Teknologi dron pikat anak muda kembali ke sawah padi
2024.11.18
Kuala Perlis, Perlis
Aplikasi teknologi dron kini menjadi pendekatan terbaru golongan pesawah padi di Malaysia bagi meningkatkan hasil pengeluaran mereka.
Jika sebelum ini proses menabur benih, baja dan meracun perlu menggunakan tenaga manusia, namun kini tugas sukar itu diambil alih oleh dron yang bukan sahaja mempercepatkan proses itu malah mengurangkan kos operasi.
Selain menjimatkan masa, penggunaan dron dapat memodenkan proses pertanian sekali gus menarik minat golongan muda untuk terjun ke bidang tersebut.
Jurufoto BenarNews, S. Mahfuz baru-baru ini berkesempatan merakamkan seorang anak muda, Mohd Firdaus Abdul Rauf menampilkan kemahiran mengendalikan dron bagi kerja-kerja menabur benih, membaja dan meracun di kawasan sawah padi di Kuala Perlis, Perlis.
Bermodalkan sebuah dron seberat 50kg buatan China berharga RM67,000 [AS$15,056], Mohd Firdaus memulakan kerjaya sebagai pengendali dron di kawasan sawah padi sejak tahun lalu.
Kini dia tidak menang tangan menerima tempahan pesawah yang inginkan khidmat dron.
“Kalau sentiasa ada tempahan untuk kerja-kerja menabur, membaja dan meracun, biasanya dalam tempoh satu musim (enam bulan) sudah boleh dapat pulangan modal,” katanya kepada BenarNews.
Mohd Firdaus yang memiliki sijil pengendalian dron daripada sebuah pusat latihan berkata kerja-kerja di bendang yang hanya mampu disiapkan selama empat jam dengan menggunakan tenaga buruh, kini dapat dijimatkan kepada hanya satu jam.
“Kalau guna dron, dalam tempoh satu jam kita boleh siapkan kerja-kerja tabur benih padi untuk 12 relung [8.5 ekar]. Setiap 12 relung memerlukan 24 beg benih padi yang setiap satunya seberat 26-27 kg.
”Jika guna tenaga manusia untuk tabur benih, seramai dua orang pekerja diperlukan untuk siapkan 12 relung yang akan ambil masa tiga hingga empat jam. Satu relung bersamaan lebih kurang 30,976 kaki persegi atau 0.711 ekar,” tambahnya.
Menurut Firdaus, hampir setiap hari terdapat tempahan untuk kerja-kerja pertanian menggunakan dron kerana kaedah ini lebih menjimatkan masa.
Dia menerima upah kerja-kerja menabur benih padi sebanyak RM4 bagi setiap satu beg benih atau baja dengan anggaran bayaran antara RM280 [AS$62.9] hingga RM320 [AS$71.90] sehari.
”Biasanya dalam sehari kerja-kerja menabur benih padi yang bermula dari pukul 11 pagi hingga 5 petang boleh cecah 70 hingga 80 beg,” ujar Mohd Firdaus.