Cahaya Lampu Tenaga Solar Terangi Perkampungan Orang Asli Batek
2018.09.05
Pahang, Malaysia
Kediaman tempat berlindung tiada bilik, mirip bangsal dengan cara kehidupan nomad atau berpindah randah, Orang Asli dari suku kaum Batek yang tinggal di Kuala Tahan, di negeri Pahang, boleh tersenyum kerana malam mereka kini diterangi cahaya lampu melalui inisiatif “Kampungku”.
Kanak-kanak dari suku kaum itu kini boleh membaca dan membuat kerja sekolah mereka pada waktu malam selepas, sebuah badan pemulihan bukan kerajaan EcoMy melalui inisiatif yang diperkenalkannya bersama beberapa firma tempat dan Amerika Syarikat berjaya menyediakan kemudahan lampu LED mudah alih dengan menggunakan panel solar untuk menerangi rumah penghuni kampung berkenaan.
Kuasa elektrik dari lampu LED mudah alih yang boleh dicas semula menggunakan kuasa solar kini menerangi hutan di mana perkampungan orang asli dari suku kaum Negrito - Batek yang tinggal di tengah-tengah Taman Negara Malaysia, iaitu kira-kira 9 km dari Kuala Tahan, dan hanya boleh diakses dengan menaiki bot sepanjang Sungai Tembeling.
Tok Batin atau ketua Kampung Aur, Menderu, 56, yang sangat gembira dengan inisiatif yang diperkenalkan itu berkata, lampu elektrik LED adalah cara lebih selamat untuk menyalakan kampung mereka berbanding dengan menggunakan lampu minyak tanah yang meletakkan pondok mereka berisiko untuk terbakar jika tidak ditangani dengan teliti.
“Anak-anak sekarang ini boleh mengulangkaji pelajaran dan membuat kerja sekolah pada waktu malam dengan adanya cahaya terang dari lampu LED,” katanya kepada BeritaBenar.