Video dalam Bahasa Melayu Tayang Kanak-kanak Lelaki Berlatih untuk Membunuh Orang Bukan Islam
2015.03.17

Seorang kanak-kanak lelaki bertopeng hitam dan memakai seragam tentera dalam video itu berdepan kamera dan mengacukan pistol ke arah penonton.
"Untuk para thogut di seluruh dunia, ini untuk kamu," kanak-kanak lelaki itu berkata dalam Bahasa Melayu dan menggunakan perkataan Arab untuk menggambarkan penganut agama bukan Islam.
Bunyi tembakan pistol mengakhiri video itu yang kemudian latar belakangnya pudar kepada warna hitam.
Adegan dalam video yang disiarkan secara dalam talian selama 2 minit 12 saat itu dilaporkan disiarkan pada hujung minggu oleh bahagian Bahasa Melayu kumpulan pelampau Negara Islam (IS), mengikut Straits Times, akhbar Singapura yang pertama sekali melaporkan berita ini pada hari Selasa.
Dalam video itu, dengan suara alih dan sari kata dalam Bahasa Melayu, kira-kira dua puluh orang kanak-kanak lelaki, ada yang kelihatan semuda enam tahun, makan, berdoa dan berlatih menggunakan senjata bersama.
"Terdapat lonjakan di Indonesian- dan bahan dalam Bahasa Melayu yang disiarkan secara dalam talian [oleh IS]," akhbar itu memetik Jasminder Singh, seorang pakar keganasan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam di Singapura, sebagai berkata.
"Terdapat video sebelum ini yang memaparkan kanak-kanak Arab dan Asia Tengah, dan ini jelas menunjukkan bahawa mereka kini menghubungi penyokong sasaran di Asia Tenggara," kata beliau.
Sangat muda
Video itu, yang telah ditontoni BenarNews, memaparkan rakaman sekumpulan kanak-kanak lelaki yang mengambil bahagian dalam latihan seni mempertahankan diri, mengendalikan senapang AK-47, melaungkan doa agama Islam dan aktiviti yang lain.
Video itu juga memaparkan penampilan pejuang jihad Indonesia Bahrumsyah, Straits Times melaporkan.
Bahrumsyah, juga dikenali sebagai Abu Muhammad al-Indonesi, muncul dalam satu video propaganda IS pada tahun lalu yang mensasarkan penonton Indonesia. Penyiaran video IS secara dalam talian itu membawa kepada pengharaman IS oleh kerajaan Indonesia.
Video baru itu dikatakan ialah satu treler bagi filem propaganda yang lebih panjang yang akan "disiarkan" tidak lama lagi, mengikut satu mesej dalam Bahasa Inggeris pada bahagian akhir video tersebut.
Di dalam video itu, orang dewasa lelaki bertanya kepada kanak-kanak lelaki sama ada mereka boleh menembak atau mengendalikan AK-47 dan budak-budak itu menjawab bahawa mereka boleh.
"Besok kamu ingin menjadi apa kalau sudah besar?" seorang lelaki bertanya.
"Mujahid," jawab seorang daripada kanak-kanak lelaki itu.
Video itu ialah video pertama yang sah menggambarkan kanak-kanak Asia Tenggara menjalani latihan untuk tujuan pertempuran, Straits Times menyatakan dalam artikelnya.
Sayap propaganda berbahasa Melayu
Video yang bertajuk "Cahaya Tarbiyah di Bumi Khilafah" dihasilkan oleh Unit Nusantara IS yang ditubuhkan pada tahun 2014 di bawah nama Katibah Nusantara, Straits Times melaporkan.
Tidak jelas di mana dan bila video tersebut dirakam tetapi akhbar itu melaporkan bahawa video itu dirakam di satu kawasan yang dikawal oleh IS.
Kanak-kanak lelaki dalam video dan gambar yang diperoleh oleh akhbar itu ialah pelajar di akademi Abdullah Azzam yang memberi perhatian kepada pejuang jihad kanak-kanak daripada Asia Tenggara dan di mana Bahasa Melayu ialah bahasa pengantar, kata akhbar itu.
Video yang dipaparkan di laman web Azzam Media itu, azzammedia.com, menonjolkan diri mereka sebagai sebahagian daripada Divisi Media Khilafah Islamiyah Berbahasa Melayu.
Pelbagai bahasa di Asia Tenggara seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Indonesia dan Jawi di bahagian selatan Thailand berasal daripada kumpulan Bahasa Melayu.
"Laporan yang menyatakan bahawa sekolah itu mengajar dalam Bahasa Melayu dan bukannya Bahasa Indonesia, mengusulkan bahawa amalan biasa setempat telah dilanggar," lapor akhbar tersebut.
Usaha cegah keganasan serantau
Berita tentang video yang menggalakkan kanak-kanak Asia Tenggara beragama Islam untuk membunuh orang bukan Islam muncul pada masa apabila kedua-dua kerajaan Malaysia dan Indonesia menyatakan bahawa mereka sedang berusaha untuk mengetatkan kawalan terhadap usaha domestik yang cuba merekrut orang muda untuk tujuan perjuangan jihad IS.
Di Malaysia, kerajaan Malaysia telah bersedia untuk memperkenalkan dua rang undang-undang untuk dibahaskan dalam debat Parlimen iaitu draf Akta Cegah Keganasan (POTA) dan draf Akta Pengganas Asing (FFA).
Bagi pihak Indonesia pula, kerajaan Indonesia sedang mengurus penangkapan 16 rakyat Indonesia pada minggu lalu yang ditahan kerana cuba menyeberang dari Turki ke Syria untuk menyertai IS, pihak berkuasa di Jakarta berkata. Seramai 16 rakyat Indonesia lagi telah dilaporkan hilang di Turki sejak mereka berpisah dari kumpulan pelancong pada penghujung bulan Februari.
Kedua-dua kumpulan 16 orang itu mengandungi sebilangan besar kanak-kanak, menurut laporan berita yang memetik seorang pegawai kerajaan sebagai berkata.
"Kami akan menyelaras dengan Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat Komunikasi (Kominfo) secara segera," Marciano Norman, Ketua Agensi Perisikan Indonesia (BIN), berkata pada hari Selasa, ketika diminta mengulas tentang laporan video yang memaparkan kanak-kanak Asia Tenggara itu.
Oleh staf BenarNews dengan maklumat daripada laporan berita.