Wanita Tempatan Pertama Dihukum Penjara Terlibat Dengan IS


2015.03.31
150331-MY-wanitaIS-NY Wanita Yamen memegang poster, potret mangsa serangan berani mati di beberapa buah masjid Syiah, yang dikuasai oleh Kumpulan Militan IS(Islamic State) di ibu negeri Sanaa, pada 30 Mac 2015.
AFP

Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan itu, selepas Ummi Khalsom Bahak, 26, menukar pengakuannya kepada bersalah terhadap pertuduhan pilihan itu semasa kes berkenaan disebut hari Selasa. Beliau diperintahkan menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 5 Okt lepas.

Agensi Berita Nasional Malaysia melaporkan, Ummi Khalsom didakwa mengikut Seksyen 130J9(1)(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 130J yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau 30 tahun penjara atau denda dan harta yang digunakan untuk tujuan itu boleh dirampas.

Wanita tempatan pertama ditahan

Difahamkan beliau merupakan wanita tempatan pertama dihukum penjara berhubung penglibatan dengan kumpulan militant IS (Negara Islam).

Beliau, yang diwakili peguam Datuk Hanif Hassan, didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter Imigresen Balai Pelepasan Antarabangsa, KLIA 2, pada pukul 5.20 pagi, 5 Okt 2014.

Pada 31 Okt lepas, Ummi Khalsom didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang kerana cuba memberi sokongan kepada IS dengan mengambil penerbangan pesawat AirAsia dari KLIA2, Sepang ke Brunei dan Istanbul, Turki untuk berkahwin dengan anggota kumpulan itu, Muhammad Aqif Huesen Rahizat.

Muhammad Aqif Huesen, seorang rakyat Malaysia yang berada di Syria dan kumpulan IS disenaraikan sebagai pengganas oleh Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 66B dan 66D Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram pada 12 Nov 2014.

Mengikut fakta kes, Ummi Khalsom berkenalan dengan Muhammad Aqif Huesen melalui akaun Facebook dengan menggunakan nama "Umiey Summayah Al Malazie" dan kemudian sering berkomunikasi dengan menggunakan aplikasi "Whatsapp" dan "Kakaotalk".

Lelaki itu, kemudian mengajak Ummi Khalsom berkahwin dan tinggal di Syria, serta bersetuju membiayai tiket penerbangan wanita itu dari Malaysia.

Ummi Khalsom yang bersetuju untuk berkahwin dengan lelaki itu, dalam usahanya untuk berlepas ke Syria, pada 13 Sept 2014, enggan membeli tiket penerbangan dari KLIA 2 ke Indonesia, kerana takut ditangkap pihak polis; sebaliknya bersetuju untuk membeli tiket dari KLIA 2 ke Brunei dan kemudian akan membeli tiket ke Istanbul, Turki melalui talian.

Ummi Khalsom juga memberitahu keluarganya di Seremban bahawa ibu kepada Muhammad Aqif Huesen, akan datang merisiknya, namun bapa Ummi Khalsom membantah niat anaknya itu, dan kemudiannya membuat laporan polis selepas menyedari Ummi Khalsom, melarikan diri ke Melaka.

Rakan Muhammad Aqif Huesen sempat mendepositkan wang berjumlah RM5,000 lagi selepas Ummi Khalsom menghubunginya untuk membeli tiket penerbangan yang baru.

Tidak sempat beli tiket penerbangan

Bagaimanapun, Ummi Khalsom tidak sempat membeli tiket penerbangan barunya selepas ditangkap oleh pegawai dari Bahagian E8, Cawangan Anti-Keganasan Cawangan Khas, Ibu Pebajat Polis di kaunter Imigresen Balai Pelepasan Antarabangsa, KLIA 2.

Antara barang miliknya yang turut ditahan adalah sebuah telefon bimbit, pasport, tiket penerbangan, sebuah beg galas yang mengandungi pakaian serta wang tunai. Ummi Khalsom dibawa ke Penjara Kajang.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Ayub Khan Mydin Pitchay di dalam satu laporan akhbar tempatan berkata, setakat Oktober tahun lepas, empat rakyat Malaysia sudah ditahan berkaitan kumpulan militan IS itu.

Katanya, sebelum ini, tiga rakyat Malaysia ditangkap di KLIA pada 27 Sept kerana disyaki merancang untuk berlepas ke Syria bagi menyertai perjuangan IS dan jumlah tangkapan terhadap mereka yang terbabit dengan kumpulan itu adalah sebanyak 72 orang dan 13 daripada individu yang ditahan, merupakan warga asing.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 30 orang telah dituduh di mahkamah iaitu 22 orang didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) SOSMA 2012. Dua orang dituduh di bawah Akta Senjata Api 1971 kerana memiliki senjata api serta peluru dan enam lagi di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013,” kata Ayob semasa menjadi tetamu jemputan bagi program ‘Dalam Radar’ Bernama Radio24 sebelum ini.

Beliau berkata daripada statistik polis, jumlah rakyat Malaysia terbang ke Syria bermula Januari hingga Jun tahun lepas hanya 30 orang, namun angka berkenaan meningkat sekali ganda kepada 61 orang antara Julai dan Disember tahun lepas.

Oleh staf BenarNews dengan maklumat daripada laporan berita.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.