan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa. Beliau didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Pertuduhan itu susulan dakwaan bahawa beliau secara tidak sah menerima RM42 juta (AS$9.67 juta) daripada  SRC International, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad, dana yang diwujudkan oleh Najib semasa menyandang jawatan tertinggi kerajaan bagi memanfaatkan rakyat negaranya.

Najib mengakui tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dalam perbicaraan itu dan satu lagi perbicaraan yang sedang berlangsung.

"Saya tidak mencuri wang rakyat," kata Najib pada Mei 2018, setelah kerajaan yang diterajuinya tewas dalam pilihan raya umum dan beberapa hari kemudian, polis merampas beg tangan, jam tangan dan barangan berharga lain yang bernilai jutaan dolar – bersama-sama beg pakaian yang dipenuhi wang tunai - semasa melakukan serbuan di beberapa unit kondominium di Kuala Lumpur yang dikaitkan dengan keluarga Najib.

Dakwaan beliau melakukan rasuah besar-besaran timbul daripada skandal kewangan 1MDB, yang menyebabkan kejatuhannya sebagai perdana menteri pada dua tahun lalu, apabila parti pimpinannya disingkirkan pada pilihan raya umum yang mencatatkan sejarah itu.

Pada 3 Julai 2018, hari pertama pertuduhan difailkan terhadapnya, Najib menuduh kerajaan Mahathir Mohamad - yang menyandang tampuk kuasa setelah berjanji dalam kempen pilihan raya untuk membersihkan kerajaan daripada rasuah susulan skandal 1MDB - mahu menjatuhkannya. Najib memberitahu wartawan di mahkamah bahawa ia adalah "apa yang kerajaan baru mahukan."

"Jika ini adalah harga yang perlu saya bayar setelah 42 tahun berkhidmat kepada rakyat Malaysia, saya sedia menerimanya. Apa yang saya harapkan ialah proses kehakiman adalah proses yang benar-benar adil, mengikut peraturan undang-undang. Saya yakin saya tidak bersalah; ini adalah peluang terbaik untuk membersihkan nama saya, ”katanya pada ketika itu.

Najib, yang menghadapi sejumlah 42 pertuduhan jenayah, sedang dibicarakan di mahkamah lain bagi 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan RM2.3 bilion  ($551 juta) yang diselewengkan daripada 1MDB. Beliau juga berdepaan perbicaraan tambahan untuk baki 10 pertuduhan lagi.

Pendakwa raya Malaysia dan A.S mendakwa bahawa sebanyak $4.5 bilion (RM18.3 bilion) telah dialihkan dari 1MDB dan SRC ke akaun bank Najib dan beberapa orang lain.

Pada Jumaat, bank pelaburan yang berpejabat di A.S iaitu Goldman Sachs dan kerajaan Malaysia mengumumkan penyelesaian tuntutan bernilai $3.9 bilion (RM16.6 bilion) yang mengetepikan pertuduhan jenayah terhadap firma Wall Street itu berhubung penjualan bon yang berkaitan dengan kehilangan berbilion dolar dari 1MDB.

"Penyelesaian oleh Goldman Sachs ini merupakan satu pengakuan salah laku oleh dua bekas pegawainya dalam skim penipuan dan rasuah 1MDB. Penyelesaian ini tidak akan menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap Jho Low dan individu lain yang berkaitan dengan skandal 1MDB, ”menurut kenyataan Kementerian Kewangan, yang merujuk kepada pembiaya kewangan yang nama sebenarnya ialah Low Taek Jho, dan kini dalam buruan pihak berkuasa.

Politik perbicaraan

Penghakiman yang bakal dibuat itu sudah pun menyusup masuk dalam struktur politik Malaysia sejak dua tahun lepas.

Kerajaan Mahathir bertindak pantas sejurus selepas pilihan raya umum 2018 dengan menangkap dan mendakwa Najib berhubung skandal 1MDB.

Dalam catatan blog beliau pada 25 Jun, Mahathir mendakwa  Muhyiddin Yassin dapat menggantikannya sebagai perdana menteri selepas mendapat sokongan daripada parti politik Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang dianggotai Najib dengan berjanji membebaskan bekas pemimpin itu daripada hukuman penjara.

Muhyiddin pernah berkhidmat sebagai menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Mahathir dan sebagai timbalan Najib sebelum beliau dipecat pada 2015 setelah secara terbuka menyuarakan kebimbangannya mengenai skandal 1MDB.

“Jauh daripada menunai janji untuk menjatuhkan Najib, Muhyiddin sekarang sedang berusaha supaya Najib bebas daripada segala pertuduhan dan dapat bertanding dalam pilihan raya umum akan dating,”kata Mahathir dalam catatan itu. “Di waktu itu, Najib tidak memerlukan Muhyiddin lagi, kerana Najib berhasrat kembali menjadi Perdana Menteri.”

Mahathir bersuara berikutan kenyataan pada 18 Mei 2020, di mana Muhyiddin berjanji tidak akan mencampuri urusan badan kehakiman.

"Perdana menteri mengulangi pendiriannya untuk tidak mencampuri urusan Pejabat Peguam Negara dan badan kehakiman dalam membuat apa-apa keputusan berkaitan kes-kes jenayah di negara ini, termasuk kes yang berprofil tinggi," kata Muhyiddin dalam kenyataan itu.

Muhyiddin menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri pada  Mac selepas membentuk pakatan baru dan menyakinkan Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Azmi Hassan, penganalisis politik di Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata Muhyiddin membuktikan kata-katanya dengan tidak mengganggu perbicaraan itu.

"Malah, ketika beliau melobi sokongan UMNO bagi jawatan perdana menteri yang disandangnya, tidak ada perbincangan yang dibuat dan tiada tekanan daripada UMNO supaya Najib diberi keistimewaan dalam perbicaraan kesnya," kata Azmi kepada BeritaBenar. "Ini ditekankan oleh Najib sendiri - bahawa beliau mahu membersihkan namanya secara peribadi melalui sistem perundangan."

Najib menggunakan laman Facebooknya untuk membalas kenyataan Mahathir.

"Beliau sebenarnya yang tanpa henti berusaha kembali sebagai perdana menteri kesembilan, tetapi beliau menuduh saya yang mahu kembali!" kata Najib tentang Mahathir dalam catatannya itu yang menerima 34,000 ‘like’ daripada peminatnya.

Penutup

Setelah berbulan-bulan lamanya mendengar keterangan serta berhari-hari penghujahan oleh pendakwa raya dan peguam bela Najib, Nazlan Ghazali, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar perbicaraan kes SRC itu pada bulan lalu menyatakan bahawa beliau memerlukan masa untuk membuat keputusan dan menetapkan 28 Julai bagi mengumumkan penghakimannya.

Tetapi, dalam perbicaraan kes 1MDB lain Najib, hakim kes berkenaan telah membenarkan bekas perdana menteri itu menangguhkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan bagi membolehkannya menghadiri sidang Parlimen dan berkempen untuk pilihan raya kecil DUN Pahang pada awal bulan ini.

Dalam hujah penutupnya pada perbicaraan SRC, peguam utama  Shafee Abdullah berkata, pihak pembelaan menghadapi prejudis yang begitu besar daripada masyarakat.

"Prejudis masyarakat begitu besar sehingga menyukarkan kami membuat pembelaan dalam kes seperti ini. Sebanyak RM42 juta dimasukkan ke dalam akaun pelanggan saya: itu adalah kes pihak pendakwaan. Orang ramai mahu menganggap bahawa perkara itu sahaja adalah bukti yang mencukupi,”kata Shafee.

Pasukan pembelaan menekankan bahawa Najib menjadi mangsa manipulasi Jho Low, serta bekas pengarah urusan SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil.

Dalam penghujahan penutup itu, pihak pendakwaan menyalahkan Najib, yang memegang portfolio menteri kewangan, kerana merancang jenayah itu, sambil memberitahu bahawa Jho Low bertindak atas perintah beliau.

“Kami berhujah bahawa Jho Low tidak bertindak di sebalik tabir tetapi bertindak dengan pengetahuan tertuduh. (Najib) sendiri mengesahkan bahawa ada beberapa komunikasi, walaupun untuk berlaku adil kepada dirinya, ia tidaklah banyak,” kata ketua pendakwa raya V. Sithambaram.

Satu sumber yang rapat dengan pihak pendakwaan memberitahu BeritaBenar bahawa walaupun orang ramai melihat ini sebagai   masalah atau tidak, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman terhadap Najib bagi beberapa pertuduhan dan membebaskannya daripada beberapa pertuduhan lain.

“Daripada pengamatan peribadi, saya menjangka beliau akan bebas daripada pertuduhan pecah amanah dan beberapa pertuduhan pengubahan wang haram. Namun, beliau akan terkandas bagi pertuduhan salah guna kuasa, ” kata sumber itu tanpa mengulas lanjut.

Peroleh kembali berbilion ringgit

Jho Low, yang juga menghadapi pertuduhan jenayah di Malaysia  berkaitan dengan 1MDB, telah mencapai persetujuan di A.S untuk menyerahkan aset bernilai $700 juta (RM2.925 bilion) yang dibeli dengan menggunakan dana 1MDB.

Jho Low bukanlah satu-satunya individu yang rapat dengan Najib, yang terlibat dalam siasatan 1MDB, malah isteri Najib, Rosmah Mansor, juga menghadapi pertuduhan rasuah.

Selain itu, pendakwa raya Malaysia menggugurkan pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Riza Aziz, anak Rosmah dan anak tiri Najib, setelah pihak berkuasa anti-rasuah menyatakan bahawa mereka telah mencapai persetujuan untuk mendapatkan lebih  $100 juta (RM425.8 juta) daripaad Riza. Persetujuan itu dicapai dengan Riza dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Apa pun keputusan mahkamah kelak, Najib sudah pun kerugian besar pada Rabu apabila Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi mendapatkan penghakiman terus untuk memperoleh cukai pendapatan belum dibayar sebanyak RM1.69 bilion ($396 juta).

Pada Januari, Shafee memberitahu mahkamah tindakan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengakhiri karier politik Najib.

"Apabila anak guam saya dilabelkan muflis, beliau terpaksa keluar daripada arena politik," kata Shafee ketika itu.

Pasukan pembelaan akan mencabar keputusan itu, kata anak lelaki Shafee, peguam Farhan Shafee kepada BeritaBenar.

"Kami akan mengemukakan rayuan terhadap penghakiman itu," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.